Sunday, September 5, 2010

Persiapan Raya di Kampung Banjar


Seminggu sebelum raya, ibu sibuk membuat kuih.

‘Halua kastila, bahulu, kuih baqaq, talinga kaling, kambang guyang awan kuih galang’…Halua betik, baulu, kuih bangkit, kuih deram, kuih ros dan kuih gelang.

Yang mula-mula dibuat ialah halua betik. Beranika bentuk direka (Bentuk cili, labah-labah dan bunga) sebelum betik-betik itu dicelur, tus dan masukan dalam bekas berisi air gula.

Kuih yang paling aku gemari pula ialah baulu. Sampai hari ini, aku tak boleh miss kuih baulu…pilihan pertama.

Sebelum ada telur ‘inject’, kami menggunakan telor ayam kampung yang jauh lebih kecil dari telur ayam bandar. Bila dah siap memang sedap dimakan tapi nak membuatnya, kus semangat.

Pagi-pagi lagi aku sudah kena perintah ‘kujak hintalo di gadur’ (pukul telor dalam bekas ala tempayan kecil). Memukul telur ni satu kerja remeh. Zaman dulu mana ada blender atau cake mixer. Semua kerja perlu dilangsaikan secara manual.

Ibu akan pecahkan telur dan masukkan dalam ‘gadur’. Tugasku hanya ‘mangujak’ (memukul) dengan besi ala spring bulat dengan lingkaran besar di bawah dan menirus kecil di atas. Di hujungnya ada pemegang kayu. Kalau ada yang mengambil profession sebagai tukang kujak, tak payah angkat besi, bahu dan lengan pasti berotot.

Bila tangan dah lenguh, terbuka juga mulut “Mak, dah cukup naik belum telur ni?” Jawapan diterima selalunya negatif. Cuba bayangkan satu jam non-stop ‘mangujak hintalo dalam gadur’. Bila telur dah cukup naik, ibu akan masukkan tepung berayak dan gula bertumbuk. Zaman dulu, tepung kena di ayak dulu kerana selalu terdapat ulat halus di dalam.

Bab membakar satu hal lagi. Merah biji mata kena asap meniup bara. Bara api di bawah dan di atas acuan tak boleh besar sangat dan tak boleh terlalu kecil nanti masaknya tak rata…separuh gelap (hangit) dan separuh putih kuning (belum masak).

Kuih baulu nampak mudah pembuatannya tapi kalau tak betul adunan, tu yang jadi keras macam jambu batu (terlebih gula) atau rasa hanyir telur (tak cukup kujak).

Kuih ‘baqaq’ satu lagi keistimewaan ibu dan masyarakat Banjar di kampung kami. Ada orang buat kuih bangkit baling ke dinding pun kuih tak pecah tapi kuih bangkit buatan ibu, masuk dalam mulut saja dah boleh ‘lanah’ (cair) tak payah kunyah kuat-kuat.

Kuih ‘talinga kaling’ (kuih penderam), ‘kambang guyang’ (kuih ros), semuanya memerlukan kepakaran dan tidak memerlukan bahan dari majerine.

Biasanya kuih muih yang dibuat ibu, belum raya dah separuh langsai. Raya pertama dan kedua, kuih tolak ke tepi kerana masih ada ketupat, kuah lodeh, sambal kacang dan rendang. Masuk minggu kedua, ‘saradaknya gin nyaman’ (serdaknya pun sedap).

Sehari atau dua hari sebelum raya, kakak sibuk menganyam ketupat - ketupat bawang dan ketupat sate. Ibu basuh dulu beras dan toskan sebelum dimasukkan ke dalam bekas yang sudah siap dianyam. Cara mengisi juga bukan sembarangan. Kalau terlebih beras, ketupat jadi keras dan peroi sebelah dalam, kalau terkurang, ketupat jadi benyek dan cepat basi. Ibu beri petua yang aku guna sampai hari ini…isi satu pertiga dan Insyaallah, ketupat jadi ‘just nice’.

Hari ini orang beli ketupat dalam plastik dan sudah pastinya, beras tidak berbasuh.

Hari terakhir puasa Abah (tiri) sibuk menangkap ayam peliharaan. Ayam ni pula macam ada feeling aje nak kena sembelih. Kalau biasanya jinak, tapi bila sampai masa untuk dikorbankan, punyalah liar. Ayam yang liar beginilah selalunya yang terpaksa ku kejar keliling rumah. Ayam kampung walaupun nampak tegap tapi stamina tak ada. Sekejap aje ayam-ayam tu dah termengah-mengah.

Selalunya, sebelum ayam disembelih, air seperiuk besar sudah siap dididihkan untuk mencelur ayam supaya bulunya mudah dicabut.

Sebut menyiang ayam, aku teringat masa mula-mula kahwin makan ayam di rumah mertua. ‘Asa manjalujuk rakungan’ (tekak loya) melihat bulu halus yang masih melekat di kulit. Cara menyiang orang Jawa berbeza dengan orang Banjar.

‘Tunu, haling’atau`parong’ (Tak tau apa perkataan dalam Bahasa Melayu) ayam atas api untuk membuang saki baki bulu halus yang masih melekat adalah satu kemestian. Sebab itulah, tak akan terdapat bulu halus pada kulit ayam yang dimasak oleh orang Banjar.

Seperti juga cempedak, kulitnya tidak dibuang (dibuat mandai) maka begitulah cermatnya orang Banjar dengan rezeki yang tak seberapa. Usus ayam dibelah dan dibersihkan untuk ditumis dengan kacang panjang atau ‘kacang duduk’. Apa bendanya kacang duduk tu? Entah, aku boleh tunjuk tapi tak tau nak sebut dalam Bahasa Melayu.

Mujurlah menyediakan lemang dan dodol tidak diamalkan di kampung kami, kalau tidak, boleh terseliuh pinggang dibuatnya.

...utuhpaloi.com

No comments:

Post a Comment