Tuesday, February 15, 2022

Makanan Dan Ancaman Kepada Keselamatan Negara

PERNAH tak dalam sehari rakyat Malaysia langsung tidak merungut mengenai harga makanan dan barangan keperluan? Rasa tidak pernah. Tiap-tiap hari ada saja isu yang berkaitan makanan yang menjadi rungutan. Harga naik, bekalan terputus, susah mahu beli dan lain-lain lagi.

Di sebalik kita berbangga bahawa negara ini adalah syurga makanan, tetapi isu yang berkaitan makanan dan bahan untuk menghasilkan makanan tidak pernah ada noktah.

Ramai hairan kenapa di bumi Malaysia yang subur menghijau ini gagal menghasilkan makanan mencukupi untuk rakyatnya. Jika berdasarkan statistik yang dibentangkan di Parlimen pada 2019, jumlah import makanan negara meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun. Pada 2015 kita mengimport makanan bernilai RM45.3 bilion. Pada 2020 pula meningkat kepada RM55.4 bilion.

Sebanyak 120 negara menjadi sumber untuk kita mengimport sayur-sayuran, buah-buahan dan daging. Kita import lebih 50 jenis bahan segar dan beku bagi memenuhi keperluan rakyat.

Kita juga membelanjakan RM18.68 bilion pada 2020 untuk mengimport ayam, daging lembu, daging kerbau, itik dan daging khinzir dari Amerika Syarikat, China, Australia dan beberapa negara lain.

Kekurangan sumber makanan dan kebergantungan kepada import boleh memberi implikasi kepada keselamatan negara. Apabila rakyat berhadapan dengan harga makanan yang tinggi dan seterusnya bekalan pula terputus ia akan mewujudkan situasi panik yang akan mencetuskan pelbagai masalah yang mengancam keselamatan.

Mungkin ada yang berpendapatan pandangan ini agak keterlaluan. Tetapi bibit ke arah itu sudah ada. Contohnya, setiap kali menjelang musim perayaan rakyat pasti akan berhadapan dengan kos makanan tinggi dan bekalan sukar diperolehi.

Seperti sekarang, ketika rakyat merungut harga ayam tinggi, tiba-tiba bekalan telur pula tiada. Pada masa sama isu minyak masak peket juga tidak selesai-selesai. Ia seperti masalah yang tidak mampu diselesaikan. Saban tahun isu berkaitan makanan ini akan berulang seolah-oleh tiada penyelesaian tuntas.

Malaysia bernasib baik kerana rakyat toleransi rakyat tinggi. Paling tidak pun mereka hanya protes di media sosial. Kalau kita lihat di Eropah, jika ada isu berkaitan makanan, mereka tidak teragak-agak turun ke jalanan. Petani sanggup melambakkan hasil pertanian dan ternakan di tengah-tengah bandar sebagai protes jika harga tidak menentu. Pengguna pula tidak teragak-agak memboikot.

Tetapi di sebalik toleransi itu, rakyat menderita. Ini bukan satu petanda yang baik kepada negara. Jika tidak diatasi, isu kekurangan bekalan makanan akan mengundang pelbagai masalah lain yang akan menjejaskan negara.

Malah kebergantungan kepada makanan diimport bukan petanda baik untuk negara. Jika berlaku sesuatu ia boleh mengancam keselamatan rakyat dan negara. Untuk itu kerajaan kena pastikan keselamatan makanan kita terjamin, dan hal-hal yang berkaitan dengan harga naik mendadak dan kekurangan bekalan tidak menjadi isu bermusim.

Oleh: Aznan Bakar
Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

No comments:

Post a Comment