Sunday, December 6, 2020

Mampukah Anak Muda Warisi Negara?

Cadangan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 wajar disambut baik oleh semua pihak. Hal ini kerana PLKN yang diperkenalkan pada 2004 telah banyak memberi kesan positif terhadap usaha untuk memperkukuhkan perpaduan dan patriotisme serta pembentukan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Hakikatnya pada hari ini, isu jati diri, perpaduan kaum dan semangat patriotisme terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kita. Antara isu yang diperdebatkan mutakhir ini ialah sejauh mana tahap perpaduan dan patriotisme dimiliki oleh anak muda yang bakal menjadi pewaris negara ini?

Rakyat juga seringkali tertanya-tanya, apakah generasi muda yang ada pada hari ini mampu untuk mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi, mempertahankan kontrak sosial yang dimeterai generasi terdahulu, mempertahankan jambatan perpaduan yang dibina sekian lama serta menjaga dan memelihara keamanan dan keharmonian kaum yang kita banggakan selama ini?

Ini menyebabkan masyarakat mula risau apa akan jadi kepada perpaduan kaum di negara kita suatu hari kelak.

Justeru, kita harap kerajaaan akan menjenamakan semula PLKN agar menepati keperluan serta kehendak semasa, juga masa hadapan golongan belia dan negara. Apa yang kita laksanakan sejak 2004 adalah mengikut keperluan pada ketika itu. Namun, saya percaya kini kita sedang melalui suatu zaman yang lebih mencabar dan kompleks. Oleh itu, kerajaan perlu melihat secara menyeluruh segala kelemahan mahupun kekurangan yang wujud sebelum ini bagi memastikan PLKN versi baharu ini lebih mantap dan holistik.

Dalam konteks ini, saya percaya kerajaan bakal berhadapan beberapa cabaran besar. Antaranya, cakap-cakap sesetengah anggota masyarakat dan ahli politik bahawa program ini bakal menelan kos operasi yang besar, tiada keperluan buat masa sekarang serta bukan suatu keutamaan dalam situasi kita sedang berperang dengan ancaman Covid-19.

TELUS

Oleh itu, PLKN versi baharu ini perlu dijenamakan semula agar boleh memulakan operasi dengan peruntukan kewangan yang paling minimum serta perlu membuktikan tidak akan berlaku sebarang elemen pembaziran. Malah, isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh pentadbiran terdahulu seperti amalan kronisme dalam pemberian kontrak di kem latihan juga perlu dilihat sejuah mana kebenarannya agar kita boleh memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku lagi jika ia benar. Ringkasnya, buktikan kepada rakyat dengan kos yang minimum dan pengurusan yang telus, PLKN versi ini mampu memberikan impak signifikan.

Cabaran berikutnya ialah pengisian modul latihan yang akan menjadi penentu kejayaan PLKN. Kerajaan perlu membuktikan memang ada kewajaran dan keperluan untuk melaksanakan semula PLKN melalui pembentukan kurikulum modul yang lebih mantap dan efektif. Misalnya, modul yang bakal dilaksanakan perlu fokus kepada aspek kenegaraan, patriotisme, perpaduan, jati diri, ketahanan diri, survival kehidupan serta elemen kesukarelawanan.

Sebahagian daripada modul ini telah pun dilaksanakan dalam PLKN sebelum ini. Jadi, eloklah dibuat pascanilai (post mortem) secara menyeluruh bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan modul-modul tersebut di samping melihat keperluan untuk menambah modul baharu. Untuk itu, dicadangkan kementerian membentuk sebuah jawatankuasa modul membabitkan kelompok pakar dalam pelbagai bidang agar dapat mengkaji modul terdahulu seterusnya dapat mencadangkan penambahbaikan dan penambahan modul baharu yang bersesuaian. Alumni atau bekas peserta PLKN juga wajar dilibatkan untuk memberikan maklum balas lebih tepat.

Di samping itu, bagi melaksanakan setiap modul ini, kita memerlukan barisan jurulatih berkaliber dan mampu menterjemahkan hasrat serta objektif utama. Untuk itu, kerajaan perlu memilih dan melantik individu-individu dari pelbagai latar belakang kepakaran, agama serta bangsa agar mereka dapat memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini sebaik mungkin. Ingat, kejayaan atau kegagalan program ini banyak bergantung kepada intipati modul serta jurulatih yang melaksanakannya dengan efisien.

Dalam pada itu, kelompok peserta yang bakal menyertai PLKN juga wajar diberi perhatian serius. Misalnya, bagi memastikan objektif PLKN tercapai secara menyeluruh, kita berharap agar kerajaan mewajibkan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja berusia 18 tahun menyertai program ini. Jangan ada sebarang tolak ansur atau pengecualian dalam soal ini jika kita mahu membentuk sebuah generasi masa hadapan yang bersatu padu dan sanggup berkorban untuk negara. Malah, tempoh masa program juga perlu diteliti semula dan ditetapkan pada kadar bersesuaian supaya pelaksanaan modul dapat memberikan kesan dan impak yang dihasratkan.

Secara prinsipnya, saya percaya majoriti anggota masyarakat akan menyokong penuh cadangan melaksanakan semula PLKN jika kerajaan mampu menjenamakannya menjadi versi baharu, sekali gus membuktikan ia sangat diperlukan untuk mendidik dan membentuk generasi masa depan negara ini.

Semoga PLKN versi baharu dapat terus memainkan peranan sebagai wahana penting untuk memperkukuh perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi pewaris masa depan negara ini mengikut cara dan acuan kita sendiri.

Thursday, December 3, 2020

Universiti Sudah Hilang Roh, Hilang Arah

Terjebak dalam permainan ranking universiti dunia?
SABAN tahun apabila The QS World University Rankings dikeluarkan, sebahagian pemimpin institusi pengajian tinggi di negara kita mula gusar, nak menjawab institusi yang dipimpin berada di tahap mana? Nak jawab apa bila menteri tanya? Mulalah meroyan, mengarah sana sini, minta senaraikan penerbitan.

Dalam kepala otak kita hanya fikir untuk kekal kuasa dan jawatan. Langsung tidak terfikir soal pentingnya nilai ilmu dan kebijaksanaan untuk menjawab persoalan ranking. Tiada ertinya universiti ditubuhkan tanpa nilai manusiawi ini.

Tidak ada ertinya universiti, jika kebobrokan berlaku sana sini. Keadilan masih tidak dapat ditegakkan. Maksiat berleluasa. Kita masih bergaduh dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, sedangkan di luar sana masih ramai yang kelaparan dan kehilangan kerja.

Pendek kata, universiti hari ini tidak lagi melahirkan ilmuan dan cendekiawan, tetapi melahirkan sarjana Scopus/ISI/Q1-Q4 dll. Inilah yang sangat dibanggakan.

Sangat teruja membawa artikel pendek ini, bertajuk “The Lost Soul of a University”. Tidak tahu daripada siapa, tetapi penuh dengan makna dan erti.

There was a time, being an academician was about research and publishing your work in a reputable journal. Then came in the companies that started this ranking business. They tied it to publication which is also owned by them. Suddenly it is not just about publication anymore. Journals became tiered just like ranking of universities. And universities had to pay a lot of money to buy the tiered list. Now you hear of universities paying people to cite their papers. What are we becoming? We are so caught up in this ranking game that we have lost sight of our true north. I was talking to an eminent Prof. Emeritus and we agreed that it is a scam. I just hope that the Ministry will have the will power to overcome this ranking game and look again at what constitutes a good university. That money spent on ranking should be better spent on research grants. Let us all not lose sight of our true north.
#ILOVEMYJOB


Bacalah sama buku Harry R. Lewis. 2006. Excellence Without A Soul: How a Great University Forgot Education. New York: Public Affairs

Selepas perginya sejarawan mendiang Prof Khoo Kay Kim, kita tidak bersedia dengan penggantinya. Siapa sejarawan seterusnya?

Siapakah pengganti Allahyarham Prof Haron Din perginya ulama tersohor ini? Begitu juga ilmuan dan cendekiawan bidang lain yang telah pergi, tak sempat saya rakamkan di sini.

Pendek kata, sebut sahaja nama figura ini, semua orang tahu, malah “satu dunia tahu”.

Cuba sebut pemimpin universiti yang ada hari ini, siapa tahu? Siapa kenal? Apa kehebatannya di luar kampus berhadapan dengan khalayak? Saya yakin, tiada jawapan.

Itu yang saya katakan, hari ini, kita melahirkan sarjana berindeks, konon berimpak tinggi. Tersenarai dalam Scopus/ISI/jurnal berindeks/Q1, Q2, Q3 dan sebagainya, bukannya ilmuan dan cendekiawan tersohor.

Paling zalim, ada beberapa sarjana kontrak yang tidak ada penerbitan berimpak tinggi, telah ditamatkan perkhidmatannya, kerana dikatakan tidak menyumbang kepada pembangunan universiti.

Kita pun tertanya-tanya hebat sangatkan sarjana berimpak tinggi ini?

Bila mengajar, pelajar tidur. Bila kita tanya apa erti kehidupan, ternganga, melopong. EQ dan SQ entah ke mana, harapkan IQ sahaja. Kerjanya seharian, menerbit sebanyak artikel untuk naik pangkat. Tidak hairan jika ada dalam kalangan akademik yang umur baharu awal 30 tahun sudah bergelar professor (JUSA C). Seterusnya mengejar JUSA B, JUSA A, danTurus.

Bukan salah mengejar pangkat, tetapi kena cermin diri. Buat muhasabah.

Saya dengar pemilihan bakal pengganti Naib Canselor, sebuah universiti tersohor, pun begitu rentaknya, yang dipilih dalam senarai adalah mereka yang dinilai berapa banyak penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi. Sekali lagi kita terperangkap.

Cuba tanya, kenapa universiti-universiti besar, di negara-negara besar, yang tidak kurang langsung hebatnya, seperti di China dan India, tidak mahu terlibat dalam mengejar ranking? Jawapannya, China mempunyai sistem pengukuran kualiti universiti tersendiri mengikut aspirasi komunis mereka. Maka China hanya tumpu kepada EQ dan IQ dalam bidang sains dan pembangunan negara. Jadi ini menyebabkan universiti-universiti China tidak lagi menyertai pengukuran kualiti mengikut perspektif Barat seperti QS ranking dan TIMES Higher Education Ranking. Manakala India mempunyai pengukuran kualiti universiti tersendiri yang fokus kepada IQ, EQ, SQ dan jati diri India. Ini amat berlainan dengan pengukuran Barat. Matlamat kualiti pendidikan tinggi India adalah membangunkan jati diri, bangsa dan agama Hindu. (Iskandar Hasan Tan, 2020)

Berbeza dengan kita, seolah-olah ranking itulah tanda aras dalam menilai pencapaian dunia akademik. Jika tidak ada ranking seolah-olah kita gagal.

Sedar atau tidak, kita sedang menghasilkan robot-robot hanya pandai menulis. Ya, tidak dinafikan IQ mereka ini hebat, tetapi dari segi EQ dan SQ seolah-olah mereka ini telah mati.

Inilah robot-robot yang berjaya kita lahirkan hasil ciptaan barat, bukan ciptaan kita sendiri

Malah, di Barat pun tidak seekstrem ini. Ia hanya permainan segelintir Yahudi yang memperalatkan universiti untuk mendapat keuntungan. Sebab itu, negara yang sedar dan ada harga diri serta jati diri, seperti negara China, amat berhati-hati dalam permainan ranking ini. Sendiri mahu tahu, sendiri mahu faham.

Sepatutnya semua universiti berlumba-lumba mencari pengganti ilmuan dan cendekiawan hebat yang telah pergi. Malangnya, terjebak dalam permainan ranking.

Setiap tahun, The QS World University telah menyenaraikan kedudukan 1,000 universiti terbaik dunia berdasarkan enam kriteria iaitu penyelidikan, reputasi akademik, pengantarabangsaan, nisbah pelajar : pensyarah, kebolehpasaran graduan dan kapasiti pengajaran sesebuah universiti.
Boleh dikatakan kedudukan 10 universiti terbaik dunia, kekal milik universiti yang hampir sama.

Menurut Anuar Ahmad (2019), The QS World University Rankings dari sudut sejarahnya diwujudkan untuk tujuan persaingan perniagaan bagi universiti swasta. Misalnya, MIT, Stanford, Harvard dan Oxford semuanya universiti swasta. Ranking sangat penting dalam perniagaan mereka. Bagi tujuan pemasaran, perlu kedudukan universiti swasta diketahui oleh para ibu bapa yang sedang memilih universiti untuk anak-anak mereka.

Malangnya, universiti awam mula terikut-ikut dengan tipu daya ini, termasuk negara kita, yang begitu obses sekali. ‘Gila’ mengejar ranking ini, kerana itulah tanda aras menunjukkan kehebatannya untuk kekal berkuasa.

Pensyarah dipaksa meningkatkan jumlah penerbitan, bagi tujuan kenaikan pangkat, tanpa memperdulikan berapa orang yang membaca dan memanfaatkan penerbitan yang kononnya berimpak tinggi.

Akibatnya, sebahagian pensyarah muda yang turut ‘gila’ dengan kenaikan pangkat dan gelaran pun berlumba-lumba mengejarnya, tanpa berpaling untuk melihat nilai-nilai keinsanan. EQ dan SQ mereka, seolah-olah ke laut.

Puluhan juta ringgit dibelanjakan bagi tujuan ini. Bukan main seronok lagi pemimpin yang bergelar apabila kedudukan universiti mereka diumumkan antara terbaik dunia, khususnya di Asia.

Mereka ini tidak ubah seperti anak-anak yang menang dalam pertandingan ratu cantik sekolah. Mereka lupa matlamat dan falsafah sebenar kewujudan sesebuah universiti yang dipimpin.

Tidak ramai yang berfikir seperti Rektor UIA, Dzulkifli Abdul Razak (2020), UIA, yang begitu memahami makna ilmu (knowledge) dan kebijaksaan (wisdom)

The diversity of knowledge and wisdom from other world are ignored, which is an abysmal failure of university rankings

Mohammad Tariqur Rahman, turut sama bersetuju, the diversity of knowledge and wisdom is not evaluated by any university ranking

Kini, bukan rahsia lagi, sudah menjadi budaya, bila seseorang ahli akademik diminta (baca, arah dan bayar pun ada) supaya melakukan sitasi (citation) penerbitan sesama rakan universiti.

Paling meloyakan, melihat gelagat, sesama suami/isteri, menjadi pensyarah yang sama, duduk dalam universiti atau fakulti yang sama, saling masuk memasuk dan rujuk merujuk. Tujuan tidak lain supaya sama sama boleh naik pangkat dan mendapat gelaran. Hodoh sungguh orang sebegini. Paling sedih, ada kes yang turut dibawa ke mahkamah, kerana terlalu terlalu obsess bagi tujuan penerbitan, sehingga mengenepikan orang lain.

Universiti awam sudah menjadi pengikut setia permainan universiti swasta. Sepatutnya tidak begitu. Universiti awam seharusnya mempunyai mekanisme sendiri untuk mengukur tahap kualiti mereka. Bukan menggunakan kayu ukur universiti swasta. Universiti awam di Malaysia ditubuhkan adalah untuk pembangunan negara. Kita masih negara membangun. Kita perlukan universiti untuk memajukan masyarakat bukan sekadar mengejar kedudukan. (Anuar Ahmad 2019)

Apa guna penerbitan menggunung tinggi tapi kualiti hidup rakyat masih tidak berubah? Apa hebatnya penyelidikan dalam bidang pendidikan jika masih ramai kanak-kanak anak tercicir?

Apa faedahnya jurnal berimpak tinggi dalam pendidikan Islam, jika umat Islam masih terus bergelumang dengan masalah kebejatan sosial seperti dadah, seks bebas dan sebagainya?

Mengejar ranking sebagai matlamat akhir sebuah universiti juga tidak akan menyelesaikan isu rasuah dan ketidakadilan sosial dalam negara

Ahli akademik dengan ilmu yang tersemat di dada, perlu berani dan menjalankan peranan amar makruf nahi mungkar, bukan menjadi pondan, takut bersuara, kerana takut hilang jawatan, pangkat dan gelaran.

Keluarlah daripada kepompong kononnya seorang akademik hebat dengan lambakan penerbitan,
tetapi kaku dan bisu untuk berkata benar.

Kegilaan mengejar ranking sudah sebati dengan pemikiran pemimpin setiap universiti di Malaysia sehingga menyebabkan kita hilang fokus. Turunlah ke padang, lihat realiti sebenar. Apatah lagi ketika wabak COVID-19, melanda. Selami, apa kehendak rakyat sebenarnya.

Kepada semua pemimpin yang terlibat dalam pengajian tinggi, bertaubatlah. Kembali menghayati roh dan matlamat penubuhan sesebuah universiti. Apa ertinya, universiti kita hebat, tetapi perkara kecil seperti keceluparan ultra kiasu universiti pun kita tak mampu tangani. Apatah lagi untuk bercakap tentang isu-isu yang lebih besar seperti rasuah, jenayah kolar putih dan sebagainya.

Ingatlah, kerja kita terlalu banyak. Rakyat perlukan universiti awam untuk kita sama membantu mempertingkatkan kesejahteraan hidup mereka, melindungi mereka dari kezaliman, penganiayaan, penipuan serta membimbing mereka ke jalan benar dan diredhai. Apakah kita ada semua kelayakan tersebut?

Oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Tuesday, December 1, 2020

Apa Erti Politik, Kepimpinan Melayu Kalau Tanah Sudah Hilang?

Sungguh memalukan! Melayu jadi bahan ketawa 'tauke-tauke'
BANGI – Isu pencerobohan tanah – lambang kewujudan bangsa serta peradaban – yang kerap kali dibongkarkan belakangan ini bukan satu perkara kecil dan boleh dipandang enteng.

Penjajah British sedar akan perkara ini maka sebab itu mereka akur dengan tuntutan Raja-Raja Melayu bahawa hak orang Melayu di atas tanah ini harus dipertahankan dengan memberikan apa yang diistilahkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, tanpa tanah, suatu bangsa itu hilang kewujudan serta keabsahannya bahkan kemuliaan mereka dan sebaliknya dihina serta menjadi tidak lebih seperti pelarian sahaja.

Malah katanya, jika dibiarkan suatu bangsa itu hilang tanahnya, maka mereka akan menjadi pengemis dan pelarian di bumi sendiri seperti yang berlaku di Palestin.

Tambah presiden gerakan yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat itu, agak menyedihkan apabila wujudnya pihak yang tidak sedar diri kerana kerakusan dan haloba duniawi, sehingga sanggup menggadaikan Tanah Rizab Melayu yang kini hanya tinggal 12 peratus sahaja atau mungkin kurang daripada itu.

“Mereka juga menggadaikan tanah-tanah kerajaan yang bernilai jutaan ringgit kepada tauke-tauke yang membiayai hidup mereka.

“Mereka tidak sedar sebenarnya mereka telah menggadaikan maruah bangsa Melayu, memperjudikan nasib anak cucu mereka sendiri, menjatuhkan maruah watan dan bangsa hanya kerana nafsu serakah diri yang menggila.

“Sebab itu tidak ada perkataan lain lebih layak yang harus diberikan kepada mereka melainkan ‘pengkhianat’. Walaupun mereka memegang jawatan dan mempunyai kedudukan yang berkuasa tapi mereka tidak lebih hanyalah bahan ketawa dan mainan ‘tauke-tauke’. Sungguh memalukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Aminuddin hairan apabila penasihat undang-undang negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyepi diri dan mengunci mulut dalam isu pencerobohan tanah seperti yang berlaku di Pahang.

Sekali pun ada undang-undang yang menjaga Tanah Rizab Melayu dan tanah kerajaan, beliau mendakwa, ia tidak lebih sekadar nota-nota yang tercatit di dalam kertas-kertas yang layak disampahkan.

“Apa erti politik dan kepimpinan Melayu kalau tanah sudah hilang? Apakah kita hanya mahu dan sanggup memerintah tanah orang? Ini kegilaan apa namanya? Kalau kita telusuri sejarah maka kita akan dapati banyak tanah orang-orang Melayu yang telah hilang.

“Telah hilang baik di utara mahupun di selatan tanah air yang menjadi bukti bahawa ianya sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua. Itu belum saya sebut lagi beberapa pulau di dalam negara juga telah tergadai.

“Ini bukan isu mainan tetapi isu kelangsungan hidup orang Melayu. Jangan kita biarkan pengkhianat-pengkhanat ini bermaharajalela meratah dan menggadai hak kita sebagai rakyat,” katanya yang turut mengajak rakyat bersama-sama memperjuangkan negara. - ismaweb.net