Tuesday, October 15, 2019

Adakah Kerajaan India Menyokong LTTE

Media India: Dr M rasis, tahanan kes LTTE untuk 'tutup' isu Zakir Naik
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menjadi bahan kritikan di India selepas mendakwa negara itu 'menceroboh dan menduduki' Kashmir pada ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu, sekali lagi menjadi sasaran media negara itu.

Kali ini, pemimpin berusia 94 tahun itu, diselar susulan tindakan polis negara ini yang menahan sekurang-kurangnya 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia,

Stesen televisyen Namnadu yang berpangkalan di negeri Tamil Nadu mendakwa Dr Mahathir cuba memecah belah kehidupan harmoni pelbagai bangsa di Malaysia.

Selain itu, Mahathir turut dibidas atas dakwaan menghina masyarakat India di Malaysia dengan kata-kata 'pariah' dan 'pendatang asing'.

"Sejak kebelakangan ini, perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dilihat suka mencetuskan keadaan tidak selesa antara pelbagai kaum di Malaysia.

"Beliau sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan penangkapan beberapa pemimpin politik yang dikaitkan dengan LTTE," lapor berita stesen itu sambil menambah bahawa Dr Mahathir adalah dalang di sebalik penahanan penyokong LTTE sedangkan kumpulan itu tidak lagi aktif sejak 2009.

Sejak 10 Oktober lalu, polis telah mencekup 12 individu, termasuk dua Adun DAP dalam operasi ke atas pihak yang terbabit dengan LTTE.

Menurut Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman suspek-suspek terbabit ditahan kerana disyaki mempromosi dan menghasut agar orang awam supaya menyokong kumpulan LTTE yang disenaraikan sebagai pengganas.

Ketua Penolong Pengarah E8, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka memiliki barangan yang berkaitan LTTE, serta menolong membiayai kegiatan kumpulan terbabit.

Ayob turut dilaporkan sebagai berkata, pihak polis Malaysia sedang memantau pemimpin-pemimpin India khususnya ketua kordinator Parti Naam Thamilar, S Seeman yang merupakan penyokong kuat LTTE serta perjuangan pembebasan Tamil Eelam.

Susulan kenyataan Ayob, itu, stesen televisyen di India itu mempersoalkan apakah polis negara ini sedia menyiasat pemimpin-pemipin Malaysia yang dirakamkan gambar mereka bersama pemimpin India yang menyokong perjuangan LTTE.

Memuat naik gambar Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama V Gobalakrishnan, seorang lagi pemimpin dari India yang merupakan penyokong kuat LTTE, Namnadu menyoal: "Apakah polis sedia siasat Anwar Ibrahim kerana bersama Vaiko (nama panggilan Gobalakrishnan)?"

Adalah dipercayai, gambar Anwar bersama Vaiko yang merupakan Ahli Rajya Sabha (Dewan Negara) di India dirakam ketika Anwar menghadiri kongres bahasa Tamil yang diadakan di Malaysia pada tahun 2014.

"Polis Malaysia perlu menjelaskan adakah selebriti filem seperti Kamal Hassan, Kushboo, Simbhu, R Sarathkumar, Ameer akan turut dilarang ke Malaysia kerana pernah mengambil gambar bersama Seeman," kata laporan itu.

Malah, menurut laporan itu bahawa penangkapan 12 individu berkenaan adalah bagi mengaburkan isu pendakwah Islam Dr Zakir Naik, kelahiran India yang kini adalah penduduk tetap di negara ini. - www.malaysiakini.com

1 comment:

  1. replica ralph lauren t shirts, combining elegant style and cutting-edge technology, a variety of styles of replica women polo ralph lauren, the pointer walks between your exclusive taste style.

    ReplyDelete