Wednesday, February 26, 2020

Ketika Krisis Kepimpinan Negara Berlaku, Penyokong Pengganas Lepas Bebas...

Segera banteras LTTE!
BANGI, 2 Rejab 1441H, Rabu – Ideologi yang dibawa oleh kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) perlu disekat daripada terus menular dan hidup dengan subur di negara ini.

Pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana, budaya keganasan yang dibawa oleh kumpulan berkenaan tidak bersesuai dengan kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Kita tidak mengamalkan konsep keganasan, disebabkan itulah semua konsep keganasan di negara kita akan ditolak serta-merta dan tidak diterima.

“Jadi, apa pun ideologi yang nak masuk termasuklah LTTE, kita memang tidak benarkan kerana ia berbentuk keganasan dan ia bukan budaya kita,” katanya ketika di hubungi Ismaweb.net.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang

Berhubung keputusan peguam negara mengugurkan kes LTTE, Shahul Hamid menegaskan bahawa tindakan sedemikian rupa tidak sewajarnya berlaku.

Sepatutnya, jelas beliau, peguam negara membiarkan mahkamah mengadili kes tersebut kerana siasatan, tangkapan dan tuduhan telah dibuat.

Katanya, ini kerana dibimbangi tindakan tersebut membuka ruang kepada masyarakat menganggotai kumpulan militan kelak kerana mengetahui perundangan negara tidak tegas.

“Memang peguam negara mempunyai kuasa untuk menarik balik kes tersebut tetapi bagi pandangan masyarakat, dunia serta pihak berkuasa menjadi resah dan timbul soalan apakah tindakan lanjut yang perlu diambil.

“Malah, Kementerian Dalam Negeri juga perlu memikirkan perkara tersebut kerana sebelum ini ada beberapa kes militan Daesh yang hanya simpan risalah sudah dikenakan 5 tahun penjara, sedangkan kes ini sudah berjalan kenapa perlu dibebaskan.

“Persoalan-persoalan seperti ini akan timbul oleh masyarakat dan ia akan menyebabkan masyarakat tidak yakin lagi dengan perundangan negara ini,” katanya - www.ismaweb.net
.................................................................................................................

LTTE: 8 lelaki termasuk ADUN Gadek dibebaskan
KUALA LUMPUR, 1 Rejab 1441H, Selasa – Lapan lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek G. Saminathan, menarik nafas lega selepas empat Mahkamah Tinggi berasingan di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka, daripada pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Collin Lawrence Sequerah serta Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan kesemua mereka dibebaskan, selepas dimaklumkan timbalan pendakwa raya bahawa Peguam Negara telah mengeluarkan arahan untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh, mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain Saminathan, 35, tujuh yang lain ialah juruteknik S. Arivainthan, 28; pengawal keselamatan, M. Pumugan, 30; ahli DAP, V. Suresh Kumar, 44; ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, S. Chandru, 39; seorang guru, Sundram Renggan @ Rengasamy, 53; pengutip besi buruk, A. Kalaimughilan, 29 dan penghantar surat, S. Teeran, 39.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad, Muhammad Asyraf Minhad, Mohd Izhanudin Alias dan Mohamad Nuzul Azuar Zulkifli memohon prosiding kes itu dihentikan dan memberitahu bahawa tiada prospek untuk kesemua tertuduh dituduh semula.

Peguam Ramkarpal Singh dan Harshaan Zamani mewakili Saminathan, Arivainthan, dan Suresh Kumar; peguam Dr N. Ahilan mewakili Pumugan dan peguam A. Mathan bertindak bagi pihak Chandru, Sundram, Kalaimughilan dan Teeran memohon mahkamah melepas dan membebaskan kesemua anak guam mereka, bukannya dilepas tanpa dibebaskan.

Hakim Muhammad Jamil berkata memandangkan pihak pendakwaan tidak meneruskan prosiding terhadap kedua-dua tertuduh (Saminathan dan Arivainthan) dan tiada prospek untuk menuduh semula mereka, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua pertuduhan dihadapi.

Hakim-hakim lain juga membuat keputusan sama.

Kesemua mereka didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan Youtube di bawah nama iaitu ‘Gsami Nanthan Siva’, ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Pumugan Tamilan’, ‘Rocketsuresh Dap’, ‘Chandru Suparmaniam’,’Elilan Elilan’, ‘Kalai Mugilan’, dan ‘Tamil Kannamah’.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism, Cawangan Bukit Aman, di sini, antara 5 Oktober dan 11 Oktober 2019.

Empat daripada mereka iaitu Saminathan, Arivainthan, Chandru dan Kalaimughilan turut didakwa bagi pertuduhan memberi sokongan dalam satu majlis berkaitan LTTE di beberapa negeri antaranya Melaka, Perak dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2018.

Bagi pertuduhan memberi sokongan di laman sosial dan majlis, mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Saminathan, Pumugan, Chandru, Sundram, Kalaimughilan dan Teeran masing-masing turut didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di beberapa lokasi termasuk di Rawang, Selangor; Kompleks Seri Negeri, Melaka dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang antara 10 dan 12 Oktober 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Ahli keluarga tertuduh turut hadir di mahkamah. – Bernama
.................................................................................................................

LTTE; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren dibebaskan
KUALA LUMPUR, 30 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren daripada dua pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengeluarkan perintah pembebasan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suffian Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pendakwa raya supaya tidak meneruskan prosiding terhadap Gunasekaren, 61.

Satu kes Gunasekaren didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil dan satu lagi di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaren memberitahu mahkamah bahawa berikutan pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap anak guamnya, beliau memohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Gunasekaren didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama ‘DAP Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini, pada 2 petang, 7 Oktober 2019.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka di antara 8.30 malam dengan 10.50 malam, pada 28 November 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.- Bernama

No comments:

Post a Comment