Gerakan Bendera Hitam bakal buat protes besar-besaran sebaik kes Covid-19 turun
PETALING JAYA: Gerakan Bendera Hitam, yang pada awalnya ditubuhkan untuk memprotes penangguhan pelaksanaan usia pengundi 18 tahun, kini mendapat sokongan kira-kira 200,000 orang, dengan dukungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan sivil, kata seorang ahlinya.
Seorang ahli Sekretariat Solidariti Rakyat yang tidak mahu dinamakan berkata, segelintir daripada mereka memutuskan untuk mencetuskan gerakan itu pada Mac.
“Hanya sebilangan kecil daripada kami yang memutuskan untuk memprotes di hadapan Parlimen berhubung kelewatan pelaksanaan Undi18,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, mereka berjuang berhabis-habisan selepas kerajaan menangguhkan sidang Parlimen.
“Itu adalah kesilapan besar pada kami. Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan semuanya harus melalui Dewan Rakyat. Namun, kerajaan menangguhkannya.”
Katanya, ketika kekecewaan rakyat memuncak berikutan lonjakan kes Covid-19 dan keadaan ekonomi yang buruk, mereka memulakan kempen di media sosial melalui tanda pagar #Lawan dan #KerajaanGagal untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
“Peningkatan kes bunuh diri dan masalah kesihatan mental akibat sekatan pergerakan yang berlarutan juga membimbangkan kami,” tambahnya.
Ini menyaksikan sokongan buat mereka bertambah dengan tanda pagar berkenaan digunakan lebih 200,000 kali di Twitter, katanya.
Gerakan itu tidak mempunyai sebarang kaitan politik, katanya, dan ahli-ahlinya terdiri daripada pelajar universiti dan golongan belia.
“Kini kami juga mendapat sokongan lebih 20 NGO dan persatuan sivil,” katanya, sambil menambah, gerakan ini semakin mendapat tempat dengan lebih ramai orang mengibarkan bendera hitam di kediaman mereka.
Gerakan ini memperjuangkan tiga tuntutan – agar perdana menteri meletak jawatan, Ahli Parlimen dibenarkan berbahas semasa sidang lima hari bermula 26 Julai, dan moratorium pinjaman automatik diberikan buat semua tanpa sebarang faedah.
Jika tuntutan-tuntutan ini tidak dipenuhi, katanya, mereka akan terus mengadakan tunjuk perasaan sama ada melalui media sosial atau perhimpunan kecil.
“Kami ada cukup orang untuk buat tunjuk perasaan besar-besaran, tetapi kami tidak mahu berbuat demikian buat masa ini. Kami hormati petugas barisan hadapan yang sedang memerangi wabak,” katanya.
Bagaimanapun, mereka akan terus memperhebat kempen melalui media sosial untuk memastikan tuntutan mereka dipenuhi.
Semalam, sekumpulan belia daripada Gerakan Bendera Hitam berkumpul di hadapan Dataran Merdeka untuk memprotes pengurusan wabak Covid-19 oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kira-kira 40 orang dilihat mengibarkan bendera hitam dan membawa sepanduk yang tertera #KeluarDanLawan sambil berdiri di hadapan beberapa patung “mayat”. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment