Tuesday, February 21, 2023

Adakah Cinta Kepada Islam Jadi Kesalahan Zaman Malaysia Madani?

Polis mengesahkan perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang turut membawa replika senjata seperti pedang dan lembing adalah salah satu daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata replika dan warisan Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin turut berterima masih kepada Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa yang mengesahkan gambar yang tular di media sosial sebenarnya acara perarakan yang dipertandingkan.

Beliau berkata, kenyataan itu sekali gus menjawab tohmahan jahat seorang pemimpin muda sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) di Kelantan yang mengkaitkan Cosplay Himpunan ‘HIMPIT’ di Terengganu sebagai unsur yang boleh disiasat mengikut Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 dan juga ada yang mencadangkan ia dilihat dalam aspek ‘anti keganasan’.

“PAS menegaskan bahawa himpunan HIMPIT di Terengganu adalah satu Manifestasi Semangat Sayang Kepada Perjuangan Para Sahabat dan cinta kepada Islam dengan pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam di zaman para sahabat Rasullullah SAW.

“Apakah cinta kepada Islam agama sejahtera itu sudah salah di zaman pemerintahan Malaysia Madani?

“Kami melihat isu ini sengaja dilemparkan kepada PAS dalam usaha memburuk-burukkan imej parti ini selain membawa lagi satu dogma Islamofobia dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak khususnya pemimpin kerajaan PH-Barisan Nasional (PH-BN) menyerang PAS setelah gambar perarakan itu ditularkan media sosial dan media massa, sehingga Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, membuat laporan polis.

Raja Kamarul Bahrin berkata tindakan kumpulan itu disifatkan sebagai ekstrem dan boleh menggugat keharmonian antara kaum bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara.

“Acara perarakan di jalanan secara terbuka dengan memakai pakaian perang dengan membawa peralatan berbentuk seperti pedang dan lembing adalah satu bentuk intimidasi yang boleh menimbulkan kerisauan orang ramai.

“Kami lihat Pas kini semakin berani menunjukkan sikap ekstrem mereka secara terangan-terangan tanpa memikirkan kesan terhadap perpaduan kaum di negara ini,” katanya.

Malah, memetik laporan Mkini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerajaan PH-BN, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata perarakan dengan menggunakan simbol pahlawan Islam dengan senjata beri gambaran tidak baik kepada agama dan negara.

“Perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat.

“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara,” kata Mohd Na’im. - agendadaily.com

No comments:

Post a Comment