Friday, March 15, 2013

Islam Menentang Keganasan


KEGANASAN dan kezaliman adalah antara wabak liar yang dipengaruhi oleh anasir yang tidak bertamadun dan akhirnya menyerapkan kerosakan di muka bumi. Keindahan dan kedamaian di bumi tidak seharusnya dirosakkan dengan ancaman keganasan. Beberapa negara telah hancur dan porak-peranda akibat keganasan yang melampau dipengaruhi oleh anasir luar.

Keindahan bumi kian malap lantaran tangan yang rakus dan ganas merosakkan kedamaian dan kesejahteraan. Jika dikaji dari segi sejarah, keganasan menyebabkan pembunuhan dan merosakkan harta benda disertai dengan peperangan dan penindasan dan berakhir dengan kesengsaraan hidup manusia.

Islam menentang segala bentuk keganasan. Konsep keamanan Islam merangkumi segenap lapisan penduduk dunia tanpa mengira bangsa dan agama. Kesabaran dan kematangan fikiran penganutnya membuktikan kekuatan iman, kerendahan hati dan diri yang memancarkan kemuliaan.

Sebagai bangsa Melayu yang dididik dengan akal budi dan budaya luhur berteraskan Islam, kita seharusnya dapat menepis segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap Islam dan seterusnya memperjuangkan kebenaran serta kesejahteraan sejagat umatnya.

Pada masa kini, Islam sering didakwa dan dikaitkan dengan keganasan. Dakwaan dan tohmahan ini timbul kerana perilaku segelintir individu Muslim yang kononnya melakukan atau terlibat dalam keganasan. Manakala bagi negara Islam yang tidak tunduk kepada kuasa Barat dilabelkan sebagai paksi atau penaja keganasan.

Semua dakwaan ini dicipta oleh musuh Islam untuk menakut-nakutkan masyarakat dunia terhadap Islam. Apakah benar Islam itu ganas dan menggalakkan umatnya berlaku ganas terhadap orang lain? Dua persoalan yang perlu dijawab yang perlukan penelitian dan kajian mendalam.

Kajian membuktikan sejak dahulu lagi kesejahteraan Islam bererti kesejahteraan ummah iaitu setiap umat Islam wajib memastikan bahawa dirinya mahupun orang lain dalam keadaan sejahtera.

Dia tidak boleh hidup dengan meminggirkan hak-hak orang lain. Islam itu sendiri bererti tunduk dan menyerah iaitu wajib tunduk dan patuh serta menyerah kepada Allah dalam erti mematuhi semua perintah dan menjauhi semua larangan-Nya.

Tunduk dan menyerah diri sepenuhnya, secara mutlak sama ada zahir mahupun batin hanya kepada Allah semata-mata dan tidak mensyirikkan-Nya dengan yang lain. Asas ketundukan dan penyerahan diri itu adalah pengakuan yang tulus dari lubuk hati, bahawa seluruh kejadian adalah ciptaan-Nya dan memahami serta menyedari Allah SWT membenci sifat orang yang ganas dan zalim.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Maka sesungguhnya hak Allah terhadap para hamba-Nya adalah agar menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya akan sesuatu. Sedangkan hak para hamba daripada Allah ialah Dia tidak akan menyeksanya terhadap mereka yang tidak menyekutukannya akan sesuatu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang Islam dididik dan diajar supaya mempunyai sifat penyantun, pemaaf dan suka menolong untuk mengatasi kesusahan orang lain. Ciri-ciri kemuliaan Islam itu sangat jelas iaitu tiada paksaan dalam beragama iaitu yang menjurus kepada kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan. Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memeluk dan menganut agamanya. Islam berkembang dengan dakwah secara lemah-lembut dan berhikmah.

Islam menegaskan bahawa setiap individu Muslim berkewajipan untuk mempertahankan maruah dan hak masing-masing dalam kehidupan mereka iaitu termasuk mempertahankan harta, maruah, agama dan keluarganya.

Oleh itu, Nabi SAW bersabda: "Orang-orang yang bersifat kasihan. Dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihani kamu." (riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi).

Lantaran itu, Islam menggalakkan umatnya berakhlak dalam segala keadaan yang merupakan sikap murni dan akhlak mulia dalam keadaan biasa dan aman. Islam juga melindungi hak semua golongan walaupun dalam peperangan.

Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah adalah mulia. Ia menyukai kemuliaan. Ia juga menyukai akhlak yang tinggi dan membenci akhlak yang rendah." (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani)

Oleh : Dr.  Aminudin Mansor

Saturday, March 2, 2013

Fiksyen....Espionaj

Surau An-Nur Stulang Laut, Johor Bahru. Itulah kata-kata yang tertulis dengan warna putih pada latar biru di papan tanda yang berdiri tegak di seberang jalan berhadapan tempat dudukku di restoran makanan laut Thai.  Jam tanganku menunjukkan pukul 11.30 malam.

Aku bangun dari kerusi dan melangkah menyeberang jalan.

Aku menyusur ruang pejalan kaki di tepi luar pagar surau itu.  Surau An-Nur gelap dan sunyi.  Bangunannya berbentuk sebuah rumah Melayu lama.  Aku agak memang surau itu asalnya rumah Melayu lama yang diubah suai menjadi surau.  Ada sebuah minaret tegak kurus di halamanya.  Minaret itulah yang menegaskan bahawa bangunan itu ialah sebuah surau atau masjid, kalau tidak sukar juga hendak diketahui.  Beberapa buah kereta terkaku di kawasan letak kereta dalam pagar perimeter yang mengelilingi surau itu.  Di dua belah surau ini, terdiri blok-blok bangunan yang aku agak ialah apartmen penginapan.

Aku terus menapak di atas lepaan simen berdekorasi dalam suasana samar-samar malam bersama anak-anak muda lain, menuju pintu gerbang yang tertulis di atasnya ungkapan “The Zon Kompleks Bebas Cukai Johor Bahru”.  Aku berseorangan.  Kebanyakan anak-anak muda yang lain itu berjalan dalam kumpulan tiga atau empat orang.  Ramai juga yang berdua-duaan.  Kebanyakannya belia berbangasa Cina.  Kami semua menuju ke arah yang sama...  ke kawasan pub atau disco bersebelahan dengan hotel The Zon Regency.

The Zon ialah kawasan bebas cukai yang diwujudkan oleh suatu idea yang hebat.  Tujuan kawasan itu dibangunkan adalah untuk menarik pelancong asing dari Singapura, sama ada orang Singapura sendiri mahupun pelancong dari negara-negara lain yang sedang berada di Singapura.  Biasalah, orang Malaysia, mahu menarik limpahan pelancong dari Singapura kerana dirinya sendiri tidak berupaya untuk mempopularkan negaranya sebagai destinasi pelancongan kepada orang luar.   Pada waktu selewat itu, kawasan The Zon hiruk-pikuk dengan bunyi muzik dan berombak dengan gelagat manusia yang pelbagai.  Jauh sekali berbeza keadaannya dengan kesunyian Surau An-Nur yang berada di luar pintu gerbangnya.

Kawasan The Zon berada di tepi pantai, menghadap Singapura.  Ada terminal feri. Tarikan istimewa pelancongan asing adalah kebebasan mereka masuk ke kawasan The Zon itu untuk membeli-belah, minum-minum, dan berhibur dengan harga tanpa cukai.  Namun kawasan itu mempunyai pagar perimeter di kawasan daratnya.  Pagar ini menyekat pelancong masuk secara bebas ke daratan Malaysia di luar kawasan The Zon itu sendiri.  Hanya ada satu pintu get yang menghubungkan The Zon dengan bumi Johor Bahru di luarnya, dan pintu masuk itu dikawal oleh pihak kastam dan imigresen Malaysia.

Memang The Zon pada mulanya hanyalah kawasan bebas cukai.  Namun seminggu lepas, kerajaan Malaysia telah menukarkan statusnya kepada Free International Access and Trade Zone (FIATZ).  Pertukaran status ini telah menjadikan The Zon sebagai "kawasan antarabangsa" yang boleh dimasuki oleh semua warga dunia secara bebas tanpa pemeriksaan dokumen perjalanan, di samping bebas cukai.  Tujuan pertukaran status ini adalah untuk memudahkan lagi pelancong.  Jika masuk melalui jalan laut, iaitu berferi dari Singapura, mereka tidak perlu mempunyai apa-apa dokumen kebenaran untuk masuk ke negara ini seperti yang diperlukan untuk masuk ke kawasan-kawasan lain. Peraturan ini ialah inovasi terbaru yang diperkenalkan oleh pihak kastam dan imigresen Malaysia untuk menggalakkan kemasukan pelancong yang membawa banyak tukaran asing. Tindakan kerajaan Malaysia itu jelas mencapai matlamatnya kerana dalam masa tiga hari sahaja selepas dilaksanakan, kawasan The Zon menerima kunjungan pelancong yang begitu ramai, terutamanya dari Singapura.  Kadar penginapan di hotel juga mencapai 100 peratus pada kebanyakan masa.

Aku ke The Zon ini atas permintaan Ustaz Alim, rakanku di KK2 UM dulu.  Aku ke mari untuk mendapatkan suatu maklumat rahsia yang tidak boleh dihantar secara elektronik.  Aku memang rapat dengan Ustaz Alim, terutamanya apabila kami sama-sama menerajui gerakan Alumni KK2.  Kali ini aku ada misi khas yang tidak ada kena-mengena dengan Persatuan Alumni KK2 itu.  Aku dan Ustaz Alim berada dalam satu gerakan sulit… pertubuhan melawan keganasan Amerika terhadap warga dunia yang beragama: Movement Against American Terrorism On Religions (MANTOR).

Aku ke The Zon ini untuk menemui rakan kami yang kini sedang menjadi kakitangan akademik di University of Singapore.  Namanya Su Mei.  Sekarang Dr. Kim Sue Mei.  Dia rakyat Singapura.  Kami mengenalinya semasa dia menuntut kursus pascaijazah di UM dan sama-sama dengan kami tinggal di KK2.  Su Mei dan aku aktif dalam Peratuan Buddha UM.  Kini Su Mei tidak boleh masuk ke Malaysia kecuali di kawasan The Zon ini kerana namanya telah disenaraihitamkan oleh pihak imigresen Malaysia.

Kita tidak boleh berbincang di sini.

Itulah mesej sms yang aku terima di telefon mobilku sewaktu aku sedang duduk-duduk di kawasan air pancut, menikmati muzik yang melaung dari disco di situ.  Aku juga sedang menikmati pemandangan indah Selat Tebrau, berlatarkan terain pulau Singapura dalam bentuk silhouette di seberangnya.  Dalam cahaya bulan mengambang itu, Singapura kelihatan jinak, sejinak namanya, monyet kecil yang manja.  Sebenarnya, spesies monyet yang ditemui Sang Nila Utama pada abad 12 atau 13 itu ialah monyet "singarupa", dinamai sedemikian oleh masyarakat tempatan kerana kepalanya dan badannya menyerupai seekor singa.  Atas kebijaksanaan ahli bahasa Sanskrit mereka, nama itu diubah sedikit ke "pura" yang membawa maksud "kota".  Maka mereka namailah tempat itu Singapura.  Khabarnya, monyet itu masih boleh ditemui di beberapa kepulauan Indonesia sehingga ke hari ini.

Naik ke bilikku. Bilik 1609.

Dari tempat aku berada, aku nampak Su Mei berdiri di tepi kaunter valet parking Hotel Regancy itu.  Oh, rindu sungguh aku akan gadis comel ini.  Melihat kelibatnya sahaja, sudah terasa berbaloi letih memandu lima jam lebih dari Kuala Lumpur.  Aku bergerak ke arahnya.   Apabila dia melihat yang aku telah berjalan menuju ke arahnya, Su Mei terus masuk ke hotel itu melalui pintu kaca automatiknya.  Aku mengekori Su Mei dari jauh.  Dia memasuki lif tanpa menunggu aku.  Aku naik lif yang lain setelah lif yang dinaiki Su Mei bergerak ke atas.

Setelah keluar dari lif di Aras 16, barulah aku menyedari bahawa susunan bilik-bilik hotel ini berbeza dengan kebanyakan hotel lain.  Bilik-biliknya pada setiap aras, dari Aras 7 ke atas, membentuk suatu bulatan oval yang besar dengan ruangan kosong di tengah-tengahnya, macam sebiji doughnut.  Laluan ke bilik-bilik berada pada rim sebelah dalam doughnut itu.  Ruang kosong yang di tengah memungkinkan penghuni pada setiap aras, dari Aras 7 ke atas, untuk melihat dan menikmati segala aktiviti yang sedang berjalan di lounge di Aras 6 itu.

Bilik 1609 ialah bilik istimewa di tingkat paling atas Hotel Regency itu.  Tingkat Klub Eksekutif.   Dari luar pintu bilik 1609 itu, aku dapat melihat ke bawah, kawasan tengah di Aras 6 yang terbuka tanpa siling.  Kelihatan susunan meja dan kerus tempat tetamu menjamu selera dan menikmati muzik.  Muziknya amat kuat sehingg kedengaran ke tingakat 16 tempat aku berada.  Pada masa itu, aku melihat dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu Hapy Birthday To You.  Di skrin lebar yang terpasang di depan ruang restoran itu, kelihatan imej orang sedang bermain golf ditayangkan.

