Friday, February 18, 2022

Wujudkan Tabung Perumahan Negara

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menubuhkan Tabung Perumahan Negara bagi mencapai sasaran Satu Keluarga Satu Rumah seperti diuar-uarkan bagi menyelesaikan masalah pembiayaan membabitkan pembeli dalam kumpulan B40 dan M40.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, Tabung Perumahan Negara harus `dicipta’ bagi menjadi mekanisme membolehkan rakyat berpendapatan sederhana dan tidak mampu akhirnya boleh memiliki rumah sendiri.

Menurut beliau, sasaran kerajaan Satu Keluarga Satu Rumah seperti diuar-uarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu hanya tinggal sasaran jika tiada mekanisme khas ke arah membantukan golongan sasar.

“Antara mekanisme boleh dicuba ialah menerusi penubuhan Tabung Perumahan Negara. Tabung itu adalah strategi pembiayaan atau bantuan kepada mereka yang mahu memiliki rumah sama ada secara sewa beli, pembelian sewa terus atau tabungan dari awal.

“Kaedah dan mekanisme agensi tabungan bagi pembiayaan perumahan itu boleh mengambil contoh seperti mana model agensi Lembaga Tabung Haji (TH) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Ishak berkata, menerusi TH, rakyat yang menabung dengan agensi itu mampu menunaikan ibadat haji dan begitu juga KWSP yang mampu memberi kehidupan lebih sempurna kepada pesara.

Tiga lagi strategi
Serentak penubuhan Tabung Perumahan Negara, kata beliau, pihaknya melihat tiga lagi strategi perlu dilaksanakan serentak ialah membabitkan pengumpulan data kumpulan sasar yang tepat, mewujudkan hanya satu agensi yang membekalkan rumah mampu milik dan dari segi kos pembinaan rumah itu harus diselaras.

“Dari segi data tepat, kita perlukan sistem maklumat data betul berhubung jumlah mereka yang betul-betul tidak mempunyai rumah berbanding sekadar anggaran sahaja ketika ini.

“Ini bermakna keperluan mewujudkan satu data berpusat yang dikawal oleh satu agensi berbanding berpuluh agensi ketika ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, kerajaan juga perlu memastikan hanya satu agensi yang dibenarkan membekalkan rumah mampu milik kepada kumpulan sasar bagi mengelakkan agensi perumahan bersaing sesama sendiri.

“Tak guna bersaing kerana bersaing sesama agensi hanya menyebabkan data terpisah, peningkatan persaingan dari segi kos, malah kos pentadbiran juga dapat dijimatkan jika hanya satu agensi sahaja terbabit.

“Ketiganya, dari segi kos pembinaan rumah itu yang perlu menggunakan Sistem Bangunan Industri (IBS) dalam sistem pembinaan, dan bukannya seperti mana ketika ini apabila harganya dikawal oleh harga besi atau kartel.

“Malah kos pematuhan yang kebanyakannya banyak datang daripada caj dikenakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan (perlu dilihat semula) kerana pembinaan rumah tidak boleh dijadikan satu bahan komoditi untuk mengaut keuntungan,” jelasnya.

Pada 10 Februari lalu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Ismail Sabri bersetuju meletakkan sasaran ‘Satu Keluarga, Satu Rumah’ dalam misi menyediakan rumah mampu milik di negara ini.

Perdana Menteri sebelum ini juga mengesa semua pihak memainkan peranan supaya sasaran tersebut dapat direalisasikan.

Perkara itu termasuk meminta Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan bagi memastikan institusi kewangan mempermudah pinjaman buat B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment