Tuesday, December 22, 2020

Malaysia Boleh...!

Northern Shipyard bina bot Tentera Laut Nigeria
LANGKAWI: Syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. (Northern Shipyard) berjaya membina empat bot peronda pesisir pantai berkelajuan tinggi milik Tentera Laut Nigeria bernilai kira-kira RM32 juta.

Pengurus Teknikal Northern Shipyard, Masmawi Ishak berkata, bot peronda itu dibina selepas mendapat tempahan daripada sebuah syarikat dari Singapura, Suncraft International Pte. Ltd. dan Tentera Laut Nigeria.

Katanya, empat bot peronda itu yang bernilai antara RM6 juta hingga RM10 juta sebuah, mengambil masa kira-kira 10 bulan untuk di­siapkan selepas memulakan pembinaan pada Februari lalu.

“Lebih membanggakan, pembinaan bot peronda itu menggunakan tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bot Peronda Pesisir Pantai Tentera Laut Nigeria di Royal Langkawi Yatch Club di sini semalam.

Bot peronda itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi dan disaksikan Pengarah Urusan Northern Shipyard, Ooi Cheng Choon.

Northern Shipyard merupakan anak syarikat Langkawi Ferry Services Sdn. Bhd. yang menjalankan operasi feri bagi laluan Pulau Langkawi ke Kuala Kedah, Kuala Perlis, Pulau Pinang, Satun dan Koh Lipe, Thailand.

Masmawi memberitahu, bot berkenaan memenuhi standard antarabangsa seperti kalis peluru, berkelajuan tinggi sehingga mencatat kelajuan 55 knot sejam serta memiliki peralatan canggih.

“Bot sepanjang 17 meter dan lebar 4.3 meter ini menggunakan daya penggerak enjin dari Jerman berkapasiti 1200 kuasa kuda untuk dua unit enjin, sistem penolakan permukaan air dari Switzerland serta reka bentuk dari Itali,” katanya.

Menurut beliau, ia merupakan kali pertama syarikat terlibat dalam pembinaan bot tentera dari luar negara.

“Bot ini dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria pada Januari tahun hadapan dengan menggunakan kapal kargo,” ujarnya.

Tambah Masmawi, syarikat berharap pihak kerajaan dapat memberi peluang kepada mereka untuk menawarkan kepakaran dalam membuat pemasangan bot bagi agensi keselamatan negara.

“Kos bagi pembelian bot juga mungkin lebih murah kerana kita menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya. – UTUSAN

.........................................................................................................

RM6.083 Billion Sudah Dibayar Tapi Tiada Kapal LCS Siap Bina
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil bekas menteri pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, turut akan dipanggil pada prosiding jawatankuasa itu adalah bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

“Pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, dan tidak ada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Wong berkata isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), diterbitkan pada 2019.

Jelasnya PAC Parlimen juga akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak bulan depan.

“PAC Parlimen memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda LCS oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.

“Kegagalan penyiapan kapal LCS amat serius, kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,”

Wong berkata PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah diputuskan oleh kerajaan secepat mungkin, dan berikutan itu, adalah penting bagi PAC Parlimen untuk menyegerakan prosiding isu itu dan membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata setakat ini empat mesyuarat dan prosiding dengan beberapa saksi telah dipanggil, antaranya Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Pengerusi JKSTUPKK Tan Sri Ambrin Buang.

“PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan PAC berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat, dalam sidang Parlimen pada Mac 2021,”

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment