Friday, May 3, 2013

Waspada Apabila Berjanji

RASULULLAH SAW bersabda, Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga perkara: apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianati. (riwayat Muslim)

Soal janji merupakan perkara pokok dalam menggalas sesuatu amanah, apabila kata-kata manis yang disuarakan di hadapan rakyat dikhianati, maka pincanglah sesuatu masyarakat.

Sehubungan itu, Nabi Muhammad terlebih dahulu memberi peringatan kepada umatnya agar berwaspada dengan janji yang dilaungkan untuk dilaksanakan.

Hadis di atas berkait rapat dengan musim pilihan raya yang berbaki beberapa hari lagi. Pada saat inilah kita dapati parti atau calon yang bertanding menaburkan 1001 janji untuk meraih undi agar mereka dipilih untuk menyandang gelaran Yang Berhormat.

Tetapi tidak lama kemudian setelah menguasai negeri atau kawasan tertentu, janji yang dilaungkan itu sudah tidak lagi kedengaran dan akhirnya menjadi omongan kosong semata-mata.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, sebagai manusia hatta para pemimpin, wajib melaksanakan janji walaupun sekecil-kecil perkara.

Jelas beliau, hal berkenaan ditegaskan oleh Rasulullah SAW seperti mana hadis baginda dengan menyebut orang-orang tidak melaksanakan janji bersifatkan ciri-ciri munafik.

Dr. Fadlan berkata, jika pada pilihan raya lalu, sesetengah pakatan parti politik menjanjikan pelbagai tawaran demi mengaburi mata pengundi, namun apabila rakyat mempersoalkan mengapa ia tidak ditunaikan, mereka memberikan 1001 alasan.

"Oleh demikian, jangan kita melagukan macam-macam manifesto dengan 'gula-gula' yang tidak realistik bagi mengaburi mata rakyat kerana apabila tidak dilaksanakan, kesannya amat besar.

"Implikasinya adalah rakyat mengharapkan habuan melalui manifesto itu dilaksanakan tetapi apabila gagal, mereka merasakan tertipu lalu hilang kepercayaan kepada pemimpin," katanya.

Bahkan Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia itu berkata, Allah SWT berfirman dalam surah Mukminun menyebut antara sifat orang berjaya adalah mereka yang menjaga amanah dan janjinya, sekiranya ia bertentangan dengan perkara itu, maka mereka yang tidak melaksanakan janji dikategorikan orang gagal.

Tokoh agama itu menasihatkan para pengundi agar memilih pemimpin mempunyai rekod menunaikan janji sejak hampir 60 tahun lalu berbanding memilih individu atau parti yang telah diberi peluang memerintah di beberapa negeri tertentu tetapi tidak pernah mengotakan janji.

"Kepada para pengundi berwaspadalah dengan pelbagai manifesto tidak relevan berbanding dengan Aku Janji yang realistik dan mampu dilaksanakan.

"Selain itu, khususnya kepada parti dan calon, ingatlah kepada hadis disebutkan bahawa bahana bakal menimpa kepada mereka yang memungkiri janji. Ini kerana tidak tepati janji adalah salah satu ciri munafik.

"Jika mereka berbuat demikian, saya menyeru kepada mereka kembali kepada jalan benar dan taubat semoga Allah mengampunkan mereka," ujar Fadlan.

Negara Islam
Pemikiran bercelaru sesetengah pihak dengan menuduh sesuatu perkara tanpa mengemukakan asas dan bukti kukuh sebenarnya boleh mendatangkan keburukan kepada semua pihak lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan persoalan negara.

Hal itu sebenarnya berkaitan dengan tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa Malaysia adalah sebuah negara sekular selain menafikan peranan kerajaan yang selama ini berusaha gigih demi kesucian agama Islam.

Bagi menjawab tuduhan itu, terlebih dahulu baik kita teliti Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut: Agama Islam ialah agama bagi persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Kenyataan tersebut sudah jelas menafikan dakwaan di atas. Polemik berpanjangan itu boleh menggugat keamanan negara.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hal ini boleh dengan melihat keseluruhan kandungan Perlembagaan yang antaranya menyentuh hak kesucian agama Islam di samping agama-agama lain terus dipelihara.

Jelas pengamal undang-undang itu, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan boleh diterjemahkan menerusi pengembangan dan pembangunan agama Islam yang selama ini dilakukan oleh kerajaan.

