Friday, December 18, 2020

Kerakyatan Diberi Tanpa Asas Melayu

SEPATUTNYA kerakyatan kepada kaum bukan Melayu diberikan setelah setiap seorangnya memperlihat penjiwaan budaya Melayu yang mukhlis.
MENERIMA bahasa Melayu sebagai identiti nasional, tetapi menolak tulisan Jawinya bukan sahaja manifestasi pemikiran salah. Ia ikut memperlihat penaakulan terseleweng pada pihak yang membantah penggunaannya. Ini kerana selain tiada pertalian munasabah, penghujahannya adalah tidak tepat.

Mana-mana bahasa sekali pun termasuklah bahasa Melayu, pertama-tamanya ialah sistem komunikasi yang dikendalikan melalui bentuk lisan, tulisan serta pergerakan badan. Dalam konteks tulisan, bahasa Melayu mempunyai dua skrip, iaitu Rumi dan Jawi untuk mewakilinya melalui pelbagai cara. Antaranya tulisan tangan, kaligrafi, mesin taip pada masa lampau dan kini pemproses perkataan pada peranti digital selain percetakan bahan bacaan.

Sebenarnya, bahasa Melayu yang didakwa diterima itu juga didapati tidak pun diendahkan seadanya. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila ia hanya mahu dipelajari atas orientasi instrumental, yakni untuk memenuhi syarat yang ditetapkan. Ia yang sepatutnya juga dipelajari atas orientasi integratif, iaitu untuk menjadi ahli komuniti bahasa Melayu yang diterajui kaum Melayu, secara umumnya cuba dielakkan oleh kaum bukan Melayu.

Persoalannya, mengapakah hal sedemikian berlaku setelah sekian lama kita membina negara merdeka lagi berdaulat ini? Sehubungan itu, tidak salah jika dikatakan kita telah gagal dalam proses pembentukan negara bangsa untuk memiliki identiti nasional. Ini disebabkan kerakyatan dalam kalangan bukan Melayu tidak berkonsepkan budaya, sudah tentu yang Melayu sifatnya.

Ia hanya bersifat perundangan semata-mata dan boleh dirundingi pula. Ini dapat dilihat apabila kerakyatan yang diberikan kepada bukan Melayu sewaktu kemerdekaan, adalah pertukaran untuk memperoleh kedudukan istimewa bagi kaum Melayu.

Sesungguhnya, kesepakatan begini hanya baik untuk memenuhi matlamat jangka pendek bagi memperoleh kemerdekaan. Ia langsung tidak menguntungkan dari segi jangka panjang dalam konteks pendukungan identiti nasional yang dipersetujui bersama dan terdiri daripada simbol dan proses sosiobudaya Melayu.

Sepatutnya kerakyatan kepada bukan Melayu diberikan setelah setiap seorangnya memperlihat penjiwaan budaya Melayu yang mukhlis. Antara yang terpenting ialah cekap berbahasa Melayu.

Dengan ini, kerakyatan itu bukan sahaja mempunyai asas budaya, ia selari dengan pemerintahan Melayu sebelum penjajahan dan juga semasa penjajahan kerana negara ini masih diperintah raja Melayu dari satu segi, apatah lagi selepas penjajahan.

CAUVINIS
Kerakyatan sedemikian yang berasaskan budaya Melayu langsung tidak bersifat cauvinis, malah amat munasabah sebab bukan Melayu tidak merupakan penduduk asal dan memilih untuk mendiami negara ini. Ini juga selari dengan syarat kecekapan berbahasa negara di mana seseorang itu ingin diami sebagai rakyat.

Inilah prinsip lumrah yang diguna pakai untuk memperoleh kerakyatan di kebanyakan negara moden. Secara sejagatnya juga, kecekapan dalam bahasa negara adalah sejenis pengenalan penting seseorang rakyat dengan negara tumpah darahnya.

Jika syarat kecekapan berbahasa Melayu dilaksanakan dengan betul-betul pada masa dahulu, kini kita bukan sahaja akan mempunyai rakyat yang fasih berbahasa Melayu, kita juga akan mempunyai rakyat yang kesetiaannya tidak merupakan persoalan langsung. Ini kerana terdapat hubung kait pasti lagi sahih antara patriotisme dan bahasa negara!

Sebaliknya, kita melaksanakan dasar kerakyatan yang cukup liberal dalam soal ini. Untuk itu, pada hari ini kita mendapati berleluasanya bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu dan terus tidak mahu mengidentifikasikan diri mereka dengan negara ini melalui pertalian budaya Melayu.

Malangnya ketidakcekapan berbahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu adalah fenomena sosial yang bukan sahaja amat ketara keadaannya, ia juga didapati mempengaruhi kelakuan dan pemikiran mereka sehingga boleh dianggap sebagai tiada identiti nasional.

Natijahnya, kita amat memerlukan pendukungan kerakyatan dan identiti nasional berasaskan budaya Melayu. Sepatutnya konsep kerakyatan dan identiti nasional beginilah yang ditegaskan semasa kita mula membina negara dan sepanjang membentuk negara bangsa.

Sehubungan itu, harus diakui kita telah gagal dalam merumuskan konsep kerakyatan dan kenegaraan sedemikian sebagai asas kukuh kepada negara yang rakyatnya mempunyai identiti nasional.

LIBERAL
Dasar kerakyatan liberal tidak dapat disangkal lagi sebagai punca utama mengapa bukan Melayu rata-ratanya bukan sahaja tidak fasih berbahasa Melayu selaku bahasa negara. Ia juga merupakan sebab penolakan mereka terhadap apa-apa jua yang bersifat Melayu. Ini kerana kerakyatan yang diperolehi dahulu dan diwarisi kini tidak dibina atas asas budaya Melayu!

Tidak dapat dinafikan, tiadanya konsep nyata tentang identiti nasional yang perlu dibina atas asas budaya Melayu adalah penghalang terbesar kepada perpaduan negara. Sebenarnya tidak sukar untuk melakukannya kerana negara ini yang penduduk majoriti dan dominan Melayu adalah negara tuan rumah kepada bukan Melayu.

Dengan ini, mereka yang bukan asal wajib insaf untuk memperlihat emosi pengidentifikasian yang positif terhadap budaya kaum asal dan bukan sesekali sebaliknya.

Oleh:  PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong 

No comments:

Post a Comment