Friday, August 27, 2010
Tanah Melayu ini diberi nama Malaysia
Manusia apabila lahir diberikan nama. Nama diberi bukan sahaja untuk sedap didengar tetapi juga mempunyai makna yang baik. Nama ini sangat penting untuk kita mengenal manusia-manusia dikeliling kita sebagai contoh ibu bapa, ahli keluarga, kawan-kawan dan orang yang baru kita kenal. Malah manusia yang mempunyai haiwan belaan seperti kucing juga diberi nama Tompok, Comel dan sebagainya bagi menunjukkan rasa kasih dan sayang terhadap haiwan belaannya. Begitu juga bagi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, nama yang baik akan diberi sebagai identiti untuk dikenali diseluruh dunia.
Setelah benua Nusantara atau Malay Archipelago berpecah-pecah akibat penjajahan British dan Belanda, identiti bagi benua Melayu hanya tinggal di Semenanjung Tanah Melayu. Proses sejarah yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu akhirnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Januari 1948, sehinggalah kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Setelah kemerdekaan dicapai, Sabah dan Sarawak pula telah bersama-sama untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu maka lahirlah sebuah negara yang lebih besar dinamakan Malaysia pada 16 September 1963.
Satu persoalan yang pernah timbul adalah mengenai nama Malaysia ini telah menyebabkan hilangnya Tanah Melayu dan hilangnya jatidiri bangsa Melayu. Persoalan sebegini sepatutnya tidak timbul sebagai masalah jika orang Melayu memahami dan mengetahui sejarah negara sendiri.
Malaysia adalah nama yang diberi kepada Persekutuan. Dalam Perkara 1(1) menjelaskan Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkara 1(1) tersebut diubah apabila terbentuknya Malaysia pada 1963. Perkara yang asal pada hari Merdeka adalah Perkara 1(1) Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (dalam bahasa Inggeris Federation of Malaya). Perkataan 'Persekutuan' bermaksud gabungan negeri-negeri Melayu Bersekutu, tidak bersekutu dan negeri Selat, iaitu gabungan negeri-negeri Melayu. Maka apabila diubah dari 'Persekutuan Tanah Melayu' kepada 'Malaysia', ia bermakna gabungan-gabungan negeri Melayu di Tanah Melayu (Persekutuan) ini diberi nama Malaysia.
Terdapat satu lagi fakta menunjukkan bahawa nama Malaysia ini bukan dicipta pada tahun 1963. Tetapi nama Malaysia telah digunakan sejak tahun 1889 J.E Tenison-Woods dalam laporannya bertajuk 'Geographical Notes in Malaysia and Asia' dalam akhbar The British North Borneo Herald bertarikh 1 Januari 1889. Dibawah saya sertakan laporan daripada Utusan Online:
KOTA KINABALU 28 Julai - Penggunaan nama Malaysia bagi merujuk kepada negara ini telah mula digunakan sejak 120 tahun lalu iaitu pada 1889 dan bukannya pada 1929 seperti yang direkodkan di Arkib Negeri Sabah.
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof. Madya Mat Zin Mat Kib berkata, penggunaan nama Malaysia itu direkodkan dalam akhbar The British North Borneo Herald (BNBH) bertarikh 1 Januari 1889.
''Penemuan laporan bertajuk Geographical Notes in Malaysia and Asia yang ditulis oleh J.E Tenison-Woods ini membetulkan kajian awal yang dibuat oleh pihak arkib negeri Sabah bahawa perkataan Malaysia digunakan pada 1 Julai 1929 oleh akhbar yang sama," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, laporan yang dibuat J.E Tenison itu memberikan maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan kunjungannya ke Sulu sekitar 1883 hingga 1886.
Beliau yang telah mula membuat kajian sejarah negara sejak 1984, penemuan ini adalah penting bagi memberikan maklumat sejarah yang tepat kepada generasi muda.
''Penemuan itu membuktikan nama Malaysia digunakan lebih awal dari tarikh kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia malah menunjukkan ia digunakan dengan meluas oleh orientalis barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu.
''Penemuan ini juga sekali gus merangsang para sejarawan untuk mengkaji lebih mendalam lagi mengenai kewujudan nama Malaysia dalam sejarah negara,'' ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai penemuan itu baru-baru ini dan mempunyai salinan asal akhbar berkenaan.
''Mat Zin yang menjalankan kajian di sini telah memaklumkan mengenai penemuan baru dalam BNBH yang disimpan di arkib negeri Sabah dan kita juga telah mengesahkannya.
''Kita amat mengalu-alukan penemuan terbaru ini selepas penemuan lama yang ditemui seorang penyelidik daripada Universiti Malaya yang turut membuat penyelidikan di sini,'' katanya.
Tambahnya, pada masa ini Arkib Negeri Sabah ada menyimpan koleksi BNBH yang mula diterbitkan dari 1883 hingga 1941.
----------
Tiada sebab untuk mengatakan bahawa Tanah Melayu ini bukan milik Melayu kerana telah lama diiktiraf oleh orang lain dan juga berdasarkan fakta-fakta sejarah namun anasir-anasir dalam negara sendiri yang cuba untuk mengubah sejarah bahawa tanah ini tidak berpunya. Jika Cina berbangga dengan negara China, India dengan negara Indianya, Melayu pula bagaimana? Nak pergi mana bila tiada negara? Ini adalah Tanah Melayu yang diberi nama Malaysia. Kaum-kaum lain bebas untuk hidup ditanah ini namun jangan lupa bahawa akarnya adalah Melayu, jangan mencuba untuk meracuninya.
...ArenaMalaya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment