Menteri Besar Johor berkata Johor Bahru akan menjadi “slum city” jika dipenuhi oleh rumah kos rendah adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menghina bangsa Johor yang berpendapatan rendah. Jika Amerika Syarikat membina New York menjadi kota metropolitan yang mengangkat falsafah City Of Dreams, nampaknya Johor juga mempunyai falsafah metropolitannya yang tersendiri – Johor Bahru, Metropolis For The Rich.
Kenyataan Menteri Besar bahawa polisi perumahan kerajaan hari ini adalah membenarkan projek perumahan kos tinggi supaya projek ini akan mensubsidikan projek perumahan kos rendah dan sederhana. Ini satu lagi polisi yang terkhilaf. Polisi ini telah mewujudkan kesenjangan harga rumah berlaku bukan sahaja di negeri Johor malah di seluruh negara.
Untuk membina rumah kos rendah atau mampu milik, pemaju terpaksa menanggung kos bahan binaan, kos tanah dan kos pinjaman bank yang lebih tinggi. Jalan penyelesaiannya, pemaju akan membina rumah kos tinggi lebih banyak bagi menampung kerugian dalam pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik.
Akibatnya, kesenjangan harga rumah berlaku – pemaju hanya akan membina rumah kos rendah/mampu milik (RM45,000-RM150,000) dan rumah kos tinggi (RM500,000 ke atas). Rumah berharga antara RM 150,001 hingga RM499,000 sangat kurang dibina.
Ini akan menimbulkan masalah baru apabila isirumah berpendapatan sederhana yang tidak tergolong dalam syarat kelulusan rumah mampu milik mengalami kesukaran untuk memiliki rumah dan mereka juga tidak berkemampuan untuk membeli rumah berharga lebih RM500,000.
Akhirnya, daripada polisi yang mahu menyelesaikan masalah perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah, kita telah mencipta masalah perumahan untuk rakyat berpendapatan sederhana pula.
Satu lagi perkara dalam isu perumahan Johor adalah polisi Kerajaan Negeri yang membenarkan pembinaan rumah-rumah kos tinggi tanpa kawalan. Berdasarkan kepada artikel Bubble On The Horizon As Demand Falters yang disiarkan oleh Nikkei Asian Review pada 13 Januari 2016, ketika ini berlaku situasi permintaan yang statik dalam sektor hartanah di Johor Bahru.
Trend ketika ini adalah berlakunya penawaran unit-unit pangsapuri premium yang berlebihan daripada permintaan di sekitar Iskandar Malaysia. NAPIC pada bulan Mei 2015 juga mengeluarkan statistik bahawa penawaran rumah mewah yang sedang dibina di Johor Bahru adalah sebanyak 334,838 dimana 142,567 unit sementara terdapat lagi 193,271 unit rumah tinggi yang telah diberikan kelulusan pembinaan tetapi masih belum dibina.
Ini merupakan separuh daripada jumlah sedia ada rumah iaitu 719,421. Ini tidak termasuk projek perumahan mewah di Forest City. Persoalannya, adakah bangsa Johor memiliki kemampuan untuk membeli atau sekadar mampu tengok?
Dengan kerancakan pembinaan rumah mewah tanpa kawalan dan ketidakmampuan rakyat untuk membeli unit rumah tersebut, ia akan mencipta satu keadaan yang dipanggil “Kota Hantu”. Ketika ini, di China terdapat begitu banyak kota hantu.
Memang kota hantu herselerak di seluruh dunia tetapi ia adalah kerana kawasan itu merupakan bekas kawasan perlombongan atau ditinggalkan kerana peperangan atau bencana alam. Tetapi kota hantu di China berlaku akibat dari korupsi dan spekulasi harga hartanah yang melampau.
Polisi pembangunan hartanah di sana – We’ll Built It And We’ll Make Them Come telah bertukar menjadi We’ll Built It And They Didn’t Come kerana walaupun kelompok masyarakat pertengahan muncul dengan banyak tetapi mereka tidak mampu untuk membeli rumah di kawasan tersebut.
Sekiranya Kerajaan Negeri Johor tidak berhati-hati dalam hal pembangunan hartanah mewah ini, mungkin impian menjadikan Johor Bahru sebagai Metropolis bakal bertukar menjadi Kota Hantu.- Roketkini
No comments:
Post a Comment