Saturday, February 12, 2022

Strategi mengadakan PRN untuk UMNO pastikan Kluster Mahkamah kembali berkuasa

Langkah sengaja mengadakan pilihan raya negeri (PRN) yang bermula di Melaka adalah untuk UMNO memastikan Kluster Mahkamah kembali berkuasa dan menunjukkan mereka kembali berpengaruh, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata kumpulan dalam UMNO yang terpalit puluhan pertuduhan dan sudah dijatuhkan hukuman di mahkamah masih tidak berpuas hati walaupun kerajaan diterajui sebelum ini dijatuhkan dan masih meneruskan usaha mereka untuk kembali berkuasa sepenuhnya.

“Jadi tidak peliklah Kluster Mahkamah ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahu PN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan dan dengan itu kerajaan akan dikuasai sepenuhnya oleh parti UMNO yang dikuasai oleh kluster ini.

“Satu cara untuk kumpulan ini kembali berkuasa ialah dengan menumbangkan kerajaan-kerajaan negeri yang dibentuk melalui gabungan dengan PN supaya diadakan pilihan raya negeri.

“Apabila diadakan pilihan raya dan jika parti mereka menang, kepimpinan parti yang diterajui oleh Kluster Mahkamah akan dilihat semakin kuat dan berpengaruh,” katanya dalam satu kenyataan di hantaran Facebook.

Strategi mengadakan PRN sebenarnya bermula di Melaka dan bertambah yakin selepas meraih kemenangan besar walaupun faktanya hanya sekadar memperoleh 38.5 peratus undi popular dengan peratusan pengundi yang sangat rendah semasa PRN tersebut berlangsung.

“Strategi ini bermula selepas BN menang PRN Melaka. Mereka berasa cukup yakin bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka walaupun BN hanya mendapat 38.5 peratus undi.

“Kerana itu kumpulan ini telah merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk diadakan Pilihan Raya Negeri Johor,” katanya lagi.

Jelasnya, langkah UMNO khususnya Kluster Mahkamah memilih negeri Johor untuk mengadakan PRN satu lagi kerana dengan anggapan ia merupakan kubu kuat mereka dan jika menang berkemungkinan akan mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) pula diadakan selepas ini.

“Mereka memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan,” katanya lagi.

Apabila PRU diadakan, Ismail Sabri bukan lagi menjadi calon Perdana Menteri (PM) sebaliknya Presiden parti yang akan membuat ketetapan dan boleh memilih individu yang layak untuk diangkat bagi memegang jawatan nombor satu dalam negara, ia termasuk dirinya sendiri.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO.

“Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti,” katanya lagi.

Apabila strategi ini berjalan mengikut yang dirancangkan maka akan kembalilah Kluster Mahkamah berkuasa dan mereka akan mengambil kesempatan untuk terlepas daripada pertuduhan yang sedang dihadapi ketika ini.

“Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.

“Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?” katanya.

Muhyiddin berkata tidak ada pilihan bagi pengundi di Johor selain menunjukkan kuasa rakyat dan tidak membiarkan Kluster Mahkamah ini terus bermaharajarela dan yakin orang Johor bijak dalam membuat penilaian yang baik dan buruk sesebuah parti tersebut.

“Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

“Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” katanya lagi. - agendadaily

No comments:

Post a Comment