Wujudnya negara kerana ada tanah, wujudnya tanah kerana adanya rakyat atau penduduk. Justeru rakyat dan negara berkewajipan mempertahankan tanah airnya daripada serangan pencerobohan atau musuh. Islam mengajarkan umatnya: “Cinta tanah air itu sebahagian daripada iman.”
Menurut perspektif Islam, pengertian penjenayah atau penceroboh ialah seseorang yang menyerang Muslim, begitu juga seseorang yang seperti seorang zimmi, dengan tujuan mencederakan atau memudaratkan, sama ada pada tubuh badan, maruah, dan harta. (Dr Mustafa al-Bugha, Ali as-Syirbaji, al-Fiqh al-Manhaj).
Hukum mempertahankan diri berbeza mengikut keadaan, ada kala hukumnya wajib, dan ada kala bersifat harus (dibolehkan), mengikut keadaan tertentu, berserta syarat-syarat tertentu.
Hukum mempertahankan diri dan membalas serangan penjenayah diharuskan adalah kerana darurat (perkara yang tidak dapat dielak), dan kaedah fekah ada menyebutkan bahawa, darurat hendaklah ditentukan dengan kadarnya yang perlu sahaja (tidak lebih). - (Dr.Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh).
Firman ALLAH SWT bermaksud : “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan bertakwalah kamu kepada ALLAH serta ketahuilah, sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah : 194).
Makna ayat di atas menjelaskan bahawa membalas penindasan atau pencerobohan dan serangan yang diharuskan, adalah dilakukan dengan cara yang adil, iaitu sama kadar dan tidak berlebihan. Tindakan mangsa yang dibenarkan syarak adalah sekadar untuk melepaskan dirinya atau mangsa serta menghentikan serangan penjenayah, tidak lebih dari itu.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Sesiapa yang terbunuh kerana pertahankan hartanya, maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan darahnya (nyawanya) maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana pertahankan agamanya, maka dia adalah syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia adalah syahid.” (Imam Muhammad al-Mubarakfury, Tuhfat al-Ahwadzy).
Rasulullah SAW menyebutkan lagi sabdanya bermaksud : “Bantulah saudaramu yang zalim atau dizalimi.” Para sahabat bertanya: "Ini kami membantunya kerana dizalimi, bagaimana pula membantu orang yang zalim?" Jawab Baginda, “Kamu ambil kekuasaannya.” (sekat dan halang kezalimannya). (Soheh Bukhari).
Sabdanya lagi bermaksud: “Sesiapa yang mendapati seorang mukmin dihinakan (dizalimi) sedangkan dia mampu membela/menolongnya, akan ALLAH hinakan (malukan) dia di hadapan sekalian makhluk pada hari kiamat.” (Musnad Imam Ahmad Ibnu Hanbal).
Jika serangan jenayah ke atas nyawa, sama ada bertujuan membunuh atau membahayakan tubuh mangsa seperti memukul, menumbuk, melukakan dan lain-lain, hukumnya menurut Mazhab Syafie, jika penjenayah bukan seorang Muslim, mangsa wajib mempertahankan dirinya. Begitu juga hukumnya jika seseorang diserang oleh binatang buas, dia tidak boleh membiarkan dirinya menjadi mangsa.
Manakala serangan jenayah ke atas maruah, iaitu sama ada pemerkosaan atau bentuk-bentuk gangguan seksual (muqaddimah zina seperti mencium, meraba dan lain-lain), hukumnya wajib mangsa mempertahankan diri walau apa jua keadaan sekalipun, semampu mungkin, sekalipun dibunuh atau membunuh. Pendapat ini disepakati fuqaha. (Dr Wahbah az-Zuhaily, al-Fiqh al-Islamy wa Adillatuh).
Justeru, harus pertahankan diri dan membalas serangan penjenayah kerana ia satu bentuk jenayah atau kezaliman, iaitu melakukan sesuatu tanpa hak.
Fitrah manusia yang normal sentiasa inginkan hidupnya aman tenteram dan sejahtera. Setiap orang tidak suka diri, keluarga, apa lagi tanah airnya diganggu atau diceroboh. Islam datang bagi memastikan setiap individu dan negara mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama, lebih-lebih lagi ia diiktiraf oleh hukum antarabangsa bagi sesebuah negara.
Firman ALLAH bermaksud: “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu, sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Mai’dah : 3).
Oleh : Ibrahim Abdullah
No comments:
Post a Comment