Sunday, December 6, 2020

Mampukah Anak Muda Warisi Negara?

Cadangan Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada 2018 wajar disambut baik oleh semua pihak. Hal ini kerana PLKN yang diperkenalkan pada 2004 telah banyak memberi kesan positif terhadap usaha untuk memperkukuhkan perpaduan dan patriotisme serta pembentukan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Hakikatnya pada hari ini, isu jati diri, perpaduan kaum dan semangat patriotisme terus menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat kita. Antara isu yang diperdebatkan mutakhir ini ialah sejauh mana tahap perpaduan dan patriotisme dimiliki oleh anak muda yang bakal menjadi pewaris negara ini?

Rakyat juga seringkali tertanya-tanya, apakah generasi muda yang ada pada hari ini mampu untuk mempertahankan kemerdekaan yang kita kecapi, mempertahankan kontrak sosial yang dimeterai generasi terdahulu, mempertahankan jambatan perpaduan yang dibina sekian lama serta menjaga dan memelihara keamanan dan keharmonian kaum yang kita banggakan selama ini?

Ini menyebabkan masyarakat mula risau apa akan jadi kepada perpaduan kaum di negara kita suatu hari kelak.

Justeru, kita harap kerajaaan akan menjenamakan semula PLKN agar menepati keperluan serta kehendak semasa, juga masa hadapan golongan belia dan negara. Apa yang kita laksanakan sejak 2004 adalah mengikut keperluan pada ketika itu. Namun, saya percaya kini kita sedang melalui suatu zaman yang lebih mencabar dan kompleks. Oleh itu, kerajaan perlu melihat secara menyeluruh segala kelemahan mahupun kekurangan yang wujud sebelum ini bagi memastikan PLKN versi baharu ini lebih mantap dan holistik.

Dalam konteks ini, saya percaya kerajaan bakal berhadapan beberapa cabaran besar. Antaranya, cakap-cakap sesetengah anggota masyarakat dan ahli politik bahawa program ini bakal menelan kos operasi yang besar, tiada keperluan buat masa sekarang serta bukan suatu keutamaan dalam situasi kita sedang berperang dengan ancaman Covid-19.

TELUS

Oleh itu, PLKN versi baharu ini perlu dijenamakan semula agar boleh memulakan operasi dengan peruntukan kewangan yang paling minimum serta perlu membuktikan tidak akan berlaku sebarang elemen pembaziran. Malah, isu-isu yang pernah dibangkitkan oleh pentadbiran terdahulu seperti amalan kronisme dalam pemberian kontrak di kem latihan juga perlu dilihat sejuah mana kebenarannya agar kita boleh memastikan perkara seumpama itu tidak berlaku lagi jika ia benar. Ringkasnya, buktikan kepada rakyat dengan kos yang minimum dan pengurusan yang telus, PLKN versi ini mampu memberikan impak signifikan.

Cabaran berikutnya ialah pengisian modul latihan yang akan menjadi penentu kejayaan PLKN. Kerajaan perlu membuktikan memang ada kewajaran dan keperluan untuk melaksanakan semula PLKN melalui pembentukan kurikulum modul yang lebih mantap dan efektif. Misalnya, modul yang bakal dilaksanakan perlu fokus kepada aspek kenegaraan, patriotisme, perpaduan, jati diri, ketahanan diri, survival kehidupan serta elemen kesukarelawanan.

Sebahagian daripada modul ini telah pun dilaksanakan dalam PLKN sebelum ini. Jadi, eloklah dibuat pascanilai (post mortem) secara menyeluruh bagi mengkaji keberkesanan pelaksanaan modul-modul tersebut di samping melihat keperluan untuk menambah modul baharu. Untuk itu, dicadangkan kementerian membentuk sebuah jawatankuasa modul membabitkan kelompok pakar dalam pelbagai bidang agar dapat mengkaji modul terdahulu seterusnya dapat mencadangkan penambahbaikan dan penambahan modul baharu yang bersesuaian. Alumni atau bekas peserta PLKN juga wajar dilibatkan untuk memberikan maklum balas lebih tepat.

Di samping itu, bagi melaksanakan setiap modul ini, kita memerlukan barisan jurulatih berkaliber dan mampu menterjemahkan hasrat serta objektif utama. Untuk itu, kerajaan perlu memilih dan melantik individu-individu dari pelbagai latar belakang kepakaran, agama serta bangsa agar mereka dapat memikul amanah dan tanggungjawab yang besar ini sebaik mungkin. Ingat, kejayaan atau kegagalan program ini banyak bergantung kepada intipati modul serta jurulatih yang melaksanakannya dengan efisien.

Dalam pada itu, kelompok peserta yang bakal menyertai PLKN juga wajar diberi perhatian serius. Misalnya, bagi memastikan objektif PLKN tercapai secara menyeluruh, kita berharap agar kerajaan mewajibkan semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja berusia 18 tahun menyertai program ini. Jangan ada sebarang tolak ansur atau pengecualian dalam soal ini jika kita mahu membentuk sebuah generasi masa hadapan yang bersatu padu dan sanggup berkorban untuk negara. Malah, tempoh masa program juga perlu diteliti semula dan ditetapkan pada kadar bersesuaian supaya pelaksanaan modul dapat memberikan kesan dan impak yang dihasratkan.

Secara prinsipnya, saya percaya majoriti anggota masyarakat akan menyokong penuh cadangan melaksanakan semula PLKN jika kerajaan mampu menjenamakannya menjadi versi baharu, sekali gus membuktikan ia sangat diperlukan untuk mendidik dan membentuk generasi masa depan negara ini.

Semoga PLKN versi baharu dapat terus memainkan peranan sebagai wahana penting untuk memperkukuh perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi pewaris masa depan negara ini mengikut cara dan acuan kita sendiri.

No comments:

Post a Comment