Wednesday, August 3, 2022

Hormat Pendirian Kerajaan Tidak Iktiraf UEC

BANGI – Kesatuan dalam sistem pendidikan negara kelihatan sukar apabila wujudnya pihak yang tidak bersependapat dengan pendirian kerajaan Pusat untuk kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana ia bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, UEC yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC), menggunakan kurikulum yang digubal serta dibangunkan Dong Zong, selain menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama.

Justeru, beliau menjelaskan, kerajaan hanya akan mempertimbangkan penyelesaian berhubung pengiktirafan terhadap UEC jika ia diubah supaya selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee yang menekankan kerajaan Sarawak sentiasa menghargai bakat berkata, tindakan tidak mengiktiraf UEC satu pembaziran modal insan.

Katanya, dunia kini tiada sempadan dan kerajaan tidak patut menyekat sesiapa pun daripada mendapat pendidikan pilihan mereka.

“Pendidikan sepatutnya bersifat progresif dan membolehkan modal insan lebih baik serta pelbagai.

“Kebebasan pendidikan sama pentingnya dengan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.

Dalam hal ini, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ketetapan yang dibuat Putrajaya hendaklah dihormati.

Katanya, ia perlu setimpal dengan susila Putrajaya yang menghormati langkah yang diambil kerajaan Sarawak untuk mengiktirafkan UEC dalam ranah Sarawak, dengan tidak membidasnya.

“Dengan sifat dua tahap kerajaan ini, adalah penting untuk kedua-dua pihak menghormati cara governans masing-masing sebagai yang diperuntukkan.

“Oleh itu, pihak tertentu daripada kerajaan Sarawak tidak perlu menyelar kerajaan Pusat dalam isu pengiktirafan UEC ini, antaranya sebagai pembaziran modal insan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong berkata, dalam perkara ini sebenarnya ia tidak harus dilihat sebagai masalah yang terlalu besar dari satu segi lain.

Jelasnya, ini kerana dalam sistem pemerintahan federalisme yang diguna pakai di Malaysia, ia dibolehkan dengan absahnya.

Lebih-lebih lagi apabila berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, khususnya Perkara 15 yang menegaskan bahawa sistem pendidikan tempatan yang sedia ada boleh diteruskan oleh wilayah terbabit dan diuruskan wilayah itu dengan bidang kuasa yang ada.

“Natijahnya di sini ialah saling menghormati selain mengurus tadbir berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri dan Wilayah, termasuklah Perjanjian Malaysia 1963, untuk perimbangan kuasa yang saksama bagi perjalanan federalisme yang lebih unggul,” katanya. - ismaweb.net

Terjemahan Mandarin Bulan Kebangsaan, Satu Penghinaan Buat Negara

KUALA LUMPUR – Tindakan penganjur program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 yang meminta supaya Bahasa Mandarin diselitkan dalam ucapan pengemudi majlis mengundang kritikan masyarakat.

“Satu penghinaan buat negara! Penganjur patut rasa malu! Perlukah nak diterjemah pula dalam Bahasa Mandarin? Lebih sudu dari kuah pula! Apa sudah jadi?” berikut merupakan ulasan Hazwan Mohamad Awi, Ketua Penerangan BERJASA Malaysia.

Dr Ahmad Sanusi Azmi juga mempersoalkan tindakan penganjur tersebut.

“Dalam pelancaran Bulan Kebangsaan, pengacara akan cuba menterjemah konsep Keluarga Malaysia dalam Bahasa Mandarin. Timbul persoalan di sini, mengapa pelancaran Bulan Kebangsaan memerlukan terjemahan Bahasa Mandarin?” ujar Profesor Madya Fakulti Pengajian Quran Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia tersebut.

Persoalan yang sama turut dibangkitkan oleh Profesor Dr Zainur Rashid Zainuddin, Profesor di International Medical Unversity, di mana beliau menyatakan:

“Kenapa perlu guna Bahasa Mandarin untuk majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan?” soalnya.

Beliau turut menyuarakan bantahan terhadap hal yang dianggapnya sebagai sebuah penghinaan tersebut.

“Saya membantah kerana ia adalah satu penghinaan buat negara!” tegas beliau.

Sentimen yang sama turut disuarakan oleh Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, di mana beliau menegaskan:

“Saya rasa sangat bermasalah dan sangat tidak kena laporan ini.”

“Untuk siapa pengacara berbahasa Mandarin? Kalau untuk media antarabangsa, kenapa Mandarin sahaja? Kalau untuk masyarakat majmuk Malaysia juga, kenapa Mandarin sahaja? Kenalah ada berpuluh-puluh pengacara yang menguasai bahasa semua kaum dan etnik di Malaysia,” tegasnya.

Menurut Dr Rafidah Hanim lagi, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 diciptakan sebagai medium penyatuan rakyat di mana satu bahasa sepatutnya digunakan oleh semua rakyat Malaysia.

“Kita sudah 65 tahun merdeka.”

“Bukankah Bulan Kebangsaan ini sepatutnya mengingatkan kita semua rakyat Malaysia agar fasih dalam bahasa kebangsaan kita?” soal beliau.

“Keseluruhan tajuk atau kaedah pengacaraan sebenarnya telah pun mencacatkan objektif Bulan Kebangsaan kita,” tambah beliau tegas.

Baru-baru ini, sebuah portal tempatan telah menerbitkan sebuah penulisan yang menyatakan bahawa Bahasa Mandarin mungkin akan ‘diselitkan’ dalam majlis Pelancaraan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022. - www.samudera.my

Tuesday, August 2, 2022

Adakah KDN Sengaja Lengahkan Bangun Infrastruktur Kesan 'Kehilangan'?

1.2 juta warga China ‘hilang’, inilah fenomena penjajahan alaf baharu
BANGI – Pendedahan lebih 1.2 juta warga China dikesan tiada rekod keluar dari Malaysia dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021 adalah satu fenomena penjajahan baharu kepada negara.

Keadaan itu dibimbangi mengundang risiko yang amat besar terhadap kedaulatan dan keselamatan nasional, kata Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.

Beliau khuatir, situasi itu akan mengancam keselamatan negara sekiranya Kementerian Dalam Negeri (KDN) gagal bertindak segera.

“Persoalan yang ingin saya bangkitkan ialah, adakah KDN sengaja melengah-lengahkan pembangunan infrastruktur dan keberkesanan sistem untuk mengesan ‘kehilangan’ pelawat ini untuk tujuan tertentu?

“Mana mungkin isu yang begitu penting dan genting ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang pelan dan tindakan susulan?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa seramai 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

KDN memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765, iaitu kurang 1,222,278 orang berbanding jumlah yang masuk.

Atas sebab itu, Muhammad Lukman tidak menolak kemungkinan ada sindiket tertentu yang melindungi atau menyeludup sejumlah warga China terbabit untuk tujuan jenayah, perniagaan dan sokongan politik.

“Mungkin sebahagian mereka menjadi pelacur, pengintip mahupun ahli kumpulan kongsi gelap yang akan menjahanamkan negara kita Malaysia.

“Selain tindakan serta-merta bagi memperbaiki sistem imigresen, KDN juga harus bekerjasama dengan PDRM dan pihak berautoriti lain bagi mengesan warga China ini sehingga ke lubang cacing,” katanya. - ismaweb.net