Memasuki bilik 1609 membuat aku tergaman.  Indahnya bilik yang disewa Su Mei. Apabila melangkah masuk pintu, aku memasuki ruang tamu yang luas, siap dengan satu set settee, meja tulis, dan sebuah tivi. Ruang lounge ini bersambung dengan bahagian bilik tidur yang besar.  Di tengah-tengah ruang bilik tidur itu ada sebuah katil besar, queen size.  Bilik ini juga mempunyai sebuah bilik air dan satu lagi pintu keluar. Juga lagi sebuah tivi dan meja tulis. Dari dalam bilik yang tertutup ini, bunyi muzik dari lounge Aras 6 masih kedengaran dengan bisingnya.

“Sungguh mewah bilik ini,” sapaku apabila Su Mei selesai menutup pintu.  “Sungguh kaya engkau,” tambahku, bergurau.

“Aku tidak ada pilihan,” jelas Su Mei. “Hanya ini sahaja bilik yang ada.  RM400 semalam”

“Maksudmu… semua 400 buah bilik hotel ini penuh diisi orang?”

“Ya,” jawab Su Mei. Dia semacam berbisik kepadaku.  “Itulah maklumat rahsia yang aku hendak sampaikan kepada rakan-rakan kita di Malaysia.”

“Oh, apa maksudmu?”

“Kebanyakan orang yang berada di The Zon pada ketika ini ialah anggota pasukan askar upahan Amerika.  Termasuk mereka yang sedang menginap di hotel ini.  Sebab itulah dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kadar penginapan di sini mencapai hampir 100 peratus.”  Aku tergaman. “Mereka hanya berpura-pura sebagai pelancong dari Singapura," sambung Su Mei, serius.  "Mereka sebenarnya lengkap bersenjata.  Mereka merancang menakluki kawasan The Zon ini dan merampasnya dari kawalan kerajaan Malaysia.  Mereka akan gunakan alasan bahawa kawasan ini ialah pusat pergerakan gabungan pengganas Islam dan Buddis.   Dari sini nanti, mereka akan melakukan serangan terhadap gerakan agama-agama di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan lain-lain negara Asia.  Serangan ini adalah sebahagian daripada rancangan mereka untuk menghapuskan semua agama di dunia, kecuali Kristian dan Yahudi.”

“Oh!”  Aku makin terperanjat.

"Maklumat ini perlu disampaikan segera kepada para aktivis kita di Malaysia.  Terutamanya Ustaz Alim.  Mereka mesti memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin politik Malaysia tentang hal ini," kata Su Mei.

Tetiba telefon mobilku berdering menandakan masuknya sms baru. Aku segera membacanya. Datangnya dari Aliman. Ustaz Alim mati ditembak di KLIA!

Aku menunjukkan sms itu kepada Su Mei.  Su Mei memegang tanganku sambil membelek mesej itu. Dia terkejut.  Mukanya pucat.

Semua lampu di bilik itu terpadam.  Su Mei menjerit terperanjat dan memeluk tubuhku.  Dalam kegelapan itu, aku membalas pelukannya.  Dan aku menarik tubuh langsingnya rapat ke tubuhku.  Oh, sudah lama kami tidak berada dalam kedudukan yang sedemikian.  Askar upahan Amerika... tunggu esok.

Sewaktu aku dan Su Mei menaiki feri ke Singapura, jam hampir 2.00 petang.  The Zon sudah lengang.  Di sana sini kelihatan pasukan keselamatan Malaysia berkawal. Operasi pengosongan kawasan The Zon yang diarahkan kabinet Malaysia berjalan lancar.  Mereka yang berniat jahat tidak sempat bertindak balas kerana cepatnya pihak tentera Malaysia bertindak.

Malam nanti aku dan Su Mei akan terbang ke Chiengmai melalui Bangkok dari Changi Airport, Singapura.

Oleh : Irwan Abu Bakar

Friday, March 1, 2013

Pertahan Warisan Jawi

MUNGKIN ramai tidak mengenali Profesor Dr. Kang Kyoung Seok. Namun beliau umpama sebutir permata kerana menjadi satu-satunya profesor berbangsa Korea yang mempunyai kepakaran dan berjuang memelihara tulisan Jawi walau di mana beliau berada.

Malah kepakaran beliau itu turut mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Profesor berusia 58 tahun itu begitu berminat dan banyak mempelajari mengenai tulisan Jawi dan budaya orang Melayu.

Tulisan Jawi pernah digunakan secara meluas dalam hasil-hasil penulisan Melayu pada satu ketika dahulu sebelum digantikan dengan huruf Roman.

Kang dalam artikelnya menyuarakan kebimbangan mengenai tulisan Jawi yang semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Dr. Kang yang kini telah kembali ke Korea Selatan selepas menamatkan tugasnya sebagai Profesor Tamu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak pada 3 Jan lepas, setelah berbakti selama tiga tahun, akan meneruskan kerjayanya sebagai Ketua Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.

Namun menurut Kang, kepulangan beliau ke negara kelahirannya itu bukan noktah bagi usaha beliau mempertahankan warisan Jawi yang dilakukannya sejak tahun 1974 bermula dari tempat asalnya di Busan, Korea Selatan hinggalah ke UPSI.

Budaya Melayu
Bukan kerana sudah tidak sudi tinggal di Malaysia yang dianggap negara keduanya itu, kepulangan Kang ke Korea Selatan lebih kepada usahanya ingin mengembalikan populariti budaya Melayu terutama tulisan Jawi di negara tanah tumpah darahnya itu.

"Saya mahu pulang ke Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Melayu semakin kurang dikenali berbanding tahun 80-an dan 90-an dulu, terutama dalam kalangan pelajar universiti kami dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau kebanyakan pelajarnya menyangka bahawa bahasa dan budaya Indonesia itu adalah sama, maka apa yang terjadi pelajarnya hanya mempelajari bahasa dan budaya Indonesia.

"Ini tidak betul kerana walaupun banyak persamaan namun kedua-duanya adalah berlainan dan mempunyai keunikan yang tersendiri yang perlu dipelajari.

"Pelajar saya perlu tahu menyanyi lagu Melayu Asli, menari Zapin dan menulis Jawi jika mahu belajar tentang Melayu dan Malaysia," katanya sambil tersenyum lebar.

Kang berkata hubungan erat yang terjalin antara universitinya dengan UPSI dan DBP akan digunakan sepenuhnya dalam usahanya itu.

Antara usaha terkini daripada beliau ialah membawa seorang Profesor Tamu dari UPSI atau DBP menjadi pensyarah di universitinya di Korea Selatan.

Pertahan tulisan Jawi
Memperkatakan tentang usaha mempertahankan tulisan Jawi di negara ini, beliau berkata masyarakat Melayu di negara ini sepatutnya menjadikan tulisan itu sebagai satu perkara lebih universal.

"Saya lihat sekarang tulisan Jawi ini banyak digunakan masyarakat Melayu secara eksklusif dalam hal ehwal keagamaan sahaja, mengapa tidak tulisan ini dibawa ke universiti sebagai teks utama dalam pelajaran di sana.

"Bagi saya pelajar muda di universiti adalah kumpulan utama yang perlu dicapai kerana mereka cerdik pandai yang akan mencorakkan masa depan Malaysia, jika mereka ada kesedaran tentang Jawi saya yakin tulisan Jawi akan terus berkembang di Malaysia pada masa hadapan," katanya.

Selain itu, inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu Gangnam Style boleh dilakukan bagi menarik golongan muda.

"Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan dijadikan sesuatu di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan sesuatu yang serupa," katanya.

Teori Jawiology
Menceritakan kajian terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah teori yang mampu memperkenalkan tulisan Jawi itu kepada masyarakat dunia.

"Melalui teori ini saya mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan Jawi daripada sebuah tulisan dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan Jawi mudah difahami dan dipelajari masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.

Bercakap mengenai kajian tulisan Jawi yang amat dekat di hatinya, Kang memberikan contoh kajian batu bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80-an.

"Saya masih mengkaji tulisan di batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf seperti 'ba' dan 'nun'.

"Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar tepat, hanya agak-agak sahaja.

"Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih mendalam lagi," katanya.

Hembusan terakhir
Ketika ditanya bila beliau mahu bersara daripada mempertahankan warisan Melayu itu, namun dibalas dengan air muka serius daripada Kang.

"Saya akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang amat saya cintai ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," tekad beliau.

Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya.

"Saya mahu kita menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea jadi saya juga mahu orang muda Korea meminati bahasa dan budaya Malaysia," katanya.

— BERNAMA