Wednesday, February 15, 2023

Kenapa Biar Kenyataan Biadab Terhadap Melayu TanpaTtindakan Susulan?

SESIAPA yang selalu berurusan dengan para pegawai atau kerani kaunter di mana-mana agensi atau jabatan kerajaan atau institusi-institusi yang berkaitan perkhidmatan awam pasti akan bersemuka dengan individu-individu terlatih yang lazimnya akan memberi layanan yang baik dan memuaskan.

Bukan itu sahaja, kelebihan kakitangan ini (yang majoriti besarnya adalah orang-orang Melayu) terletak pada sifat mereka yang mudah mesra, ramah tamah dan sangat penyabar.

Pada pandangan saya, sifat-sifat di atas sangat berkait rapat dengan budaya Melayu yang diperindahkan lagi dengan ajaran-ajaran Islam yang sangat menitik beratkan aspek akhlak, adab dan budi pekerti. Tidak dapat dinafikan terdapat satu hubungkait yang rapat atara agama dan akhlak. Dan orang-orang Melayu berjaya mencerminkan gabungan antara kedua-duanya dengan cemerlang.

Jadi, kita tidak faham kenapa perkhidmatan awam sengaja menjadi sasaran oleh ahli-ahli politik yang rasis dan bernafsu besar serta berniat mencetuskan perbalahan dan kemarahan orangramai terhadap golongan terbesar dan majoriti ini dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan begitu cemerlang.

Adakah kerana bidang ini kononnya didominasi atau dimonopoli oleh kaum-kaum tertentu dan justeru menjadi tidak adil dan berat sebelah?

Kenapa pihak-pihak yang rakus sangat dengan perkhidmatan awam ini tidak menyentuh sama tentang minat yang sangat rendah dari etnik dan kaum bukan-Melayu terhadap peluang-peluang kerjaya di dalam pasukan keselamatan – polis, tentera dan pasukan penguatkuasa?
Kenapa masih ramai lagi rakyat Malaysia bukan-Melayu enggan berkhidmat dengan pasukan beruniform, yang juga merupakan salah satu komponen dalam perkhidmatan awam yang sangat penting?

Kerana tidak suka mengikut arahan orang lain kah?
Atau kerana pantang tok nenek kah?
Atau takut hilang anggota badan?
Atau gaji terlalu rendah?

Cuba buat kajian dengan merujuk kepada data-data dari Jabatan Statistik Malaysia mengenai permohonan untuk mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam. Kaum manakah yang paling ramai membuat permohonan?

Semua orang juga maklum bahawa kakitangan perkhidmatan awam juga selalu menjadi sasaran cemuhan, makian, umpatan, kemarahan, aduan (yang kerap juga diviralkan melalui media sosial) daripada masyarakat awam apabila tidak mendapat layanan atau respons segera dan memuaskan atau tidak mendapat apa yang diingini ketika berurusan di kaunter-kaunter.

Kita hanya boleh bayangkan tahap kesabaran dan kawalan emosi diri pada kakitangan apabila berhadapan dengan 1001 karenah orang ramai yang datang berurusan.

Para kakitangan awam juga terikat dengan Pekeliling Perkhidmatan yang tidak membenarkan mereka ‘menjawab balik’ segala tohmahan, caci maki dan cemuhan melalui media sosial, lebih-lebih lagi yang paling ramai menjadi mangsa hemburan kata-kata tidak puashati orang ramai adalah kaum wanita.
Namun, apa yang kita akan saksikan ialah sikap professional mereka dalam “menyembunyikan” hati dan perasaan yang terhiris dan terluka sambil tetap melayan para pelanggan dalam senyuman dan berbudi bahasa.

Inilah salah satu keunikan yang terdapat pada bangsa Melayu dan menjadi sebutan juga negara-negara yang terdapat ramai para pelajar Melayu yang menyambng pelajaran, bahawa orang-orang Melayu sangat terkenal dengan kehalusan budibahasa dan akhlak yang terpuji. Keistimewaan ini diperkuatkan oleh ajaran-ajaran agama, sepertimana yang disebut sebelum ini.

Bayangkan kalau kita berurusan di mana-mana jabatan atau agensi perkhidmatan awam yang kakitangannya terdiri dari mereka yang kasar bahasa, bersikap acuh tak acuh, perengus dan malas untuk melayan dan sangat fakir dengan senyuman!

Alasan-alasan kononnya untuk menyamaratakan peluang-peluang pekerjaan atau menghasilkan keseimbangan ekonomi di antara rakyat berbilang kaum adalah satu alasan yang sangat dangkal. Dan apabila tuduhan tersebut menyebut nama bangsa Melayu secara khusus, ia sudah bertukar menjadi rasis dan sangat tidak bertanggungjawab.

Kerajaan dan pihak berkuasa tidak sepatutnya membiarkan kenyataan-kenyataan biadab seperti ini diungkapkan begitu sahaja tanpa tindakan susulan yang sewajarnya. Keengganan parti politik yang dianggotai oleh individu yang berkaitan untuk mengecam dan menjauhkan diri dari kenyataan rasis pemimpin mereka sendiri sudah boleh dijangka.

Kita juga tertanya-tanya kenapa sekarang isu ini dibangkitkan oleh pemimpin politik yang partinya sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan? Adakah ini kesempatan terbaik bagi kamu untuk memaksakan kehendak-kehendak politik kamu supaya dikabulkan oleh pemimpin negara?

Dan kita juga hairan kenapa pemimpin-pemimpin Melayu dari parti berkenaan dan juga dari parti-parti komponen kerajaan lain bagaikan terkunci mulut masing-masing dari menegur dan mengecam kenyataan rasis tersebut?

Apakah yang boleh diharapkan dari mereka semua ini apabila isu yang sangat berkaitan dengan maruah, integriti dan nama baik anggota-anggota perkhidmatan awam yang majoritinya adalah orang-orang Melayu ditohmahkan begitu rupa?

Kalau kamu semua berdiam diri, ini bermakna kamu semua turut bersubahat dengan pihak yang membuat kenyataan tersebut!

Barangkali kamu semua lupa bahawa sebahagian besar para pengundi terdiri dari ramai rakyat Malaysia yang berkerja di dalam sektor perkhidmatan awam. Jangan nanti menjelang pilihan raya baru kamu semua terhegeh-hegeh nak mendakwa bahawa kamu semua adalah hero-hero yang menjuarai kepentingan Melayu.

PRU15 hanyalah satu mukadimah dan penunjuk awal kepada sentimen para pengundi Melayu beragama Islam.

Kakitangan awam tidak memperlihatkan keterlibatan mereka dalam politik kepartian tetapi mereka pastinya tahu berpolitik!

Oleh: Mohd Lutfi Abdul Khalid 

No comments:

Post a Comment