Thursday, December 10, 2020

Lupa Diri....

Dalam Tempoh Seminggu, 2 Kali Umno Mengamalkannya
1. Setelah kecundang dalam PRU14, UMNO agak bungkam untuk beberapa ketika. Dalam tempoh itu jugalah DAP buat onar mengganggu ketuanan bangsa dan institusi Islam. Tokoh-tokoh utama UMNO dihadapkan ke muka pengadilan atas kes-kes rasuah dan penyelewengan. Dan UMNO bercempera lagi apabila beberapa orang wakil rakyatnya melompat ke BERSATU.

2. UMNO umpama orang yang menderitai sakit tulang belakang, slip disc. Tulang belakangnya bermasalah dek onar dan nanar. Cara berdiri dan berjalannya nampak goyah. Ketika itulah datang teman dari jauh membantunya demi agama dan bangsa. Itulah teman, itulah saudara yang panjang dalam persengketaan. Dilupakan segala sejarah hitam. Maka terbentuklah Muafakat Nasional (MN) yang ada sekarang.

3. Sejak itu UMNO beransur-ansur boleh berjalan seperti biasa walaupun tongkat masih menguatkan langkahannya. Gembiranya UMNO tak terkira apabila menang strike dalam beberapa siri PRK.

Dendangan 'terima kasih PAS, terima kasih PAS' berkumandang mengalahkan kesyahduan suara azan. Merawang ke seluruh pelosok alam. PAS terkesima, hanya mampu mengalirkan airmatanya.

Melihatkan saudaranya telah mengerti tentang persaudaraan.

4. Kini UMNO merasakan dirinya telah pulih sepenuhnya. Berjalan pun dah mula melupakan tongkat. Kira bicara pun ada geger dan gegarnya. Harum bumi yang dicium kini ditapaki dengan gahnya. Dalam tempoh seminggu ini, telah dua kali UMNO mempersetankan tongkatnya. Tongkat dirasakan mengganggu kekuatannya melangkah. Tongkat hanya menunjukkan dirinya masih lemah. UMNO mesti kelihatan kuat dan gagah.

5. Justeru, pada 4 Disember, diusulkan undi percaya tanpa dirujuki teman dan saudaranya. Dan kedua pada 8 Disember sekali lagi tingkah yang sama diamalkan ketika menyembah nama MB kepada Sultan. Itupun dalam keadaan tak cukup sokongan. Sudah sombong. Dalam kedua-dua kes, sahabat dalam MN/PN dikesampingkan. Lebih menyedihkan, ada hati pula dengan DAP/PH dibuat perkiraan.

6. Memetik puisi Allahyarham Datuk Usman Awang: Berburu ke padang datar. Dapat rusa berbelang kaki. Berguru kepalang ajar. Bagai bunga kembang tak jadi.

7. Itulah UMNO, abang dalam persaudaraan. Sesat di hujung jalan. Adik menanti di pangkal jalan.

#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam


Oleh : BayangDiAir

Wednesday, December 9, 2020

Rakyat Terpaksa Hadap ‘politiking’ UMNO Tamak Kuasa

Slogan bela nasib rakyat hanya tipu daya untuk raih
sokongan Melayu

Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan ‘politiking’ UMNO yang masih tamakkan kuasa.

Mungkin ramai tidak menjangka tatkala negara berhadapan krisis pandemik COVID-19, UMNO sanggup bermain politik dengan mengusulkan undi percaya bertujuan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ini menunjukkan pimpinan UMNO bukannya ikhlas memperjuangkan nasib rakyat, tetapi lebih mementingkan jawatan, periuk nasi dan kepentingan diri di saat rakyat menderita situasi sukar COVID-19, kata pemerhati politik, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.

“Jelas tindakan UMNO ini tidak sedikit pun membantu rakyat bahkan terpaksa berhadapan dengan ketidaktentuan politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu gagal mempertahankan jawatan sebagai Menteri Besar selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hanya mendapat 10 undi sokongan.

Manakala 48 undi lagi menolak sementara satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Melihat pergolakan politik yang berlaku, Ustaz Ibrahim yakin rakyat semakin bijak menilai dan tindakan UMNO sebenarnya hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap keikhlasan parti itu dalam memperjuangkan nasib rakyat.

Walhal, sekarang bukan masa sesuai untuk bermain politik dalam keadaan negara masih belum stabil dari segi ekonomi serta kesan dari COVID-19.

“Kini rakyat boleh menilai slogan-slogan yang dilaungkan UMNO seperti Muafakat Nasional, perpaduan ummah dan membela nasib rakyat hanyalah tipu daya dan mainan politik untuk meraih undi dan sokongan orang Melayu.

“Hakikatnya mereka mempergunakan sentimen tersebut untuk kepentingan sendiri sahaja,” katanya.

Dilaporkan, ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dikatakan antara individu yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Perak Ke-14.

Ia selepas semua ADUN UMNO Perak secara konsensus menamakan Saarani sebagai calon Menteri Besar yang baharu apabila telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Pengerusi Perhubungan UMNO Perak itu.

Namun, pengesahan dan perincian berkenaan nama-nama calon Menteri Besar hanya akan diketahui selepas istana mengeluarkan kenyataan rasmi. - ismaweb.net

Tuesday, December 8, 2020

Meniring Sebuah Penghakiman...

Kalah kes ceroboh di Raub esok bukti sistem negara kini pincang
BANGI, 22 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Keputusan kes pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang esok bakal menentukan dua kemungkinan kepada sistem negara.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan berpihak kepada rakyat dan kerajaan Pahang sebagai pemilik tanah, bermakna undang-undang diletakkan lebih tinggi daripada mana-mana pihak.

Ia juga menjadi hujah kuat untuk mana-mana kerajaan mengambil haknya daripada terus ‘dicuri’ penceroboh terutama berkaitan tanah, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Kemenangangan kes juga menjadi hujah kuat untuk penguatkuasa daripada pelbagai agensi kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mereka yang menceroboh dan menyalahi undang-undang.

“Ia juga sebagai manifestasi kesatuan suara rakyat adalah penting sebagai sebuah kuasa pendesak agar sebarang kompromi dan ‘deal’ ahli-ahli politik dalam kes sebegini dapat digagalkan.

“Dan sebagai amaran keras kepada mereka yang melanggar undang-undang dan mereka yang salah guna kuasa untuk berhenti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Esok adalah hari untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 110 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap pekebun durian.

Pekebun durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan serta hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, sekiranya keputusan itu berlaku sebaliknya dan memihak kepada pekebun haram, ia membuktikan bahawa berlaku kepincangan dalam sistem negara.

“Ahli-ahli politik dengan mudah boleh campur tangan dalam membela mereka yang menyalahi undang-undang.

“Sebelum berbicara lanjut, kita perlu fahami bahawa memang sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ini memang menceroboh untuk menanam Musang King dan ini telah diakui sendiri oleh mereka,” katanya.

Namun, akibat campur tangan politik, isu itu akhirnya dicabar di mahkamah melalui semakan kehakiman, kata Aminuddin.- ismaweb.net