Wednesday, October 16, 2019

Adakah LTTE Begitu Istimewa Untuk Orang Ini....

Ramasamy nak saman silakan, cabar Firdaus Wong
BANGI – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mencabar P Ramasamy, sekiranya pemimpin DAP itu bersungguh mahu menyaman beliau, susulan perkongsiannya mengenai individu yang terbabit dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menerusi laman Facebook.

Beliau yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata, pihaknya sedia menanti surat saman daripada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan berharap akan bersua di mahkamah.

Katanya, di situ beliau akan mengambil peluang untuk mendedahkan semua bukti bahawa Ramasamy berkait rapat dengan kumpulan pengganas LTTE dan Transnational Government of Tamil Eelam (TGTE).

“Pada waktu itu, seluruh dunia akan lihat siapa yang berputar belit selama ini dan siapa fitnah siapa. Tak perlu fikir nak padamkan gambar dan video anda, saya dah simpan majoritinya jika bukan semua.

“Saya dan peguam saya menanti surat saman dari anda, Ramasamy… berani kerana benar, padam kerana salah,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pejabat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang telah membuat satu laporan polis terhadap satu laman Facebook bernama Pusat Kajian Ancaman Pengganas dan Misionari di Malaysia.

Pejabat itu mendakwa akaun Facebook itu memaparkan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap beberapa orang pemimpin kerajaan termasuk ke atas Ramasamy.

Dalam kenyataan itu, difahamkan dua laporan polis juga telah dibuat ke atas laman Facebook berkenaan dan juga pengendalinya, dan juga telah dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi tiada tindakan telah diambil.

Kenyataan itu juga menyebut, paparan-paparan berkenaan sering dikongsi oleh Firdaus Wong dengan mendakwa kononnya berniat untuk merosakkan nama Ramasamy, malah pemimpin berkenaan telah meminta peguamnya untuk menyaman pendakwah itu. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment