Wednesday, October 30, 2019

LTTE bukti penipuan perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ DAP

Apa logik orang Tamil Malaysia berjuang bina negara di Sri Lanka?
BANGI – Pembabitan golongan Tamil dalam kalangan DAP yang terang-terangan menyokong perjuangan menubuhkan negara Tamil di Sri Lanka, menunjukkan satu lagi bukti penipuan parti tamak haloba berkenaan kononnya memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’.

Mengulas pembabitan DAP dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mempersoalkan logiknya orang Tamil Malaysia berjuang membina negara di Sri Lanka, seolah-olah mereka bukan warganegara.

“Di mana sebenarnya wala’ mereka? Nak bangunkan Malaysia atau menggunakan Malaysia sebagai platform untuk membina negara Tamil di Sri Lanka?

“Di sini melalui DAP mereka kata Malaysian Malaysia, di sana mereka perjuang sebuah negara Tamil yang merdeka. DAP ini wadah perjuangan untuk apa sebenarnya?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP antara 12 individu ditahan selepas dikesan bukan sahaja mempromosi, menyokong, menghasut dan menggalak orang ramai, malah turut mencari dana untuk kumpulan pengganas LTTE.

Penangkapan anggota parti itu dipertikai oleh beberapa pemimpin DAP, termasuk Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendesak kerajaan membebaskan suspek yang ditahan dibebaskan.

Bahkan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga melangkaui kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mengeluarkan kenyataan jaminan ‘tiada lagi pemimpin DAP akan ditahan polis’.

Sikap kebanyakan pemimpin parti berkenaan terhadap isu LTTE itu menyebabkan ramai pihak menganggap DAP mempunyai hubungan rapat dengan pengganas LTTE.

Perkara itu juga didedahkan oleh bekas ahli DAP, Amran Ahmad Nor ketika temu bual dalam rancangan ‘Cakap Serupa Bikin’ yang disiarkan di TV Pertiwi, baru-baru ini.

Amran turut mendedahkan, salah seorang pemimpin DAP – yang juga peguam ternama dalam parti itu – ada meletakkan gambar pengasas LTTE, v Prabakharan di belakang kerusi di biliknya, sekali gus menguatkan lagi bukti mereka menyanjungi perjuangan kumpulan pengganas berkenaan.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mendakwa bahawa parti rasis dan cauvinis berkenaan tidak terbabit dengan kumpulan pengganas di Sri Lanka itu.

LTTE mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam, utara Sri Lanka apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat Tamil iaitu kumpulan minoriti.

Kumpulan pemberontak itu yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan Kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment