Sunday, February 20, 2022

Adakah SJKC Anak Emas Kepada KPM....

Kenapa KPM bayar gaji guru ganti SJKC, ia bukan badan awam?
BANGI – Kesediaan Kementerian Pendidikan (KPM) membayar gaji guru ganti di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) menimbulkan persoalan besar.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memaklumkan, sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan bagaimana dana kerajaan boleh disalurkan kepadanya.

Sehubungan itu, Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari memohon KPM memberi penjelasan berhubung isu ini.

“Kita mendesak kerajaan untuk memberi penjelasan penuh tentang status sekolah vernakular ini, jadi bagaimana dana-dana kerajaan boleh disalurkan kepada sekolah bukan badan awam ini,” katanya ketika hubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, guru ganti yang diambil melalui MyStep akan dibayar terus melalui KPM.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tuntutan Dong Jiao Zong berhubung masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh SJKC.

Dong Jiao Zong berkata, tindakan KPM meluluskan permohonan ramai guru yang mahu berkhidmat di negeri lain pada hujung tahun lalu telah menyebabkan masalah kekurangan guru bertambah teruk.

Dalam pada itu, respons pantas yang diberikan oleh Hang Soon terhadap tuntuan Dong Jiao Zong mencurigakan dan menjadi tanda tanya apakah SJKC merupakan ‘anak emas’ kementerian, soal Mohd Nor Izzat.

Selain itu, beliau mendesak, KPM mengawal selia proses pengambilan guru ganti di SJKC dalam memastikan mereka yang berkualiti dan mampu membawa aspirasi pendidikan negara sahaja dipilih.

“Walaupun SJKC telah melanggar prosedur namun pihak sekolah berkenaan masih lagi diberi layanan istimewa sehingga pihak KPM telah memberi jaminan selama seminggu untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Ia jelas membuktikan KPM melalui Timbalan Menteri daripada MCA ini telah memberikan layanan istimewa sedangkan semua tahu SJKC sebenarnya bukan badan awam,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment