Tuesday, February 21, 2023

Pengiktirafan UEC Bukan Keutamaan – Menteri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak melihat pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) sebagai satu keutamaan.

“Sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) yang dilaksanakan di sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan KPM tidak melihat isu berbangkit tentang perkara itu sebagai keutamaan,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menjawab kepada Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang (Marang).

Sebelumnya, beliau diajukan pertanyaan oleh Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang berhubung apakah pendirian Kementerian terhadap pengiktirafan UEC serta permohonan untuk menginstitusikan peruntukan kepada SMPC.

Menurut Fadhlina, pendirian tersebut adalah berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] yang sentiasa menjadi pegangan KPM.

Menyentuh kepada isu peruntukan, beliau berkata KPM hanya menyalurkan peruntukan kepada kategori institusi pendidikan Kerajaan dan bantuan Kerajaan sahaja.

“Dalam konteks ini, SMPC bukan sebahagian daripada institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16 Akta 550,” jelas beliau dengan lebih terperinci.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa pihak KPM tiada obligasi untuk memperuntukkan mahupun menginstitusikan sebarang sumbangan modal atau sumbangan bantuan penuh kepada SMPC.

Terdahulu, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) pernah meminta agar perkara mengenai pengiktirafan UEC dibincangkan secara rasional memandangkan ia melibatkan isu akademik. - samudera.my

No comments:

Post a Comment