Rakyat semakin geli hati melihat gelagat beberapa pemimpin pembangkang, terutama gandingan tiga Datuk Seri, yang masih terus mengganas bagaikan varian Delta Covid-19 selagi apa yang mereka cuba capai tidak kesampaian.
Ada yang sudah lama kemaruk kerusi Perdana Menteri (PM), sejak demonstrasi pertama di Masjid Negara selepas dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada 1998.
Ada yang hanya sekadar duduk di tepi kerusi PM – tidak pernah merasa betapa empuknya kerusi itu, gara-gara lupa diri dan lupa kepada rakyat akhirnya kembalilah ke asal.
Ada pula yang telah duduk di kerusi PM – sempat merasa kelembutannya. Di kerusi itu juga sempat lah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, itu belum lagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Di kerusi itu jugalah dia melihat Barisan Nasional (BN) ditalkinkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
Betul kata pakar-pakar perubatan bahawa wabak Covid-19 ini juga memberi kesan kepada kesihatan mental. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kesan Covid-19 terhadap kesihatan mental. Walaupun orang ramai tidak dijangkiti vairus itu namun, peraturan sampingan seperti perintah sekatan dan lain-lain memberi kesan kepada jiwa dan mental mereka.
Jadi, eloklah sangatlah sekiranya Datin Seri Datin Seri pula menasihatkan Datuk Seri masing-masing berjumpa pakar sakit mental/psikiatri kerana rakyat melihat ada perubahan pelik berlaku terhadap diri mereka sejak kebelakangan ini.
Rakyat bukan sayang sangat ketiga-tiga Datuk Seri ini, cuma rakyat tidak mahu mereka menjadi penyumbang kepada kes-kes kematian akibat kesan daripada Covid-19, bukan sebab dijangkiti virus itu. Lagi pula mereka juga yang membangkitkan banyak kes-kes bunuh diri sekarang.
Tidak henti-henti lagi gelagat dan tingkah laku mereka walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PM Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjelaskan panjang lebar – yang terbaharu, pada sidang media khas kelmarin setelah beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Pertemuan itu dibuat susulan dakwaan ‘Datuk Seri’ Ahmad Zahid Hamidi, ‘Datuk Seri’ Anwar Ibrahim dan ‘Datuk Seri’ Najib Razak, bahawa kerajaan PN sudah tidak mendapat sokongan majoriti. Ini berikutan Zahid mendakwa telah menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen (MP) UMNO yang tidak menyokong Muhyiddin kepada Agong.
Tetapi dalam pertemuan PM dan Agong itu, baginda menerima baik apa yang dimaklumkan. Ini bererti, buat masa ini dakwaan yang mengatakan kerajaan PN sudah tumbang tidak lagi timbul. Agong memberi perkenan Muhyiddin boleh membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, September ini.
Tidak berapa hari sahaja lagi untuk sampai ke bulan September. Sekarang sudah Ogos. Lepas Ogos September.
Tapi itulah yang berlaku. Apabila di dalam batang tubuh mereka sudah ada seketul daging yang sukar lagi dicuci, maka ia akan menjadi singgahsana Iblis. Lalu anak-anak Iblis pun mencaturkan lagi strategi, memberi macam-macam idea supaya mereka terus memporakperandakan negara ini pada saat kerajaan dan rakyat sedang melawan Covid-19.
Sepatutnya dalam keadaan negara yang berdepan dengan Covid-19 dan kesusahan rakyat ini, terimalah ketentuan Allah SWT yang meletakkan Muhyiddin di kerusi PM. Ada masanya untuk menentukan kedudukan PM – di Dewan Rakyat September ini atau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
Tapi ini tidak berlaku. Tiga Datuk Seri ini terus menerus menyanggah kenyataan PM, setelah anak-anak Iblis menanam sifat dengki, sakit hati dan dendam ke dalam batang tubuh mereka.
Apalagi Zahid dan Najib yang tidak boleh menerima sama sekali kenyataan PM berhubung desakan membebaskan mereka daripada tuduhan jenayah di mahkamah, walaupun pada sidang media itu PM tidak menyatakan siapakan individu berkenaan.
Sejurus kenyataan PM itu, kedua-duanya terus menyanggah dan melemparkan tuduhan terhadap PM semata-mata untuk menutup malu susulan pendedahan berkaitan isu mahkamah itu.
Zahid mendakwa mempunyai angka kukuh Muhyiddin hilang kepercayaan majoriti. Pada masa sama sahabat karibnya Anwar turut mendakwa mempunyai angka yang memihak kepadanya.
Semalam, serangan terhadap kerajaan PN dan PM tidak berhenti. Sebaliknya diteruskan pula dengan mendakwa Muhyiddin telah menderhaka sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong.
Kali ini tahap ‘penderhakaan’ itu dinaikkan kategorinya – macam pandemik Covid-19 pula ada gelombang 1, 2, 3 dan pesakit pun ada kategori 1, 2, 3, 4, dan 5.
Dalam kenyataan bersama Anwar, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mereka menaikkan tahap penderhakaan itu kepada ‘Penderhakaan Tertinggi’, daripada ‘penderhaka’.
Rasanya ramai yang sedang berguling-guling gelakkan blok pembangkang dengan sekutu mereka daripada kumpulan Zahid, yang dalam kelemasan sekarang. Semua strategi mereka tidak menjadi, malah kerajaan PN dan Muhyiddin kekal mentadbir negara untuk bersama-sama rakyat melawan Covid-19.
Kesimpulannya, inilah kesan daripada Covid-19 terhadap kesihatan mental penduduk bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Cuma masalah kesihatan mental ketiga-tiga Datuk Seri ini sudah berada pada tahap kritikal, yang memerlukan mereka dijauhi segera.
Untuk ketiga-tiga Datuk Seri dan rakan sekutu mereka Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyediakan talian sokongan #COVID19 Malaysia untuk:
1. Bantuan sokongan emosi dan kesihatan mental; dan
2. Bantuan keperluan asas atau bantuan sosial lain.
Mereka boleh menghubungi Pusat Panggilan CAC di nombor 03-7723 9299 (8am -9pm setiap hari) atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) 03-7723 9300 (8am -12am setiap hari).
Yahudi kata Hitler gila, tapi dia tidak gila. Dia dungu. Wallahualam
Tak Akhi
Pemerhati Politik Kampung
No comments:
Post a Comment