Masih ingat dengan model kereta pertama Malaysia keluaran Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) atau lebih dikenali sebagai Proton Saga.
Biar 32 tahun telah berlalu, kereta keluarga kebanggaan rakyat Malaysia ini masih hebat taringnya apabila ia dinobatkan sebagai juara anugerah Concours de I’Ordinaire di Festival of Unexceptional 2021 yang dianjurkan di United Kingdom baru-baru ini.
Pemenangnya, Jon Coupland seorang pegawai polis berusia 30-an berkata, Proton Saga 1.5GL Black Knight Edition tahun 1989 itu hanya dijual sebanyak 201 unit di UK, dan ia mungkin satu-satunya model yang masih lagi wujud di negara itu.
Bercakap kepada penganjur Hagerty, Coupland menjelaskan pemilik asalnya terpaksa membiarkan kereta itu tersadai pada 1993 dengan jarak kurang daripada 6000 km kerana uzur.
Ia tersadai di garaj sehingga 2017, apabila dibeli pemilik kedua yang menggunakannya sehingga mencecah 16000 km. Coupland kemudian memperoleh kereta itu pada 2019, dan sekali-sekala menggunakannya dengan cermat untuk memandu ke acara seperti ini.
“Saya sangat teruja sebaik diterima untuk menjadi antara peserta pada acara tahun ini. Saya tidak sangka langsung dapat menarik perhatian juri sehingga memenangi hadiah keseluruhan. Ia seolah impian jadi nyata!” tambah Coupland.
Memandangkan pertandingan ini dianjurkan hanya untuk keseronokan, piala kemenangan yang diraih Coupland juga direka unik berbentuk seperti cawan teh – simbol tradisi kelaziman orang Inggeris.
“Festival of Unexceptional mula dianjurkan pada 2014 oleh pakar insurans kereta klasik Hagerty.
“Ia bertujuan meraikan kereta keluarga kegunaan harian dari tahun 1968 hingga 1989 yang telah lama dilupakan sedangkan ia memainkan peranan penting dalam budaya kita, sama seperti mana-mana kenderaan Aston Martin, Ferrari, atau Mercedes,” ujar Coupland.
Untuk menang, apa yang anda perlukan hanyalah membawa kereta biasa dari tahun yang betul, dan pastikan ia sehampir mungkin dengan edisi asalnya.
Biasanya, barisan juri menyukai kereta yang tidak dilengkapi radio, jadi pastikan kenderaan yang masuk bertanding tidak melalui pengubahsuaian yang tidak perlu ini.
Hanya kereta-kereta keluaran tahun 1966 hingga 1996 sahaja yang layak untuk dipertandingkan dalam acara tahunan ini.
Anda perlu berkongsi kisah mengenai kereta tersebut kepada para juri terlebih dahulu sebelum dipilih menjadi salah seorang peserta dalam pameran tersebut. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment