Wednesday, February 9, 2022

PBT Tidak Tegas Tangani Nama Inggeris

PETALING JAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa memantau dan me­nguatkuasakan undang-undang bagi mengutamakan bahasa kebangsaan terhadap nama-nama tempat awam yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi gagal ditangani oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Pe­ngelola DBP, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, permit penamaan bangunan, nama tempat, iklan dan lain-lain di tempat awam berada di bawah bidang kuasa PBT dan undang-undang kecil yang menegaskan pengutamaan bahasa kebangsaan.

“Masalah besar ialah keba­nyakan PBT tidak tegas me­nguatkuasakan undang-undang itu. DBP menyediakan khidmat menyemak dan mengesahkan draf yang patut menjadi salah satu asas pengeluaran permit,” katanya.

Namun, jelas beliau, kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan seolah-olah tiada kuasa mengarahkan PBT.

“Itu salah satu asas DBP mohon pindaan Akta DBP supaya diberi kuasa mengambil tindakan kepada pihak yang tidak menghormati bahasa kebangsaan tetapi perjuangan sekian lama hampir 10 tahun belum tampak reaksi positif pemerintah.

“Ada juga campur tangan politik apabila penamaan bahasa asing tidak pun dirujuk kepada PBT tetapi mendapat restu langsung,” katanya.

Beliau mengulas nama-mana taman perumahan seperti Garden Avenue, Taman Forest Heights, Bandar Ainsdale, Taman Bandar Spring­hill, Taman Lavender Heights dan PD Waterfront.

Itu sekadar sebahagian nama-nama taman perumahan dan projek komersial di Negeri Sembilan yang ‘mengangkat’ penggunaan bahasa Inggeris.

Pengambilan nama asing tersebut berbanding penggunaan bahasa Melayu dan nama-nama tempatan untuk nama taman perumahan dan projek komersial sering menjadi pilihan pihak pemaju sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Awang Sariyan mencadangkan supaya warga media menayangkan nama-nama tempat awam yang menggunakan nama asing di negara ini bagi memberi kesedaran kepada pihak umum.

“Media elok menyorot dan memaparkan kawasan yang menayangkan nama tempat, bangunan, nama jalan dan lain-lain dalam bahasa asing secara berterusan supaya ada impak kepada masyarakat seluruh negara.

“DBP pernah menerbitkan buku yang menyarankan nama berasaskan flora, fauna, sejarah dan budaya tetapi tidak banyak yang memanfaatkannya, mungkin kerana mengejar impian palsu untuk mendapat glamor,” katanya. - utusan online 

No comments:

Post a Comment