Monday, June 16, 2014

Amanahkah Kita Dengan Jawatan Yang Di Sandang...

Ketirisan 1
Dahsyat dan menakutkan. Itulah yang boleh Awang rumuskan terhadap amalan rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasaan sehingga membawa ketirisan besar kepada negara.

Paling ketara isu manipulasi dan penyeludupan diesel bersubsidi. Berdasarkan maklumat yang diterima, gejala rasuah berlaku di hampir semua agensi penguat kuasa sama ada di darat mahupun di laut.

Di darat, ada pihak bekerjasama dengan sindiket termasuk membocorkan maklumat operasi serbuan. Ini meliputi segelintir petugas sebuah kementerian dan agensi penguat kuasa. Harapkan pagar, pagar makan padi. Siasatan yang dilakukan mendapati ada anggota bawahan memiliki wang dalam akaun berjumlah RM1juta dan pegawai mempunyai RM40 juta.

Di laut pula, ada kalangan pegawai agensi yang mengambil 'tol' bagi setiap kapal yang menyeludup diesel. Sebab itu, aktiviti penyeludupan diesel dan penjualannya di pasaran gelap berleluasa. Usahawan diesel dan tauke-tauke kapal nelayan tersenyum lebar.

Tidak mengejutkan jumlah yang terlibat dalam penyelewengan diesel di semua peringkat mencecah ribuan orang. Ada beberapa nama tokoh dikatakan terpalit sama, Awang geleng kepala apabila mengetahuinya. Marilah kita berdoa dan bersuara agar gejala ini dibongkar habis-habisan. Bersihkanlah semua agensi penguatkuasaan dengan langkah berani dan drastik - bukan lagi retorik dan tindakan bermusim.

Dalam pada itu, penyelesaian bijak dalam isu manipulasi dan penyelewengan subsidi diesel serta petrol perlu diambil terutama kaedah baharu menyalurkan terus kepada golongan sasaran.
Maka Awang lega apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid Omar menyarankan langkah seumpama itu bagi mengelakkan ketirisan dan menghalang warga asing daripada menerima manfaat subsidi.

Kerajaan telah membelanjakan RM136.6 bilion bagi menyediakan subsidi minyak sejak tahun 2000 tetapi sejumlah besar mengalir kepada golongan bukan sasaran dan pihak yang meraih untung melalui pasaran gelap. Awang difahamkan, daripada jumlah penggunaan 14.5 bilion RON95 pada 2013, sebanyak 6 bilion liter digunakan oleh kenderaan Singapura, Thailand, rakyat asing dan 75 peratus pemilik kereta mewah yang tidak sepatutnya menikmati subsidi.

Angka 6 bilion liter RON95 adalah jumlah yang amat besar. Lebih menyedihkan kerugian dialami berbilion-bilion ringgit, yang siapa harus dipertanggungjawabkan.

Tahap ketirisan ini sudah luar biasa. Tiada negara lain mengalami situasi seperti ini. Pada Awang, ia adalah sabotaj kepada rakyat dan tanah air sendiri. Formula lama pengagihan subsidi hanya memperkasakan golongan yang kaya raya, orang asing, dan membiakkan gejala rasuah. Sampai bila begini dan sekali lagi, siapa harus dipertanggungjawabkan?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment