Apa lagi jika kritikan berbaur ungkapan tidak enak meremehkan usaha-usaha membendung masalah besar yang membelenggu rakyat? Itu belum dikira lagi kalau ada herdikan pedas yang spesifik dilontarkan terhadap individu tertentu, Perdana Menteri misalnya?
Abdul Rahman boleh sahaja mengalih tajuk ‘memperjelaskan’ apa yang diungkapkannya dipetik di luar konteks pada mesyuarat MT malam 7 Julai Rabu lalu. Seperti mana diperjelaskannya dalam Facebook miliknya dua hari selepas itu. Katanya, “usaha tangani Covid-19 tidak akan terhenti hanya bila seorang Perdana Menteri bertukar.”
Malangnya, audio suaranya sudah tersebar. Jelas apa yang mahu disampaikan.
Beliau menyatakan, UMNO akan rugi kalau kes Covid-19 turun dan ekonomi meningkat. Lalu Abdul Rahman ‘dituduh kononnya saya sanggup memperjudikan keselamatan rakyat demi politik UMNO.’
Abdul Rahman tidak salah. Adalah perkara biasa dalam mana-mana mesyuarat penting seperti MT UMNO, waima mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan PKR sekalipun, pemimpin-pemimpin parti bebas bercakap itu, ini apa sahaja. Termasuklah yang ‘kurang enak’ didengar. Itu rahsia parti. Kalau mesyuarat Kabinet, segala yang diperbincangkan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Maka tidak perlu sebenarnya untuk Abdul Rahman memperjelaskan: “Musuh UMNO suka potong ayat saya, persembahkan dalam konteks yang salah dan disalahertikan untuk mengelirukan keadaan. Banyak hujah saya yang lain tidak dilaporkan.”
GAGAL
Yang salah dalam isu penyebaran audio mesyuarat MT itu adalah sikap alpa unit komunikasi parti atau penerangan yang gagal memastikan kerahsiaan mesyuarat yang dibincangkan tidak terbongkar. Sudah tentu sukar untuk mengenal pasti gunting dalam lipatan parti. Atau siapa si hackers, namun setidak-tidaknya biro penerangan parti perlu peka di waktu-waktu kemuncak gelora politik hari ini segala tindak-tanduk UMNO jadi tumpuan lawan. Sehingga UMNO ‘batuk, berdehem’ pun jadi bahan berita.
Jadi, tak hairanlah jika audio Abdul Rahman sudah tersebar dan disediakan dengan ‘cantik’, akan menyusul pula audio pemimpin-pemimpin MT lain yang bercakap terus terang pada malam itu? Hanya timing untuk disebarkan.
Barangkali jawapan daripada ahli MT, ah! apa yang hendak ditakutkan, biarlah (tersebar)? Ya, tapi persepsi yang berlegar dalam kalangan rakyat nanti, “UMNO hanya mahu berebut kuasa, bukannya buat sesuatu yang menguntungkan rakyat”. Ingat! persepsi tak semestinya benar dan tak semestinya salah. Tetapi apa yang dipercayai oleh rakyat.
Sebab itu Utusan Malaysia difahamkan, ada ahli MT yang bercakap ‘sepatah dua’ sahaja dalam mesyuarat MT malam itu. Ada juga yang tidak hadir, walaupun ada alasan disertakan – mungkin kerana ‘malas nak fikir pasal politik waktu ini.’
Mengamati saingan dan cabaran getir dihadapi parti-parti politik tanah air hari ini, ada sejenis tumbuhan barangkali boleh dikaitkan dengan ‘simpang siur’ yang terjadi.
Antaranya dedalu – yang tidak tumbuh di tanah. Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas. Pohon rendang selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasit.
Dalam politik, adakah perlu dicantas ‘dedalu-dedalu’ ini? Cuma adakah dedalu ini akan membesar dan merimbun pula di pokok baharu yang rendang?
Dan biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara ‘natural’ akhirnya. Takkanlah mahu dibiarkan dedalu-dedalu ini bermaharajalela.
Pokok dedalu…ia menumpang
Menjadi parasit…ia jembalang
Dahan akan mati…ia perlu ditebang
Kalau terjumpa…ia perlu dibuang.
Pokok dedalu…jika dah dibuang,
Jangan ditanam semula…ia musuh utama malam dan siang.
No comments:
Post a Comment