Malang sekali gangguan politik yang tercetus kini memberi dampak sehingga berlakunya kegagalan politik. Ini bermakna tindakan menyakat pihak tertentu telah menghalang kelancaran pentadbiran negara oleh pihak yang memerintah.
Ia yang tidak dapat dinafikan sengaja dilakukan untuk tujuan politik tertentu bukan sahaja perbuatan yang tidak diperlu dan tidak patut sesekali dilakukan ketika rakyat dan negara sedang tenat menghadapi pelbagai krisis. Lebih teruk lagi, ia perbuatan amat tidak bertanggungjawab yang membelakangkan kepentingan negara.
Lebih menjijikkan, ia dilakukan dalam kalangan kelompok sendiri dengan mewujudkan tanggapan kegagalan kerajaan menangani krisis kesihatan genting yang menyebabkan krisis ekonomi parah. Sebenarnya keadaan jangkitan Covid-19 yang menggerunkan kini di negara ini adalah manifestasi gejala sejagat yang sedang kuat menggila.
Dalam hal ini, banyak negara mencatatkan peningkatan kes penularan yang bukan sahaja amat tinggi tetapi sangat cepat dan dahsyat sekali. Justeru, wujudlah perangkaan yang mencanak tinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi di semua benua termasuklah negara yang sebelum ini dianggap paling berjaya memerangi pandemik, iaitu Israel.
Namun demikian, ini tidak sesekali bermakna kerajaan semasa lepas tangan untuk tidak langsung menangani pandemik ini dan menghulurkan pelbagai bantuan bagi meringankan beban kewangan rakyat akibat terkesan teruk olehnya. Sehubungan itu, usaha kerajaan dalam kedua-dua perkara ini diakui bukanlah 100 peratus sempurna, namun cukup prihatin mencakupi sebanyak mungkin perkara bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat tidak terus terjejas teruk.
Juga gangguan politik daripada pembangkang yang terus-terusan menyelar urus tadbir kerajaan dengan ikut membina tanggapan buruk, didapati bukan sahaja berjaya mengecil-ngecilkan usaha ikhlas kerajaan untuk membantu rakyat. Ia memburukkan lagi keadaan apabila pelbagai dakwaan mereka didapati telah merosakkan citra negara pada mata komunti antarabangsa.
Dalam hal ini, pembangkang berasa puas hati dengan bidasan mereka terhadap kerajaan, sedangkan yang paling terkesan ialah negara tercinta ini yang dilihat sebagai gagal. Ini ibarat menang sorak kampung tergadai, selain menconteng arang di muka sendiri yang patut diinsafi mereka.
Sesungguhnya kepimpinan politik di negara ini dari mana-mana parti Melayu adalah sama sahaja pada asasnya. Ini kerana kesemuanya berasal dari sumber sama sebelum menjadi serpihan pertama dan selanjutnya. Oleh itu, pada banyak perkara, unsur warisannya atau asid deoksiribonukleik (DNA) mereka didapati serupa kerana memiliki benih sama.
Antara paling nyata ialah kesemua parti politik Melayu bukan sahaja berjanji, malah bertekad sungguh-sungguh untuk melindungi etnisiti Melayu yang antaranya merangkumi raja serta agama Islam dan seumpamanya tanpa sebarang kompromi. Dengan ini, perjuangan asas semua parti politik Melayu didapati sama sahaja antara satu sama lain.
TIANG SERI
Oleh itu, tidak perlu pun ada persaingan yang tidak dapat dinafikan telah banyak memecah-belahkan etnik Melayu itu sendiri. Sebaliknya, kesemuanya harus bergabung sebagai satu entiti yang bukan sahaja baik untuk etnik Melayu tetapi juga yang lain-lain. Ini kerana kestabilan politik etnik Melayu sebagai kelompok majoriti dan dominan adalah tiang seri kepada kejayaan politik negara.
Oleh itu, persaingan apatah permusuhan dan yang sengit pula antara parti politik Melayu yang wujud kini, baik secara luaran daripada pembangkang mahupun dalaman sesama gabungan sendiri hendaklah ditamatkan serta-merta. Ini amat penting agar ia tidak menimbulkan keadaan urus tadbir negara yang menjadi tidak berkesan akibat disakat sakan sehingga wujud pula kegagalan politik.
Sebenarnya kegagalan politik ini bukan sangat kerana ketidakcekapan kerajaan semasa. Ia lebih kepada gangguan politik bertubi-tubi yang boleh pun dielakkan sekiranya ahli politik Melayu mengamalkan politik formal, iaitu yang baik untuk negara dan bukan sebaliknya, yakni politik tidak formal yang hanya menguntungkan diri dan parti sendiri.
Demi kebajikan rakyat atas nama politik formal, hentikanlah gangguan politik ini agar negara tidak terus mengalami kegagalan politik. Dengan ini, biarkanlah kerajaan semasa terus memerintah sehingga akhir penggal Parlimen kini yang kurang pun dari dua tahun, dengan asakan semak dan imbang yang agresif daripada pihak pembangkang khususnya.
Berkenaan tempoh ini, sebenarnya selepas tiga tahun sesi Parlimen bermula, kekecualian diberikan untuk tidak perlu diadakan pilihan raya kecil apabila adanya kekosongan pada jumlah ahli Parlimen. Bagaimanapun, halnya berbeza apabila berlakunya persoalan majoriti yang boleh menggugat keabsahan kerajaan semasa untuk terus memerintah.
Namun, dalam keadaan amat mendesak kini akibat pandemik Covid-19, langkah sangat mendesak juga perlu diambil. Dengan ini, tidak perlulah diadakan undi untuk memastikan keadaan majoriti ini. Ini kerana pertukaran kerajaan di tengah-tengah usaha rancak memerangi pandemik sekali gus memulihkan ekonomi negara tidak akan sesekali membantu rakyat dalam tempoh Parlimen berbaki.
Ini kerana ia akan mengambil masa untuk pihak lain bertindak yang belum pun pasti berkesan. Oleh itu, rakyat bukan sahaja memohon, malah menuntut agar usaha oleh kerajaan kini diteruskan sehingga akhir penggal Parlimen sekarang untuk mengelak kesan daripada peribahasa, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Oleh: Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment