Friday, December 11, 2020

Mengakui Kekhilafan....

Demi jaga air muka UMNO, PAS dan Bersatu terima Saarani sebagai MB Perak
Umno, Bersatu dan PAS akhirnya bersetuju mencalonkan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad sebagai calon menteri besar yang baru.

Perkara itu mengikut sumber adalah demi menjaga air muka UMNO dan kestabilan PN. Kenyataan ini telah dimuat naik oleh SU MN bagi siaran media untuk kenyataan bersama ketiga-tiga parti itu.

Keputusan berkenaan sekaligus menamatkan kemelut krisis Perak serta mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Harap selepas ini UMNO jangan buat keputusan diluar muafakat samada MN atau PN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut memohon maaf atas “kekhilafan” yang berlaku sehingga memaksa timbalan presiden PPBM Ahmad Faisal Azumu meletak jawatan sebagai menteri besar minggu lalu.

Pernyataan maaf Zahid itu dicatat dalam kenyataan bersama Umno-Barisan Nasional, PPBM dan PAS yang ditandatangani oleh setiausaha agung ketiga-tiga parti itu.

Menurut kenyataan itu, Zahid yang juga pengerusi BN, memohon maaf dalam perjumpaan dengan presiden PPBM Muhyiddin Yassin dan presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini.

“Pengerusi BN telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN Perak atas kekhilafan yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, Umno-BN, PPBM dan PAS juga mencapai persetujuan mengenai pelantikan jawatan-jawatan lain dalam pembentukan kerajaan negeri Perikatan Nasional baharu yang diterajui oleh Umno.

“Atas semangat permuafakatan PN, ketiga-tiga parti bersetuju mencadangkan Saarani Mohammad sebagai menteri besar yang baharu untuk diperkenankan oleh Sultan Perak,” menurut kenyataan itu.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan PN Perak dan juga diperingkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu. - www.mindarakyat.net

No comments:

Post a Comment