GABUNGAN Reformis Malaysia (GRM) berharap akan wujud satu jalan keluar terhadap pelbagai kemelut yang melanda negara dan menyelamatkan Malaysia daripada malapetaka politik, ekonomi dan kesihatan.
Berdasarkan interaksi GRM yang berterusan bersama pelbagai lapisan rakyat, dirumuskan terdapat lima strategi teras yang perlu dilaksanakan bagi meredakan keresahan orang ramai yang kian memuncak.
Pertama, ekonomi negara perlu disusun semula mengikut keutamaan industri; berat, sederhana dan desa. Pelaburan asing berasaskan teknologi maklumat (IT) dan digital harus dibawa masuk dan diutamakan.
Kedua, sektor pekerjaan perlu disusun semula dan ditentukan industri utama negara berdasarkan kekuatan ilmu, kemahiran dan bakat penduduk Malaysia manakala pekerja dalam sektor bakal pupus harus diberi latihan semula secara besar-besaran.
Langkah segera yang perlu dibuat termasuk mendaftar semula pekerja asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merancang jadual pengurangan buruh asing.
Ketiga, sektor pendidikan perlu dirombak semula dari segi metodologi dan penghayatan falsafah supaya mampu menyahut cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Oleh itu, perlu ditubuhkan Jawatankuasa Penstrukturan Pendidikan.
Ilmu digital baharu harus diperkenalkan dalam kurikulum sejak sekolah rendah bagi meningkatkan kebolehsaingan pelajar Malaysia di peringkat global.
Kerjasama pendidikan dan industri, terutama dalam bidang industri tumpuan perlu juga dipertingkatkan.
Keempat, kerajaan harus memperkenalkan harga lantai (subsidi) untuk getah, padi, sawit dan koko bagi memastikan petani kecil tidak menderita akibat kejatuhan harga komoditi utama di peringkat global.
Negara juga perlu memberikan fokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di ladang dan harus diberi fokus kepada pengeluaran makanan seperti penternakan yang tidak memerlukan pekerja ramai.
Subsidi khas harus diberikan kepada sektor pertanian dan penternakan bagi menghidupkan ekonomi desa.
Kelima, makanan ruji dan beberapa keperluan asas rakyat Malaysia perlu diberikan subsidi bagi meringankan beban kos sara hidup.
Oleh: MUSTAFFA KAMIL AYUB
Penyelaras GRM
No comments:
Post a Comment