Monday, April 28, 2014

For The Rakyat....Ini Bahasa Apa?

Semakin Kurang Cintai Bahasa Melayu
Sejak Pidato Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri diperkenalkan pada 2007, saya cuma membaca beritanya. Tetapi Khamis lalu saya berpeluang menonton pusingan separuh akhir PABM 2014 di Pusat Kesenian Dan Kebudayaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia secara langsung.

Walaupun bukan bahasa ibunda mereka, tetapi 12 peserta kategori antarabangsa yang membentangkan hujah dalam bahasa Melayu, dengan gaya persembahan yang menarik, sungguh mengagumkan saya.

Peserta-peserta pidato menguasai bahasa Melayu dengan baik. Idea mereka juga menarik malah ada isi pidatonya mantap.

Pada saya, bukan soal kemenangan jadi topik minggu ini. Tetapi mesej tersirat daripada beberapa peserta PABM 2014 dalam hujah mereka.

Saya terkedu apabila peserta dari Korea Selatan, Kim Woo Jung berdiri di pentas pidato lalu meluahkan rasa kecewa dengan sikap pelajar warga Malaysia.
 
Dia telah mempelajari bahasa Melayu hampir tiga tahun di negaranya. Dan di Malaysia, dia ingin belajar bahasa ini dengan warga Malaysia sendiri. Dia tertarik bagaimana rakyat di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan berlainan agama dapat bersatu melalui bahasa Melayu.

Tetapi dia rasa kecewa apabila bertemu dengan seorang pelajar universiti di negara ini. Dia meminta bantuan supaya pelajar itu mengajarnya mempelajari bahasa Melayu.

Bukan dengan rasa megah diterima oleh pelajar universiti itu, sebaliknya dibangkitkan pula pertanyaan balas kepadanya.

Kata Woo Jung, pelajar itu bercakap dalam bahasa Inggeris mempersoalkan apa faedah dia belajar bahasa Melayu. Alangkah terkejut Woo Jung dengan semangat pelajar warga Malaysia itu terhadap bahasa kebangsaan.

Mendengar hujah pidato Woo Jung itu, saya dan mungkin anda juga terkedu dibuatnya. Tapi di sudut hati saya berkata, dia bertanya kepada orang yang salah.

Orang yang Woo Jung bertanya dan minta bantuan itu barangkali pelajar berketurunan Cina, atau India, atau Sikh, atau Serani yang tidak mahir berbahasa Melayu.

Kalau dia bertanya kepada pelajar berbangsa Melayu, tak mungkin hasratnya ditolak kecuali pelajar Melayu itu sudah hilang semangat bangsa Melayunya.

Kisah yang dibangkitkan pelajar Korea Selatan itu menunjukkan ada kalangan pelajar Malaysia yang langsung tidak mempedulikan usaha mendaulatkan bahasa Melayu. Bagi mereka subjek itu hanya untuk mendapatkan sijil atau ijazah dan bukan sebagai alat komunikasi.

Begitu juga hujah daripada peserta dari Ghana, Abdul Hamid Abdul Wahab dan peserta Amerika Syarikat, Briget Johnson. Saya rumuskan hujah kedua-duanya yang melemparkan persoalan, jika ingin melihat bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dan antarabangsa, maka rakyat negara ini harus menghargai bahasanya sendiri.

Rakyat Malaysia harus berfikir dan bercakap dalam bahasa Melayu. Kalau tidak digunakan, bahasa Melayu akan hilang dan tidak mungkin dapat menjadi bahasa ilmu.

Soalnya, adakah rakyat Malaysia sekarang menganggap bahasa Melayu itu bahasa ilmu dan ‘bahasa mereka’? Rasanya tidak. Mereka lebih utamakan bahasa ibunda masing-masing. Kalau tidak pun mereka lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam semua urusan harian. klik disini

Benarkah orang Malaysia sudah tidak peduli apatah lagi mencintai bahasa kebangsaannya?
Beginilah nasib bahasa Melayu. Semakin banyak kita bangkitkan usaha dan kempen kesedaran tentang penggunaan bahasa Melayu, semakin kuat pula cabarannya. Kita sendiri dapat lihat di sekeliling, seolah-olah bahasa Inggeris pula menjadi bahasa utama negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka yang diberi amanah mendaulatkan bahasa kebangsaan ini kena aktif mempergiatkan kempen seperti kempen Cintailah Bahasa Kita ketika zaman Datuk Hassan Ahmad.
DBP kena berani ke tengah untuk menegur dan memastikan semua rakyat Malaysia menggunakan bahasa Melayu dalam apa juga urusan. Banyak yang kita lihat, baca dan dengar sekarang menyalahi penggunaan bahasa Melayu yang betul, tapi tak siapa yang berani tegur!