Kata beliau, hasil daripada peruntukan undang-undang itu maka tertubuh Tabung Haji, Bank Islam, pusat-pusat pengajian tinggi dan pendidikan Islam, saluran televisyen dan radio Islam, pengenalan produk-produk syariah, penaiktarafan mahkamah syariah dan lain-lain.

"Sehubungan itu, saya menjelaskan bahawa tuduhan berpanjangan itu sebenarnya boleh memberi implikasi kepada pembangunan terhadap agama Islam yang dikecapi selama ini sedangkan kandungan dalam perlembagaan menjamin kesucian agama," jelas beliau.

Walaupun pihak berkenaan mendakwa isu gejala sosial berlaku di sebalik tuduhan Malaysia sebagai negara sekular, dakwaan berkenaan tidak berasas sama sekali memandangkan pelbagai akta digubal untuk membendung masalah itu. Hal ini bertepatan dengan salah satu prinsip jenayah Islam iaitu takzir.

Oleh itu, Zainul Rijal menyelar tuduhan tidak berasas itu dengan mengajak mereka untuk memahami prinsip Perlembagaan Persekutuan yang sebenarnya menepati roh Islam.

"Janganlah kita menuduh sebarangan, marilah kita bersama-sama kerajaan membangunkan agama Islam demi meneruskan misi dakwah Rasulullah SAW," tegas Zainul Rijal.

Nada sama turut disuarakan Fadlan dengan menerangkan perbezaan organisasi pernah melaksanakan tanggungjawab berbanding gah atas nama slogan.

"Selama 55 tahun, siapakah yang melakukan pembangunan dan menjaga kedaulatan agama Islam berbanding slogan parti tertentu yang mengatakan mereka memperjuangkan Islam?

"Jika kerajaan sedia ada kini tidak memperjuangkan agenda Islam, macam mana boleh terbinanya pelbagai pembangunan yang bertepatan dengan syariat Islam.

"Jangan bangga atas nama namun isinya kosong tetapi kita perlu melihat rekod dan kejayaan pembangunan terhadap agama Islam selama ini," kata beliau.

Sumber : utusan@Bicara Agama

Thursday, May 2, 2013

'Berzina' Dengan Isteri

ANGKARA malu dengan perbuatan silam, segelintir pasangan yang terlanjur sehingga melahirkan anak sanggup menipu dan menyembunyikan hal sebenar demi menjaga maruah.

Namun malangnya, mereka lupa kesan daripada tindakan tersebut memberikan kemudaratan kepada anak yang lahir tanpa pernikahan sah itu sehingga generasi ke generasi.

Ia bukan sahaja merosakkan rantaian zuriat dan keturunan malah menimbulkan permasalahan untuk jangka masa panjang.

Isu nasab atau keturunan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Malah, ulama turut menggariskan perihal nasab merupakan salah satu yang ditetapkan dalam maqasid syariah (matlamat yang disyariatkan) selain agama, nyawa, akal, harta agar dipelihara sempurna.

Pengarah Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Abas Nordin berkata, wali yang juga tidak sah menyebabkan pernikahan berkenaan tidak sah mengikut syarak.

Beliau berkata, kesannya hubungan suami isteri hasil pernikahan yang tidak sah adalah seumpama pasangan yang melakukan zina dan zuriat daripada perzinaan dikira anak haram.

"Seorang lelaki yang melakukan hubungan dengan wanita tanpa akad nikah ditafsirkan sebagai berzina. Manakala hasil anak yang diperoleh daripada hubungan tersebut dianggap sebagai anak tidak sah taraf, dan begitulah seterusnya dari generasi ke generasi.

"Hal ini sama seperti seorang pasangan yang berkahwin tanpa dinikahkan oleh wali yang sah. Ia mengakibatkan pernikahan tersebut tidak sah kerana wali merupakan salah satu yang wajib diikuti dalam rukun nikah.

"Ia berpunca daripada sikap menyorokkan fakta dan memalsukan dokumen kelahiran yang dilakukan oleh individu terdesak. Oleh kerana malu dengan tohmahan sekeliling termasuk menjaga perasaan anak tidak sah taraf itu, mereka bertindak mengambil sesuatu keputusan tanpa merujuk berlandas syariah.

