Friday, July 16, 2021

Malaysia Bakal Lahirkan Generasi Buta Sosial


PETALING JAYA: Malaysia berisiko menghadapi ‘generasi hilang’ apabila golongan muda kini hanya mengikuti pembelajaran secara dalam talian yang turut dikhuatiri membentuk generasi buta sosial pada masa hadapan.

Sehubungan itu, tokoh pendidikan, Tun Arshad Ayub berkata, asas pendidikan sebenar semestinya dibuat secara bersemuka.

Katanya, generasi muda pada waktu ini tidak akan merasai pergaulan sebenar dengan rakan-rakan selain tidak berinteraksi secara nyata dengan guru-guru.

Jelasnya, generasi ini juga tidak akan memahami bahasa tubuh selain tidak berpeluang merasai pelbagai perasaan berkaitan pembelajaran melibatkan emosi seperti cemerlang dalam peperiksaan, kalah menang dalam pertandingan dan sebagainya.

“Ini kerana dengan adanya pendidikan bersemuka, kehidupan seseorang akan menjadi lebih sempurna dan mereka ini tidak menuju ke arah generasi buta sosial.

“Pendidikan ini bukan sahaja dapat ilmu, tapi juga pergaulan, hubungan, pangkat dan darjat semua ada relatif dengan pendidikan. Maknanya, bila terencat pendidikan, terencatlah semua perkara yang disebutkan. Hidup Ini memerlukan pergaulan, barulah kita banyak belajar pada perkara lain juga.

“Kalau dulu, anak-anak boleh belajar di sekolah sambil bermain dan bergaduh dengan rakan-rakan, tetapi sekarang, bukan sahaja belajar secara dalam talian, bergaduh pun atas talian sahaja menggunakan permainan video dalam internet sahaja. Ini akan menjadi kelembapan pada generasi hari ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Malaysia memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kira-kira sembilan bulan lalu bagi mengurangkan jangkitan Covid-19 kepada para pelajar.

Tambah Arshad, semua pihak tidak mempunyai pilihan melainkan perlu memberi tumpuan dari sesi pembelajaran norma baharu berkenaan.

Katanya, meskipun ia tidak memberi keberkesanan seratus peratus kepada kualiti pendidikan, namun, ia boleh memberi kelebihan kepada setiap pelajar apabila memulakan kembali sesi persekolahaan selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pendidikan ini pada saya mesti dibuat secara bersemuka. Bila kita membuat soal jawab itu, ada ‘body language’, bila buat secara PdPR ini memang ramai yang tercicir apatah lagi untuk mereka yang berumur lima dan enam tahun. Sekarang ini, ‘feel’ pun tidak ada apabila program graduasi, saya hanya menunjukkan sijil di dalam talian kepada setiap graduan, itu sahaja.

“Tetapi apa lagi pilihan kita ada? Cuma saya lihat bila sekolah kembali dibuka, mereka akan cekap dari segi pembelajaran secara atas talian dan secara bersemuka. Mungkin kepandaian itu lebih terserlah berbanding pelajar sebelum menghadapi pandemik Covid-19 ini. Cabaran itu berbeza,” ujarnya lagi. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment