Wednesday, August 4, 2021

Bertaubatlah Ahli Parlimen

Alhamdulillah, kita menarik nafas lega apabila Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan surat menangguhkan sidang Dewan Rakyat, kelmarin selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan disebabkan jangkitan Covid-19 di Parlimen. Sudah tentu kita tidak mahu berlaku lagi huru-hara di Parlimen sekiranya ada ahli Parlimen dijangkiti.

Bersidang pun Parlimen, kadangkala seolah-olah melihat sarkas, ada yang kata lebih teruk daripada itu. Memalukan. Amat menyakitkan hati melihat gelagat ahli Parlimen ultra kiasu terutama yang mengganggu semasa bacaan al-Fatihah kepada mangsa Covid-19 ketika Perdana Menteri memberi ucapan dalam pembukaan sidang Parlimen, minggu lalu. Sepatutnya semua ahli Parlimen diam dan bertafakur tetapi lain jadinya.

Gelagat ahli Parlimen pihak pembangkang kelihatan langsung tidak beradab dan kurang mencerminkan diri sebagai wakil rakyat. Setiap kali pihak ahli Parlimen berucap, pasti akan diganggu dan tidak memberikan ruang dan peluang untuk bercakap. Sayang seribu sekali sayang, rakyat yang memberi undi kepada setiap ahli Parlimen dan mengharapkan memberikan khidmat terbaik di Parlimen tetapi lain yang diharapkan, lain yang berlaku.

Rata-rata rakyat yang melihat gelagat ahli Parlimen ini melahirkan kekecewaan dan tertanya-tanya, apakah Yang Berhormat ini sudah hilang kewarasan untuk berbahas dan memberikan cadangan bermanfaat kepada rakyat? Memang rakyat yang mengundi untuk menaikkan mereka dan bukannya undi itu datang daripada kumpulan tertentu. Jika benar setiap ahli Parlimen memikirkan undian ke atas mereka adalah daripada kumpulan mereka tanpa sokongan rakyat, maka telahan itu salah. Bukan semua rakyat termasuk bukan Melayu melibatkan diri dalam kumpulan-kumpulan yang propembangkang.

Lihatlah apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang termasuk bandar-bandar besar seperti Ipoh, Johor Bahru dan Seremban. Rata-rata yang terkesan dengan impak Covid-19 adalah golongan kelas pertengahan dan peniaga bukan Melayu yang majoritinya menyokong pembangkang tetapi kehidupan mereka kini langsung tidak terjaga.

Ada dalam kalangan mereka kini melahirkan kekesalan kerana sikap ahli Parlimen pembangkang tidak ubah sama seperti wakil Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu. Kepentingan agenda peribadi untuk mengejar populariti lebih utama daripada kepentingan rakyat. Di manakah suara pembangkang dalam mengutarakan nasib golongan peniaga bukan Melayu yang kini hidup sukar untuk meneruskan operasi perniagaan?

Berbanding situasi Noor Hisham yang memberikan ruang dan peluang kepada timbalannya, Datuk Dr. Chong Chee Kheong untuk mewakilinya dalam mengumumkan perkembangan terkini wabak Covid-19. Apabila ruang dan peluang ini diberikan, komen-komen negatif dan laungan persepsi kurang baik agak kurang dilontarkan oleh pihak tertentu. Timbulnya situasi antara dua darjat.

BUAYA
Jika dahulu apabila Noor Hisham berucap dan memaklumkan perkembangan terbaru pandemik, pelbagai konotasi dan persepsi dilontarkan seolah-olah semua itu kesalahan Kementerian Kesihatan. Sepatutnya sebagai pihak yang melaungkan slogan kesamarataan hak rakyat, tidak perlu membezakan agama dan kaumnya. Jika isu ini kurang mampu ditonjolkan maka slogan itu hanya sebagai satu perhiasan, bukannya berdasarkan meletakkan yang hak kepada yang berhak.

Sikap antara dua darjat dan isu tidak beradab bukan budaya masyarakat yang berintegriti dan berpegang kepada kesopanan dan kesusilaan negara. Malah rata-rata rakyat yang terkesan dengan impak Covid-19 ingin melihat perubahan bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga pembangkang. Sememangnya rakyat sedang memerhati setiap tingkah dan hasilan mereka kepada manfaat rakyat. Usah melihat pembangkang tidak terkesima seperti apa yang sedang dialami BN, iaitu kekalahan disebabkan ditolak rakyat dalam pilihan raya umum (PRU).

Buat masa ini, majoriti rakyat memilih untuk diam dan tidak teruja memberi respons apa yang sedang berlaku dalam situasi politik negara. Walaupun dikatakan majoriti Melayu menolak UMNO dan majoriti Cina menolak MCA, tetapi itu hanya andaian dan persepsi. Jangan disangka air yang tenang tiada buaya, jangan disangka reaksi rakyat diam menunjukkan UMNO dan MCA sudah hilang taring.

Di pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN), sentiasa sedar dan setiap masa mengambil jalan proaktif dalam menjaga hubungan dengan BN. Ini kerana trend politik hari ini adalah zaman integrasi politik. Tanpa sokongan BN, kerajaan PN tidak akan berdiri kukuh. Mahu tidak mahu, rundingan untuk bersama BN perlu dipelihara sehingga Parlimen dibubarkan.

Berbalik kepada isu kurang beradab di Parlimen, ia menunjukkan ahli politik agak kurang matang dan cepat beremosi. Walaupun rata-rata netizen memberikan komen negatif di media sosial tetapi disebabkan ia hanya datang daripada satu kelompok masyarakat, maka tidak diendahkan. Perbuatan ini juga mendapat liputan meluas media antarabangsa yang memberikan pandangan agak sinis ke atas mentaliti ahli Parlimen kita.

Isu ini kurang diuar-uarkan di media sosial seolah-olah pembangkang cuba mengelak untuk berdepan realiti sebenar krisis dialami negara. Gambaran sebegini di media sosial antarabangsa memberikan impak ke atas keyakinan pelabur untuk datang ke sini. Pada pandangan mereka, situasi politik negara ini kurang stabil dan bila-bila masa pemerintah boleh bertukar tangan. Akhirnya, yang rugi adalah rakyat yang menyokong dan memangkah mereka dalam PRU lalu.

Walaupun gelagat itu dianggap sebagai satu strategi tetapi kesannya amat besar kepada ekonomi negara. Maka tidak mustahil Penarafan Antarabangsa Fitch meletakkan Malaysia pada rating BBB+ walaupun dijangka pertumbuhan ekonomi kita, iaitu 4.5 peratus pada 2021 dan 6.3 peratus pada 2022. Komen yang diberikan agak positif dengan kadar kelajuan suntikan vaksin dan keyakinan untuk ekonomi Malaysia kembali pulih. Tetapi disebabkan gelagat ahli politik yang terlalu menekan pempolitikan, akhirnya negara masih di takuk lama.

Bertaubatlah ahli Parlimen, dahulukan kepentingan rakyat.

Oleh: Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah
dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah

No comments:

Post a Comment