"Akhirnya segala urusan berkenaan nasab yang asalnya mudah menjadi sukar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Sah Nikah Sah Nasab di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi baru-baru ini.

Kempen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berkongsikan pengalaman sepanjang mengendalikan kes syariah, Abas berkata, kes mengenai permasalahan nasab dikategorikan dalam kes terpencil, namun kes ini tidak boleh dipandang remeh.

"Islam tidak pernah memandang mudah permasalahan ini malah memberi jalan penyelesaian. Pasangan yang berkahwin dengan dinikahkan oleh wali yang tidak sah taraf dikategorikan sebagai persetubuhan syubhah mengikut Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 113, akta 303," katanya.

Hasil persetubuhan syubhah bukan anak haram
Mengulas lanjut, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, bagaimanapun anak yang lahir hasil persetubuhan syubhah tidak dikategorikan dalam kalangan anak tidak sah taraf sebagaimana yang disepakati para fuqaha.

Beliau berkata, secara umumnya dirumuskan anak tidak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan atau persetubuhan syubhah.

"Terdapat peruntukan undang-undang kesahtarafan anak dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukan siapa yang dikaitkan sebagai bapa.

"Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki dan melahirkan seorang anak dalam tempoh lebih daripada enam bulan qamariah (bulan Hijrah) dari tarikh perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan dengan lelaki tersebut.

"Begitu juga jika penceraian berlaku dalam tempoh sebelum empat tahun qamariah bermula tarikh perkahwinan dan perempuan itu melahirkan anak tanpa berkahwin semula, hendaklah anak itu dibinkan kepada bekas suami tadi.

"Bagaimanapun, lelaki itu boleh menafikan anak tersebut dengan cara li'an (pertuduhan) di mahkamah," ujarnya.

Tambah Abdul Majid, nasab sangat dititikberatkan dalam Islam kerana ia boleh mengakibatkan kecelaruan dan permasalahan yang bakal timbul kepada individu atau keturunan individu tersebut pada masa depan.

Permasalahan tersebut ialah, penamaan, pergaulan, nasab, hak penjagaan, nafkah, pusaka wali, dan kematian.

Beliau berkata, dari sudut penamaan, anak tak sah taraf hendaklah dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah atau nama-nama lain dalam asma al-husna (99 nama Allah). Ia tidak wajar di bin atau bintikan ibu anak tersebut kerana dikhuatiri menimbulkan kesan psikologi terhadap anak.

Manakala dalam konteks pergaulan pula, perhubungan anak tidak sah taraf dengan ahli keluarga ibunya adalah mempunyai hubungan kekeluargaan yang sah (mahram), tetapi tidak kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu (bukan mahram).

"Anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan terus kepada ibunya bukan lelaki yang menyetubuhi ibu tersebut. Bagaimanapun, anak tersebut harus dibin atau bintikan dengan Abdullah atau asma al-husna.

"Manakala lelaki yang menyetubuhi ibu anak tidak sah taraf tiada hak dalam penjagaan anak dan ia dipertanggungjawab kepada ibu dan saudara sebelah ibu. Begitu juga hal sama kepada pemberian nafkah.

"Anak tidak sah taraf boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja tetapi tidak berhak kepada bapanya yang tidak sah taraf. Begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak mewarisi pusakanya.

"Hak perwalian anak tidak sah taraf adalah terletak pada ibunya dan tidak sah bagi lelaki yang menyetubuhi ibu atau bapa tiri anak tersebut jika ibunya berkahwin.

"Manakala kematian anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut ibunya walaupun bukan beragama Islam dan mayatnya diuruskan mengikut agamanya. Tidak berhak lelaki yang menyetubuhi ibu anak tersebut untuk menuntut jenazah anak walau beragama Islam," katanya.

Sumber : utusan@Bicara Agama

Tuesday, April 30, 2013

Pelihara Ukhuwah Ketika Berkempen

Pilihan raya umum semakin hampir. Rata-rata topik perbincangan adalah tentang calon parti pilihan masing-masing, malah anak-anak sekolah pun sudah pandai berpolitik! Dalam kehangatan menghadapi suasana pilihan raya, kadangkala emosi menjadi tidak terkawal dan akibatnya tercetuslah pergaduhan serta permusuhan sesama sendiri.

