Wednesday, February 9, 2022

PBT Lulus Nama Jalan Ikut Suka, Tanpa Rujukan

KUANTAN: Tidak membuat rujukan didakwa menjadi punca pihak berkuasa tempatan (PBT) meluluskan nama yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada bangunan, nama tempat, iklan dan lain-lain di tempat awam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Aripin Said mendakwa, pihak PBT juga hanya bertindak ikut sedap mereka sahaja hendak menggunakan nama apa.

“Ini membabitkan soal urus tadbir yang mana dalam hal ini, ia perlu diperkemaskan dan ada garis panduan.

“Pegawai semua peringkat di PBT ada tanggungjawab masing-masing bukan hanya ikut sahaja, mereka perlu tahu apa yang dibuat kerana mereka pegawai yang ada ilmu dan pengetahuan.

“Mereka juga ada kuasa, gunakan kuasa itu dalam melaksanakan tanggungjawab untuk negara bangsa, bukan kepentingan lain,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, DBP perlu diberi kuasa memantau dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengutamakan bahasa kebangsaan terhadap nama-nama tempat awam yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi gagal ditangani oleh PBT.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Awang Sariyan dilaporkan sebagai berkata, permit penamaan bangunan, nama tempat, iklan dan lain-lain di tempat awam berada di bawah bidang kuasa PBT dan undang-undang kecil yang menegaskan pengutamaan bahasa kebangsaan.

Menurutnya, masalah besar ialah kebanyakan PBT tidak tegas menguatkuasakan undang-undang itu dan DBP menyediakan khidmat menyemak dan mengesahkan draf yang patut menjadi salah satu asas pengeluaran permit.

Mengulas lanjut, Aripin berkata, terdapat pelbagai nama boleh diberikan pada bangunan, nama tempat, iklan dan lain-lain di tempat awam seperti tokoh-tokoh tanah air, begitu juga flora dan fauna.

“PBT wajar dan harus mengambil kira ini semua. Ini soal urus tadbir. Inilah tugas mereka, barulah rakyat selesa dan hormat kepada kerajaan,” tegasnya.

Beliau berkata, taman-taman perumahan perlu diwajibkan menggunakan bahasa Melayu bukan bahasa Inggeris.

Selain itu katanya, jalan-jalan juga mesti menggunakan bahasa Melayu dan pihak PBT perlu menjalankan tugas dengan baik bagi merealisasikan perkara tersebut.

“Hilang bahasa menjadikan bangsa kita tidak ada tidak ada jiwa bahasa dan bangsa. Kita hilang semangat patriotik sebenarnya apabila kita mengabaikan bahasa kita sendiri.

“Bertindak sebelum terlambat. Jangan biarkan bahasa kita rosak dan bahaya untuk generasi akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment