KUALA LUMPUR - Perpecahan dalam kalangan orang Melayu bukan sahaja disebabkan oleh perbezaan ideologi politik tetapi turut didorong sindrom rasa bersalah menjadi Melayu.
Perkara itu didedahkan Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba yang berkata, sikap sedemikian menyebabkan orang Melayu semakin terpinggir disebabkan kelemahan sendiri.
Beliau yang kesal dengan sindrom tersebut menegaskan, orang Melayu tidak seharusnya wujud sekelumit pun rasa bersalah dalam diri mereka kerana dilahirkan sebagai Melayu.
"Jadi kenapa kita perlu rasa bersalah bila jadi umat Melayu. Perkara ini sudah dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu masih jauh ketinggalan dan tidak wajar untuk rasa bersalah.
"Ekuiti orang Melayu dan bumiputera cuma 20 peratus dan selebihnya dimiliki kaum lain. Jika peratus menjadi perkiraan dalam konteks Malaysia apakah Melayu yang hanya ada ekuiti 20 peratus ini menganiaya pihak lain," katanya.
Sidek berkata demikian dalam program Wacana Cuit: Dilema Melayu Moden yang turut menampilkan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin serta penganalisis politik, Yahya Ismail sebagai ahli panel di sini hari ini.
Mengulas lanjut Dr. Sidek berkata, hanya perpaduan sahaja yang boleh mengembalikan kekuatan orang Melayu sebagaimana pernah dibuktikan semasa bangkit menuntut kemerdekaan dari British dahulu.
Katanya, perpaduan yang diharapkan itu pasti lebih mudah jika parti pembangkang khususnya Pas berlapang dada dan menerima idea kesatuan tanpa terlalu mementingkan keuntungan politik melebihi kelangsungan orang Melayu.
"Apakah kalau kita memperjuangkan kepentingan Melayu itu assabiyah? Melayu itu Islam dan memperjuangkan Melayu bererti memperjuang Islam. Jadi mengapa usaha untuk mengangkat martabat Islam itu dianggap assabiyah?
"Tapi inilah sikap pemimpin pembangkang. Masa hendak tubuhkan UIAM dulu, apa mereka tidak kutuk. Masa tubuh Bank Islam, mereka kata seperti letak daging halal sebelah daging babi tapi sekarang siapa yang dapat manfaat," soalnya.
Dalam pada itu, Zainuddin pula memberi ingatan kepada orang Melayu agar berwaspada dengan penjajahan minda, budaya, sosial, ekonomi serta politik dalam bentuk baharu jika tidak mahu kaum berkenaan hilang kuasa mentadbir.
Katanya, kemunculan ahli politik tertentu yang licik memperalatkan apa sahaja demi memastikan matlamat peribadi tercapai meletakkan orang Melayu dalam keadaan semakin berisiko jika rakyat terleka dibuai ideologi liberalisme.
"Jangan kita hanya melihat kerosakan dan kelemahan kecil kerajaan sehingga menidakkan keagungan yang dicipta bangsa kita kerana belum tentu pihak yang menjanjikan perubahan boleh memastikan hak ini kekal," katanya.
Sementara itu, Yahya berkata, jika orang Melayu berterusan mementingkan ideologi politik masing-masing dan enggan bersatu walaupun kini menjadi minoriti dalam penentuan politik, tidak mustahil kuasa Melayu akan hilang.
"Jika Melayu gagal mempertahankan kuasa dalam pilihan raya umum akan datang, jangan harap kuasa politik itu dapat kita rampas kembali dan contoh terbaik di Singapura begitu juga nasib orang Melayu di Pulau Pinang," katanya.
Sumber : utusan@Politik
No comments:
Post a Comment