Kes-kes kesalahan berkaitan pilihan raya pun sudah banyak berlaku di seluruh negara. Contohnya, di Terengganu berlaku kes seorang penyokong politik diserang dengan kayu dan parang sehingga cedera parah oleh sekumpulan penyokong parti politik lain. Ia berpunca daripada perebutan kawasan pemasangan bendera parti tersebut.

Di Negeri Sembilan, tujuh lelaki didakwa berkaitan kes gaduh di tempat awam sehingga menganggu ketenteraman awam mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan. Dua lagi didakwa di Pasir Putih, Kelantan kerana melakukan kesalahan sama dengan membaling kerusi dan memegang besi.

Selalunya pergaduhan dan keganasan ini berlaku bagi mereka yang terlibat dengan aktiviti pemasangan bahan kempen seperti kain rentang, bendera dan poster di sekitar kawasan masing-masing.

Agak memeranjatkan perkara seperti ini masih berlaku di kala negara sudah merdeka selama lebih 50 tahun. Sepatutnya umur sedemikian sudah cukup matang untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Perbezaan fahaman politik bukanlah alasan untuk bermusuh dan berbalah sesama sendiri. Agak malang jika kita terikut-ikut dengan emosi dan hasutan syaitan untuk bersengketa serta tidak bertegur sapa. Sepatutnya kita mengamalkan budaya menghormati pendapat dan pendirian masing-masing.

Sebagai orang Islam kita sebenarnya tidak perlu kepada undang-undang untuk mengawal tingkah laku. Umat Islam seharusnya sudah sedia maklum kepentingan menjaga jalinan ukhuwah serta tidak bermusuhan.

Bukankah umat Islam itu bersaudara dan harus saling menyayangi di antara satu sama lain. Bak kata pepatah Melayu: "Cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit". Rasulullah SAW juga pernah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: "Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya" (Muntafaq 'Alaih)

Sesama orang Islam yang tidak bertegur sapa selama tiga hari (kerana pergaduhan dan ingin memutuskan persaudaraan) adalah haram (berdosa). Rasulullah SAW bersabda " Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan (tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih daripada tiga hari" (Riwayat Bukhari).

Perbuatan tidak bertegur sapa, memfitnah orang dan sebagainya boleh membawa kepada perpecahan yang akhirnya akan menjadikan umat Islam lemah. Pada hari ini umat Islam lemah kerana mereka tidak bersatu. Apabila umat Islam lemah, maka mudahlah musuh untuk menggerakkan jentera mereka.

Berbeza pendapat bukanlah alasan untuk bergaduh dan saling bermusuhan. Kita masih boleh berbincang dan berbeza pendapat dalam suasana yang lebih berhemah dan harmoni. Ia juga mampu merangsang pemikiran dan membantu kita mengutarakan idea secara tersusun dan menyakinkan.

Bukankah itu lebih baik daripada bergaduh, mencederakan dan bertindak ganas hanya semata-mata kerana perbezaan pandangan politik. Sikap sedemikian amat memalukan, bukan sahaja terhadap orang yang bukan Islam tetapi juga kepada anak-anak yang cepat meniru perbuatan orang dewasa.

Sepatutnya kita yang menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Jangan pula kita terperanjat atau berpura-pura terperanjat jika anak menjadi ganas dan berlagak samseng di sekolah.

Fitrah manusia adalah saling perlu memerlukan serta lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Tiada manusia yang boleh hidup bersendirian di dunia ini. Justeru jangan meninggi diri dan memandang hina orang lain. Kesatuan ummah adalah teras demi menegakkan agama Islam. Berjuang di jalan Allah di atas landasan syariat, tidak bermatlamatkan dunia, bukan untuk kepentingan diri atau mana-mana pihak.

Sewajarnya umat Islam saling tolong menolong dan hormat menghormati antara individu dan masyarakat walaupun saling berbeza fikrah dan pendapat. Jalinan ukhuwah yang terjalin dapat melenyapkan segala batas perbezaan serta tidak menyusah dan membebankan orang lain.

Kita khuatir kemurkaan Allah akan tiba terhadap hambanya yang terus terusan bermusuhan sesama sendiri. Pada saat turunnya bala, semua orang akan terkena tempiasnya dan bukannya terkena pada orang tertentu sahaja. Oleh itu nasihatilah kawan-kawan kita yang masih bersengketa serta tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan fahaman politik.

Sumber : utusan@Rencana