Oleh : Azman Anuar

Sunday, April 27, 2014

Perasaan Seorang Pengantin....Panggilan Hangit Hot FM

Perbualan antara Fizi Hot FM dengan seorang guru tari yang dikenali sebagai Encik Izzuddin ini telah dikongsi menerusi laman Facebook rasmi Hot FM.

"What the fish!!! What the fish!!! 
What the fish!!! What the fish!!!

Sehingga saat ini, ia telah mendapat lebih 5,000 ‘likes’ dan dikongsikan hampir 9,000 pengguna akaun Facebook.

Ia berkisarkan pinjaman peribadi Izzuddin yang kononnya tidak diluluskan sehingga dia tidak dapat mengawal perasaan dan mengamuk sepanjang perbualan.

"You tau tak perasaan seorang pengantin!!!....

Tuesday, April 22, 2014

Suara Rakyat Johor....Syor 'Jambatan Persahabatan' Di Tambak Johor

DALAM pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, PM Najib mengemukakan cadangan kepada Singapura untuk membina sebuah jambatan baharu yang dapat menghubungkan kedua-dua negara berjiran itu.

 Jambatan baharu ini diberi nama "Jambatan Persahabatan".

Pada Disember tahun lalu, Najib bersama Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei telah merasmikan pembukaan Jambatan Persahabatan sepanjang 60m merintasi Sungai Pandaruan dan Limbang Sarawak. Ini merupakan jambatan pertama antara kedua-dua buah negara.

Pada masa ini antara Malaysia dan Singapura kita telah mempunyai dua jambatan. Sebelah utara Singapura, adanya Tambak Johor dan barat Singapura, Tuas Second Link. Persoalannya apakah perlu jambatan ketiga antara negara pulau itu dengan Malaysia? Apa keperluannya?

Apa yang harus diberikan perhatian oleh kedua buah negara adalah bagaimana untuk memberikan kelesaan kepada orang ramai yang keluar masuk antara Singapura dan Johor.

Tambak Johor yang menghubungi kedua-dua buah negara itu sudah terlalu lama, malah terlalu sempit sehingga menyebabkan kesesakan teruk berlaku setiap hari. Ini masih berlaku walaupun adanya jambatan kedua, di Tuas. Second Link (Tuas) tidak mendapat sambutan kerana tempatnya yang jauh terutama sekali rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan rakyat Singapura yang tinggal di Johor.

Apakah dengan terbinanya jambatan persahabatan itu nanti dapat memberikan jaminan laluan yang selesa bagi rakyat kedua-dua buah negara? Atau hanya simbol simbolik perhubungan pemimpin kedua-dua buah negara yang dilihat tidak memberikan faedah kepada rakyat kedua-dua buah negara?

Saya merasakan Singapura juga mempunyai sedikit masalah bagi pembinaan jambatan ketiga. Ini kerana negara pulau itu masih meneliti tiga lokasi untuk pembinaan terminal Projek Landasan Berkelajuan Tinggi (HSR) serta Rapid Transit System (RTS). Dunia mengetahui ruang tanah yang sangat terhad di Singapura.

Dalam soal ini, saya ingin mencadangkan agar di hidupkan semula idea bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan jambatan ketiga yang dicadangkan itu. Kerajaan Malaysia harus meneruskan idea Tun Mahathir membina jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Woodlands di Singapura bagi menggantikan jambatan usang Tambak Johor.

Idea itu dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir ketika di peringkat akhir kepimpinannya tetapi dibatalkan oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jambatan bengkok ini juga dilihat akan merangsangkan ekonomi Malaysia (terutama sekali dengan adanya Iskandar Malaysia) apabila rakyat Singapura tidak perlu bersesak-sesak untuk berbelanja di Negeri Johor setiap hari. Ini akan menguntungkan ekonomi rakyat Johor sekali gus memberikan kebaikkan kepada Malaysia apabila puluhan rakyat Singapura keluar berbelanja di Malaysia setiap hari.

Perlu di ingat jambatan bengkok atau boleh diberi nama "Jambatan Persahabatan" dengan ketinggian 25 meter dari aras tanah dilihat akan menarik kapal-kapal dagang kecil untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang Johor, tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh melewati Republik Singapura.

* Mohamed Mansor Abdul Rahman