BANDAR SERI BEGAWAN: Jabatan Mufti Kerajaan (JMK), Jabatan Perdana Menteri (JPM), menerbitkan buku bertajuk ‘Raja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan’.
Pelita Brunei melaporkan, majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned di sini.
Terdahulu, Ketua Qismulhikmah, Awang Mohidin Mustapha dalam ucapan alu-aluannya berkata, buku ‘Raja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan’ itu adalah merupakan hasil tulisan Mufti Kerajaan.
Menurut beliau, bahan kandungan buku itu berasal daripada Khutbah Khas Aidilfitri Tahun 1442 Hijrah/2021 Masihi yang disediakan dan disampaikan sendiri oleh Mufti Kerajaan.
“Teks berkenaan telah disesuaikan sehingga menjadi sebuah buku yang diyakini amat berguna untuk pengetahuan, maklumat orang ramai khususnya rakyat dan penduduk negara ini.
“Di dalam buku ini turut dimuatkan dengan beberapa petikan titah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkaitan dengan ‘Vaksin Ketuhanan’ yang baginda pelopori penggunaannya,” jelasnya.
Dengan penerbitan buku ini jelasnya, telah dapat memperkaya khazanah dan koleksi keilmuan di negara ini. Antara yang disentuh di dalam buku tersebut adalah menamakan ‘musibah wabak’ sebagai tentera Allah.
Ia bukanlah satu istilah yang sengaja direka-reka tetapi adalah satu hakikat yang benar yang diungkap sendiri oleh Allah dalam al-Quran.
Ketika Covid-19 masih menghantui dunia, Brunei ditakdirkan satu-satunya negara ASEAN yang tidak mencatatkan lagi kes penularan tempatan melebihi masa setahun bermula 6 Mei 2020.
Selain daripada penduduk Brunei secara bersepadu mematuhi pimpinan memagar diri daripada jangkitan selain tidak mengabaikan prosedur operasi standard, Brunei juga secara khusus dan tersendiri menggunakan ‘Vaksin Ketuhanan’ yang dipelopori oleh raja.
“Apa itu vaksin ketuhanan? Itulah zikir, doa, al-Quran dan juga sedekah. Ini kerana, ia adalah perisai khusus yang dipegang dan digunakan oleh Brunei dan dengan mahunya raja sendiri selaku pelopor penggunaan vaksin ketuhanan tersebut,” tambah Mufti Kerajaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment