Tuesday, October 29, 2019

Dulu Peguam Negara Gugur Kes Guan Eng, Siti Kassim…LTTE?

Adakah suspek ISIS, Daesh perlu dinilai semula jika LTTE tak didakwa?
BANGI – Semua pihak ternanti-nanti pendirian Peguam Negara, Tommy Thomas dalam mengendalikan siasatan membabitkan individu dalam DAP, berkaitan kes kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

Ia susulan pihak polis memaklumkan, pihaknya telah selesai melakukan siasatan dan kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan terhadap suspek LTTE sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada Rabu lalu.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk memaklumkan sama ada bukti itu mencukupi atau tidak,” katanya.

Firdaus yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) berharap kes LTTE ini tidak akan berlaku seperti kes sebelum ini, apabila membabitkan individu penting.

“Dulu Peguam Negara gugurkan kes rasuah Lim Guan Eng. Tidak lupa Peguam Negara juga tidak mendakwa Siti Kassim kerana menunjukkan isyarat lucah, di mana kebiasaannya majoriti pelaku sebelum ini didakwa dan dihukum. Malah, mereka sebelum ini kelihatan berdansa bersama di dalam satu majlis.

“Jikalau tiada dakwaan kerana menyokong kumpulan pengganas, apakah barangkali suspek ISIS dan Daesh yang telah dihukum terdahulu juga mungkin perlu dinilai semula?” soalnya.

Sebelum ini, 12 individu termasuk termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dikaitkan dengan LTTE.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk menubuhkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment