Zahid Hamidi dan konco-konconya sudah semakin teruk. Segala-galanya ada pada mereka. Dendam kesumat, benci, marah, dan takut bersarang dalam hati sanubari, bak ahli politik yang sudah hilang arah pedoman untuk memandu dan memulihkan parti keramat itu.
Mereka telah meletakkan diri sebagai ahli politik paling hina dalam sejarah negara ini, hanya kerana inginkan kuasa sehingga sanggup menjual maruah demi melepaskan diri daripada kes mahkamah, dan mengetepikan masalah rakyat susulan pandemik Covid-19 sekarang ini.
Ketika usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara sekarang ini sudah dilihat berada di ambang kejayaan untuk menyekat penularan wabak Covid-19, ketika inilah Zahid dan konco-konconya menggoyang tiang politik negara supaya tidak aman.
Mereka mahu mengkucar-kacirkan politik supaya pentadbiran negara tidak berjalan dengan baik, sekali gus usaha membantu rakyat dan menangani pandemik Covid-19 ini akan gagal.
Demikianlah permainan UMNO sekarang ini yang sudah lupa kepada asal usul penubuhannya demi rakyat. Dengan pimpinan yang rakus seperti Zahid dan konco-konconya ini, UMNO sudah hilang pertimbangan, bukan lagi sebuah parti yang harus dihormati.
Malah Zahid dan konco-konconya juga sekarang membuka pintu kepada parti cauvinis DAP untuk kembali berkuasa. Walaupun Zahid dan konco-konconya tidak menyatakan secara terbuka menyokong DAP/Pakatan Harapan (PH) – kerana bimbang dikecam rakyat – sebenarnya itulah yang mereka lakukan secara diam-diam.
Mereka gusar apabila hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan meramalkan jangkitan harian Covid-19 di negara ini hanya akan tinggal lebih kurang 1,000 kes sehari pada Oktober, dan akan terus turun setelah majoriti penduduk Malaysia selesai divaksin.
Pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga berjalan lancar dengan purata pemberian lebih 500,000 dos suntikan sehari. Malah program imunisasi kita sekarang ini juga lebih pantas daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Melihat daripada kejayaan kerajaan PN dalam menangani kes Covid-19 selain terus membantu rakyat yang didalam kesusahan, Zahid dan konco-konconya mula tidak senang duduk, lalu merancang lagi usaha jahat untuk merosakkan rancangan dan bantuan kepada rakyat.
Itulah matlamat mereka mengumumkan buat kali ketiga penarikan balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kononnya atas kehendak rakyat, sebaliknya mereka tidak tahu rakyat sudah lama membenci mereka.
Rakyat bukan tidak tahu tingkah laku beberapa pemimpin UMNO apabila berkuasa menjadi kerajaan sebelum ini, tapi ketika itu tiada siapa mampu melakukan apa-apa. Kecuali setelah Barisan Nasional (BN) dan UMNO tumbang baharulah penyelewengan mereka dibawa ke mahkamah.
Najib diheret ke mahkamah, Zahid juga sama, beberapa pemimpin UMNO yang lain turut serta.
Sebab itu, Zahid dilihat mendesak MT UMNO membuat keputusan kali ketiga petang tadi kerana penghujahan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 24 Ogos ini.
Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan kesnya telah bermula sejak 2019 lagi ketika pentadbiran PH. Selepas 22 bulan memerintah PH tumbang dan kerajaan PN dibentuk setelah Zahid dan UMNO memberi sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Di sebalik sokongan itu, Zahid berharap Muhyiddin akan menghulurkan ‘bantuan’ terhadap 47 tuduhan yang dihadapinya itu. Tetapi ianya tidak berlaku, sebaliknya Zahid dihadapkan pula ke Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 33 pertuduhan menerima rasuah bernilai jutaan ringgit berkaitan kontrak mengendalikan Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN.
Sebab itu sekarang ini Zahid sedang kepanasan. Kesempatan teguran oleh Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ordinan darurat dijadikan batu loncatan untuk mengecop kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai penderhaka.
Dikerahkan segala kekuatan media, termasuk media arus perdana yang bersekutu dengan mereka, untuk memainkan isu itu sepenuhnya bagi menunjukkan kerajaan PN gagal dan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu.
Sebaliknya, titah Yang di-Pertuan Agong supaya Ahli-Ahli Parlimen berbincang mengenai ordinan darurat dan masalah dihadapi rakyat sekarang ini, termasuk wabak Covid-19, mereka ketepikan.
Dalam setiap kali kenyataan yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, baginda sering mengingatkan supaya Ahli Parlimen menumpukan perbincangan dan mencari jalan menangani kesusahan dihadapi rakyat akibat Covid-19, dan cara menangani wabak itu.
Namun, UMNO dan blok pembangkang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana tidak berbincang dan mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat serta Covid-19, sebaliknya mereka bermain politik untuk menggagalkan usaha kerajaan membantu rakyat yang di dalam kesusahan.
Adakah rakyat mahukan individu seperti ini mentadbir negara. Nauzubillah. UMNO tidak akan lagi mendapat sokongan rakyat yang semakin benci apabila kepimpinan diterajui Zahid dilihat sudah hilang pertimbangan, gila kuasa dan gagal membantu rakyat menghadapi saat-saat susah.
Oleh: Tok Akhi
Pemerhati politik kampung
No comments:
Post a Comment