Wednesday, April 5, 2017

Selatan Thailand: Wilayah Melayu Yang Hilang

WILAYAH Satun, Trang, Narathiwat, Pattani, Yala dan Songkhla cukup sinonim dengan orang Islam di Thailand. Kesemua wilayah ini, kecuali Trang dan Pattani bersempadanan dengan Malaysia. Walaupun majoriti penduduk di wilayah-wilayah ini adalah orang Melayu-Islam, tetapi wilayah-wilayah ini bukan lagi sebahagian daripada negara kita.

Apakah benar apa yang dikatakan bahawa wilayah selatan Thailand adalah wilayah Melayu yang hilang?

Sejarah Awal
Negeri Kedah yang wujud pada hari ini merupakan sisa tinggalan daripada wilayah kerajaan Melayu yang terbentang luas di kawasan utara Semenanjung Melayu yang meliputi wilayah-wilayah selatan Thailand. Menurut sumber catatan sejarah, kerajaan Langkasuka adalah kerajaan Melayu terawal yang pernah wujud di Semenanjung Melayu. Ia wujud pada kurun ketiga dengan mempunyai pusat kekuasaan di Kedah yang kemundiannya dipindahkan ke Pattani.

Kerajaan Kedah Tua kemudiannya muncul pada kurun keenam dan berkuasa ke atas laluan kapal pedagang di kawasan utara Semenanjung Melayu. Kehebatan Kerajaan Kedah Tua ini dapat dilihat daripada tinggalan arkeologi candi-candi di Lembah Bujang yang masih wujud sehingga hari ini.

Empayar Maritim
Kurun ketujuh menyaksikan kemunculan sebuah kerajaan Melayu terhebat yang pernah muncul di Pulau Sumatera. Srivijaya adalah sebuah kerajaan Melayu Hindu-Buddha yang berjaya mencapai status ‘empayar maritim’, dengan wilayahnya meliputi sebahagian besar Pulau Sumatera, Semenanjung Malaysia dan wilayah-wilayah selatan Thailand serta sebahagian daripada Pulau Borneo.

Setelah berkuasa lebih dari lima abad, kerajaan Jawa Majapahit menggantikan kerajaan Srivijaya dengan menguasai kawasan yang dahulunya pernah menjadi milik Srivijaya, malah jajahan Majapahit adalah lebih besar daripada Srivijaya. Indonesia yang terbentuk pada hari ini adalah gambaran betapa luasnya jajahan kerajaan Nusantara ini.

Penjajahan
Berkurun lamanya orang Melayu Nusantara menguasai rantau kepulauan Melayu ini sebelum kekuasaan mereka terhakis menerusi kedatangan penjajah-penjajah Barat. Selain penjajah Barat, kerajaan-kerajaan Melayu juga terpaksa berhadapan dengan kuasa penjajah serantau iaitu Siam yang senantiasa mengambil peluang untuk meluaskan wilayah mereka ke selatan Semenanjung Melayu.

Sebagai contoh, wilayah Satun yang sekarang ini sebahagian daripada Thailand pernah berada di bawah pengaruh kerajaan Kedah sehingga tahun 1813. Kesultanan Kelantan dan Terengganu pernah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Pattani Besar sehingga dipecahkan oleh Siam pada tahun 1785.
Sempadan Malaysia-Thailand yang terbentuk pada hari ini bukanlah sempadan yang memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam. Sempadan ini telah dilukis melalui persetujuan pihak British, selaku pelindung kerajaan-kerajaan Melayu dengan pemerintah Siam, tanpa kerelaan sultan-sultan Melayu sendiri pada tahun 1909.

Bertitik-tolak dari peristiwa bersejarah ini, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di selatan Thailand dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Wilayah Setul ditukar namanya kepada Satun, Singgora menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala dan Menara menjadi Narathiwat. Wilayah-wilayah ini kemudiannya menerima perpindahan orang-orang Siam yang agak ramai untuk menyeimbangkan populasi Melayu-Muslim dengan Siam-Buddha. Satun contohnya, mempunyai populasi Muslim melebihi 90% pada awal kurun ke 19 tetapi sekarang ini, populasi Muslimnya berkurangan kepada 65%.

Dasar Thesapiban
Setelah wilayah-wilayah selatan ini menjadi milik mutlak Siam pada tahun 1909, pemerintah Siam pada ketika itu mengenakan dasar Thesapiban kepada penduduk-penduduk di kawasan ini dengan harapan untuk mengasimilasikan orang-orang Melayu Muslim kepada budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha. Dasar ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri Siam, Pibul Songgram yang memerintah Siam di antara tahun 1939 sehingga 1944.

Penduduk-penduduk Melayu dipaksa untuk menerima adat dan budaya masyarakat majoriti Siam-Buddha untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Bahasa Siam diajarkan di sekolah-sekolah dengan bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh pemertintah. Mujur sekali Dasar Thesapiban tidak memaksa orang-orang Melayu untuk meninggalkan Islam sebagai agama yang dianuti oleh mereka.

Apabila Siam menjadi Thailand pada tahun 1949, masyarakat Melayu telah dilabelkan sebagai ‘Thai-Muslim’. Jati diri masyarakat Melayu di selatan Thailand berjaya secara sedikit demi sedikit, dihakis menerusi Dasar Thesapiban ini. Kini, majoriti generasi muda Thai-Muslim di selatan Thailand tidak lagi fasih berbahasa Melayu dan lebih selesa menuturkan bahasa Thai.

Masyarakat Melayu Selatan Thai Kini
Walaupun rata-rata orang Melayu-Thai di daerah Pattani, Yala dan Narathiwat masih lagi boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dan masih lagi mengakui yang mereka itu Melayu, lain pula dengan kebanyakan masyarakat Thai-Muslim di wilayah-wilayah Satun, Trang dan Songkhla.

Mereka tidak lagi boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik walaupun mereka tampak seperti masyarakat Melayu-Islam di Kedah ataupun Kelantan. Lebih menyedihkan, hanya 9.9% daripada masyarakat Islam Satun dan Trang yang mengaku mereka itu Melayu.

Wilayah yang Hilang
Sejarah menunjukkan bahawasanya orang-orang Melayu pernah membina peradaban yang tinggi menerusi kerajaan-kerajaan maritim yang pernah diterajui mereka. Namun, penjajahan telah menyebabkan orang-orang Melayu tertindas sehingga hilang jati diri. Masyarakat Thai-Muslim di Satun dan Trang adalah manifestasi sebuah bangsa yang telah hilang jati-diri mereka sebagai seorang Melayu. Amat mendukacitakan apabila saudara serumpun seagama kita di Satun dan Trang tidak lagi mahu mengakui diri mereka Melayu, malah lebih berbangga menjadi orang Thai.

Kesimpulan
Wilayah-wilayah Satun, Trang, Pattani, Yala, Songkhla dan Narathiwat adalah wilayah-wilayah Melayu yang hilang dan sekarang telah menjadi hak mutlak negara Thailand. Nasib masyarakat Muslim di selatan Thailand patut dijadikan iktibar oleh kita semua. Rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Melayu perlu menanamkan rasa kasih pada bangsanya sendiri dan negara Malaysia kerana inilah negara warisan kerajaan-kerajaan Melayu lama yang masih kekal bersama orang-orang Melayu.

1 comment:

  1. Hi, Really great effort. Everyone must read this article. Thanks for sharing.

    ReplyDelete