Monday, February 14, 2022

Gaji Rendah, Macam Mana Nak Beli Rumah?

KOMEN 1
: “Baru cancel (batalkan) beli rumah. InsyaAllah yakin tak salah pilih. Basically (asasnya) sebab aku tak ready for such (tidak bersedia untuk) komitmen.”

Komen 2: “Aku pernah tengok satu chart (carta) majoriti orang muda bankrap sebab beli rumah terlalu awal sebab nak berlawan dengan orang sekeliling siapa yang beli rumah dahulu.”

Komen 3: “Bersepah dah orang muda bankrap sebab percaya kononnya rumah tu aset. Dulu ya aset. Sebab mampu milik dengan tanga gaji waktu tu.

“Sekarang ni lebih pada liabiliti dah pun. Harga rumah makin naik, tangga gaji takat tu juga. Saving (simpanan) takda, investment (pelaburan) takda. Last-last (Akhirnya) ikat perut..”

Itu sebahagian reaksi warganet mengenai pemilikan hartanah atau membeli rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Rata-rata menyatakan kecewa dan terkilan kerana masih tidak dapat membeli rumah disebabkan tidak mampu. Tidak mampu kerana harga hartanah semakin meningkat dan terus meningkat. Gaji Pula rata-rata tidak berubah, masih ditakat lama. Jika berubah pun, kenaikan masih tidak mencukupi untuk komitmen besar dan dalam jangka panjang.

Dulu, orang tua-tua kata, beli rumah untuk harta. Namun, mengambil kira komen-komen di atas, benarkah ia menjadi harta? Atau kini menjadi beban atau liabiliti sehingga nama kena senarai hitam dan rumah kena lelong.

Dalam sidang akhbar semasa pembentangan prestasi ekonomi suku tahun keempat 2021 Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus mengakui harga kediaman masih mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia.

Jika ada yang kata bank tak lulus pinjaman, tidak benar. Gabenor ada berkongsi, lebih RM60 bilion pembiayaan perumahan pertama diluluskan oleh institusi kewangan pada tahun lalu. Menariknya, lebih 60 peratus pembiayaan untuk hartanah bernilai RM500,000 dan ke atas.

Persoalannya, berapa banyak unit rumah yang dibeli jika harganya RM500,000 dan ke atas? Bertambahkah pemilikan hartanah dalam kalangan rakyat Malaysia terutama B40 dan M40? B40 mungkin ada rumah mampu milik dibina kerajaan untuk mereka, yang jumlahnya pun masih jauh daripada mencukupi. Bagaimana pula dengan M40, golongan yang kerap tercicir daripada radar kerajaan.

Baru-baru ini, pemaju hartanah ada menyuarakan kos pembinaan rumah bertingkat meningkat disebabkan kos bahan seperti simen, besi dan lain-lain naik. Bukan setakat nak bina, nak baiki rumah pun meningkat. Impaknya, rumah akan terus tinggi harganya terutama di bandar utama seperti Kuala Lumpur.

Apa penyelesaiannya? Pada penulis, kerajaan perlu lebih serius membantu pemilikan rumah dalam kalangan rakyat. Kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu milik berharga di bawah RM250,000 misalnya. Rumah kategori ini permintaannya sangat tinggi. Buktinya, Rumah Selangorku, yang ‘laku keras’ di pasaran. Rumah harga mampu milik, reka bentuk semakin menarik dan saiz pula agak selesa.

Berbeza dengan Residensi Wilayah yang berharga RM300,000 seunit. Syarat beli gaji bersih RM3,000. Bayaran ansuran bulanan pula hampir RM1,000 untuk tempoh hampir 30 tahun? Jika anak muda baru tamat pengajian dan baru bekerja tiga empat tahun, agak-agak berapa gaji bersih mereka?

Di peringkat pusat, kita ada Syarikat Perumahan Negara dan pelbagai agensi kerajaan termasuk majlis agama yang boleh terlibat dalam pembinaan rumah untuk rakyat. Di peringkat negeri, ada kerajaan negeri dan agensi di bawahnya. Malaysia ada 14 buah negeri dan andainya setiap negeri membina 100 buah rumah setahun, bertuahnya rakyat Malaysia.

Dan jika setahun Kerajaan Pusat memperuntukan RM1 bilion daripada belajawan untuk membina rumah, bayangkan berapa banyak rumah yang dapat dibina dalam tempoh rancangan Malaysia. Setiap rakyat Malaysia akan ada rumah yang selesa. Tidak perlu bergantung kepada pemaju dan bank yang lebih memikirkan untung daripada membantu pemilikan kediaman untuk rakyat Malaysia.

Namun, hakikatnya, sekarang, Malaysia sudah memasuki Rancangan Malaysia Ke-12, dan isu perumahan dalam kalangan rakyat masih terus menjadi isu dan akan menjadi isu yang lebih kompleks jika tiada kesungguhan untuk menanganinya.

Begitu juga soal gaji. Dalam Malaysia memasuki abad 21, masih ada rakyat bergaji di bawah garis kemiskinan kebangsaan. Kerajaan pula mengambil masa terlalu lama untuk mengatasi masalah ini. Sangat menyedihkan. Jika dahulu kita melihat kelibat orang berniaga menghampiri kenderaan berhenti di lampu isyarat hanya di negara jiran, suasana itu sudah ada di negara kita.

Peluang kerja yang terhad dan tekanan hidup memaksa rakyat untuk melakukan apa sahaja untuk hidup. Asalkan halal, tidak mengapa. Namun, adakah itu yang kita banggakan ketika bangunan pencakar langit semakin bertambah di Malaysia?

Untuk itu, dalam pemimpin negara melaungkan slogan Keluarga Malaysia, keluarga Malaysia perlukan kediaman untuk tinggal dan gaji yang stabil untuk hidup. Keluarga Malaysia perlukan kehidupan lebih selesa untuk masa depan mereka dan Malaysia yang lebih gemilang. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment