Si bapa dan ibu menggenggam telefon bimbit. Dua anak lelakinya pula memegang tablet bersaiz mini manakala adik bongsu perempuan mereka membawa telefon bimbit bersaiz tapak tangan.
Mereka meninjau-ninjau mencari meja kosong dan kemudian memilih untuk duduk di sebuah meja besar yang boleh memuatkan enam orang.
Selepas pelayan restoran menghulurkan buku menu, masing-masing memilih makanan dan membuat pesanan.
Sementara menunggu hidangan sampai, hanya si ayah dan ibu yang kelihatan berbual-bual. Dalam rancak berbual, mata kedua-duanya sesekali mencuri jengah telefon yang diletak di hadapan mereka.
Tiga lagi anak pasangan itu tekun mentelaah gajet. Barangkali asyik berbalas mesej WhatsApp, melayan Twitter dan mengemas kini Facebook atau Instagram.
Sesekali mereka kelihatan tersenyum dan ketawa kecil sendirian. Pasti ada patah-patah kata dalam mesej yang diterima itu lucu dan mencuit hati.
Dua anak remaja lelaki mereka walaupun sekali-sekala kedengaran berbual-bual, sebenarnya tidak melihat pun antara satu sama lain. Hanya mulut berkata-kata tapi mata dan jari ligat menaip di paparan skrin sesentuh tablet mereka.
Si anak perempuan pula nampak asyik mengambil gambar diri sendiri. Dia memberikan gaya yang pelbagai. Ada gaya lidah tersentil di sudut bibir. Ada juga gaya mulut dimuncungkan atau diherotkan sambil jari telunjuk dan jari tengah dilintangkan di hujung bibir.
Ketika makanan yang dipesan tiba, setiap orang teruja mencari sudut untuk merakamkannya. Gambar tersebut sudah pasti akan dimuatnaikkan ke akaun Facebook atau Instagram.
Inilah antara pemandangan biasa yang boleh dilihat pada hari ini. Sudah amat jarang sekali untuk melihat suasana makan satu keluarga yang riuh rendah dengan gurau senda atau gelak ketawa.
Gambaran di atas hanyalah satu daripada berpuluh contoh yang mudah dilihat. Sebenarnya budaya sedemikian telah bermula seawal di rumah lagi.
Perkara pertama yang biasa dilakukan kebanyakan orang sebaik sahaja bangkit daripada tidur ialah membaca mesej atau memeriksa status laman sosial.
Situasi yang sama dapat dilihat di tempat kerja, ketika bermesyuarat dan berseminar termasuk ketika di masjid atau surau.
Malah ada orang sejurus selepas memberi salam dalam solat, belum pun sempat berdoa, terus mencapai telefon!.
Mendalam sungguh pengaruh peralatan elektronik pintar ini. Mereka melingkari, mengikat dan menguasai kehidupan seharian penggunanya.
Membelek gajet bagai sudah menjadi satu ritual. Kepada sesiapa yang hanya duduk tanpa alat komunikasi itu di tangan, dia dilihat sebagai janggal.
Revolusi dalam penghasilan pelbagai jenis gajet pintar berlaku sangat pantas dan seperti tidak terkejar.
Secara diam dan tanpa sedar, revolusi ini mengikis dan perlahan-lahan melunturkan warna-warna murni yang menjadi nilai dalam peradaban hidup seharian.
Perhatikan di sekeliling, anak-anak remaja semakin mementingkan privasi dan menyendiri melayan dunia internet yang menghidangkan macam-macam maklumat.
Mereka bersuara dalam hati dan patah-patah kata diucapkan di hujung jari. Tidak keterlaluan kalau generasi sedemikian sudah boleh digelar sebagai generasi bisu.
Prinsip-prinsip asas dalam berkomunikasi mula dilupakan. Bercakap secara bersemuka dan saling melihat mimik wajah si penutur. Kata-kata pertuturan juga sepatutnya boleh didengari, dirasai emosinya dan difahami serta disulami lenggok bahasa badan.
Golongan ini juga dilihat tidak berapa minat bermasyarakat. Masyarakat mereka sebaliknya dibina di perkampungan maya.
Mereka menjalin hubungan sosial secara virtual dalam dunia tanpa sempadan yang sangat luas.
Walaupun saling tidak mengenali antara satu sama lain, komunikasi secara interaktif itu menjadikan mereka seperti akrab.
Peranan awal teknologi maklumat dan komunikasi turut berubah. Daripada satu kemudahan untuk mendekatkan yang jauh bertukar menjadi menjauhkan yang dekat.
Budaya baharu ini walaupun tidak begitu sihat tetapi satu realiti. Semua orang terutama golongan ibu bapa perlu berhadapan dengan situasi ini. Cara menanganinya pula terletak kepada kebijaksanaan masing-masing.
http://www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment