Thursday, February 10, 2022

Benar Kata Zahid, Jadikan Yang Buruk Sempadan Untuk Kita Lebih Dewasa

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan orang ramai, khususnya rakyat Johor, supaya menjadikan sesuatu yang buruk itu sebagai sempadan, dalam usaha untuk mengembalikan kestabilan dan kemakmuran negara.

Nasihat itu dibuat, 15 hari setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkannya membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi ketika pembelaan yang akan didengar mulai 28 hingga 31 Mac; 11 hingga 13 April; 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; dan 27 hingga 30 Jun.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kestabilan berlaku apabila negara ditadbir oleh sebuah gabungan politik yang mutlak dan dominan seperti yang pernah dinikmati sebelum peristiwa hitam 9 Mei 2018 melanda.

“Paling derita akibat implikasi buruk ketidakstabilan adalah rakyat, justeru rakyatlah paling berhak diberi kuasa untuk mengembalikan dan menentukan kestabilan negara mengikut lunas yang sah.

“Mengembalikan kestabilan harus bersandarkan pengajaran lalu kerana pengalaman sepatutnya mendewasakan insan. Baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan,” kata Zahid dalam kenyataan di Facebooknya.

Peristiwa hitam yang dirujuk beliau adalah kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), setelah memerintah Malaysia sejak merdeka. Kekalahan itu disebabkan pendedahan mengenai ‘perkara buruk’ dilakukan pemimpin UMNO melibatkan berbilion-bilion ringgit wang kerajaan.

‘Perkara buruk’ dilakukan itu kemudian terdedah kepada rakyat menerusi kes perbicaraan beberapa pemimpin tertinggi UMNO, termasuk bekas Perdana Menteri Najib Razak – yang telah dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – serta Zahid sendiri.

Sebelum ini, Zahid yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak mengaku salah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Zahid membela diri setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Bagi pertuduhan CBT, Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Perdana Menteri 33 bulan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Presiden UMNO itu dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu dituduh dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Zahid juga masih berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - agendadaily

No comments:

Post a Comment