Friday, February 25, 2022

Malu: Formula Perpaduan Melayu-Islam?

Dr Mahathir Mohamad tidak kerap berhujah menggunakan dalil Al-Quran dan sunnah Nabi. Namun dalam tulisannya pada bertarikh 6 Januari lalu yang mengkritik Najib Razak, pandangannya mirip pesan Rasulullah.

Dalam kritiknya itu Mahathir menyebut: “Sesuatu yang sudah hilang di Malaysia ialah perasaan malu. Najib tidak malu dan ramai penyokongnya tidak malu apabila disogok, apabila didapati bersalah.

“Nilai hidup yang hodoh ini jelas ternampak apabila penyokong Najib berkata, ‘Apa perlu malu, (Najib) boss kita’. Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu-Islam.”

Kira-kira 1400 tahun lalu, Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Malu dan iman senantiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.”

Demikian pertalian akhlak seseorang dengan imannya dan Rasulullah menyimpulkan apabila seseorang itu tiada rasa malu ia akan “melakukan apa sahaja mengikut sesuka hatinya”.

Malaysia kini negara yang dibelit resah. Penyakit ekonominya dilihat lambat betah. Ramai rakyat yang hilang punca rezeki apabila banyak pelabur asing dikatakan tidak minat berniaga di sini.

Natijahnya ramai yang bingkas mencari di mana punca salah. Lazimnya, kerajaan menjadi padang sasar tempat sumpah seranah. Ada yang merintih bersendirian. Namun ada juga yang mahu kerajaan diganti.

Bagaimanapun bagi yang tenang dan sopan mereka mahu meredakan keresahan dengan saksama. Ikut akal budi. Usah guna emosi. Cari penyelesaian bermula dari dalam diri.

Pelbagai tuduhan disebar di media sosial. Rata-rata pemerintah dikatakan lemah. Defisit kepercayaan ini diburukkan apabila banjir besar menjengah dan kerajaan dikatakan lengah mencari jalan penyudah.

Dari perspektif Islam rasa malu di kalangan pemimpin akan jadi formula terbaik meredakan kegelisahan rakyat. Namun persoalannya bagaimana menanamkan rasa malu ini dalam jiwa pemimpin masa depan?

Seperti wasiat Rasulullah, malu dan iman itu berpasangan. Justeru haruslah parti-parti politik merekrut pemimpin baru yang berintegriti, beriman dan menghayati sabda Rasulullah:

Daripada Ibnu Umar, Rasulullah bersabda: “Malu dan iman senantiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (HR Thobarâni dalam Sahih Jami Shaghir: No 1603)

Pengajarannya ialah, parti-parti Melayu-Islam haruslah insaf bahawa jika hilang sifat malu bermakna iman juga turut hilang daripada diri seseorang.

Rasa malu adalah fitrah manusia. Ia akan terhias apabila dilatih dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Baik Umno, Bersatu mahupun pemimpin Islam dari parti lain juga seharusnya akur akan hakikat ini. Sementara PAS haruslah melebarkan peranan dakwahnya dengan mencambahkan rasa malu ini dan tidak leka berpolitik.

Kegelisahan ini nampaknya berpusar kepada keberkesanan idea dan gerak kerja yang dicatur oleh pemimpin. Ada yang berpandangan wibawa mereka yang dangkal mencetuskan gejala keresahan rakyat.

Dalam kata lain, yang dituding jari ialah terhadap mereka yang dikatakan tidak mengutamakan kepentingan rakyat. Ini menyebabkan sistem kepercayaan pemimpin tertentu bertambah lusuh.

Dalam kemurungan ini mereka yang menyertai sistem politik dilihat semakin curang memanfaatkan kesempatan daripada kecelaruan yang ada dengan bertindak melompat parti.

Cubalah manfaatkan media sosial untuk mengukuhkan perjuangan demi negara dan rakyat. Hayati pesan pendakwah Amidi Abdul Manan dalam mesejnya yang tersebar dalam media sosial – “Seruan untuk umat Melayu”:

“Marilah kita pertahankan rasa malu. Malu menerima rasuah. Malu dipimpin oleh perasuah. Malu menipu dan malu membuat fitnah.

“Maruah bangsa Melayu hanya dapat dipertahankan dengan sifat malu. Sebab malu datangnya dari iman dan rasa berTuhan.”

Amidi ialah mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Politik ialah sebahagian kerja dakwah mengikut tuntutan “amar makruf amar mungkar”. Wahai pemimpin politik Melayu-Islam insaflah akan peringatan Rasulullah:

Daripada Hudzaifah Al Yaman, Nabi bersabda: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, hendaklah kalian menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak nescaya Allah akan mengirimkan siksaan dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian jika kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan.”

Covid-19 sudah bertandang di bumi Malaysia lebih dua tahun. Jika tiada rasa malu dalam kalangan ahli politik, mungkin musibah lebih besar menanti negara. Ketika itu menang kerusi politik mungkin tiada manfaatnya lagi.

No comments:

Post a Comment