Dalam Tempoh Seminggu, 2 Kali Umno Mengamalkannya
1. Setelah kecundang dalam PRU14, UMNO agak bungkam untuk beberapa ketika. Dalam tempoh itu jugalah DAP buat onar mengganggu ketuanan bangsa dan institusi Islam. Tokoh-tokoh utama UMNO dihadapkan ke muka pengadilan atas kes-kes rasuah dan penyelewengan. Dan UMNO bercempera lagi apabila beberapa orang wakil rakyatnya melompat ke BERSATU.2. UMNO umpama orang yang menderitai sakit tulang belakang, slip disc. Tulang belakangnya bermasalah dek onar dan nanar. Cara berdiri dan berjalannya nampak goyah. Ketika itulah datang teman dari jauh membantunya demi agama dan bangsa. Itulah teman, itulah saudara yang panjang dalam persengketaan. Dilupakan segala sejarah hitam. Maka terbentuklah Muafakat Nasional (MN) yang ada sekarang.
3. Sejak itu UMNO beransur-ansur boleh berjalan seperti biasa walaupun tongkat masih menguatkan langkahannya. Gembiranya UMNO tak terkira apabila menang strike dalam beberapa siri PRK.
Dendangan 'terima kasih PAS, terima kasih PAS' berkumandang mengalahkan kesyahduan suara azan. Merawang ke seluruh pelosok alam. PAS terkesima, hanya mampu mengalirkan airmatanya.
Melihatkan saudaranya telah mengerti tentang persaudaraan.
4. Kini UMNO merasakan dirinya telah pulih sepenuhnya. Berjalan pun dah mula melupakan tongkat. Kira bicara pun ada geger dan gegarnya. Harum bumi yang dicium kini ditapaki dengan gahnya. Dalam tempoh seminggu ini, telah dua kali UMNO mempersetankan tongkatnya. Tongkat dirasakan mengganggu kekuatannya melangkah. Tongkat hanya menunjukkan dirinya masih lemah. UMNO mesti kelihatan kuat dan gagah.
5. Justeru, pada 4 Disember, diusulkan undi percaya tanpa dirujuki teman dan saudaranya. Dan kedua pada 8 Disember sekali lagi tingkah yang sama diamalkan ketika menyembah nama MB kepada Sultan. Itupun dalam keadaan tak cukup sokongan. Sudah sombong. Dalam kedua-dua kes, sahabat dalam MN/PN dikesampingkan. Lebih menyedihkan, ada hati pula dengan DAP/PH dibuat perkiraan.
6. Memetik puisi Allahyarham Datuk Usman Awang: Berburu ke padang datar. Dapat rusa berbelang kaki. Berguru kepalang ajar. Bagai bunga kembang tak jadi.
7. Itulah UMNO, abang dalam persaudaraan. Sesat di hujung jalan. Adik menanti di pangkal jalan.
#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam
Oleh : BayangDiAir
No comments:
Post a Comment