Friday, February 21, 2020

Alahai Tabung Haji.....

‘Jika Mujahid tak mampu kendali TH, sila kemas barang’
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan segera untuk membuat siasatan dan kajian secara terperinci mengenai permasalahan yang didakwa sedang melanda Tabung Haji (TH).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, laporan mengenai empat rangkaian hotel kepunyaan 9.4 juta pendeposit Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dijual, amat mengejutkan.

Walaupun TH tampil membuat penjelasan bahawa hotel-hotel berkenaan tidak dijual, ia hanya dipindah milik dan diteruskan di bawah pengurusan baharu – UJ Property Management Sdn Bhd -, hakikatnya ia sudah tidak lagi menjadi milik TH.

“Persoalan utama di sini ialah TH kini telah pun melepaskan pemilikan ke atas 4 rangkaian hotel tersebut yang kini dijenamakan semula kepada Hotel Raia.

“Ia bukan lagi menjadi milik Tabung Haji. Ia sudah menjadi milik orang lain. Ini suatu bukti kegagalan PH pertahankan aset milik orang Islam melalui TH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih malang lagi, katanya, apabila Tabung Haji tidak lagi boleh mengaut sebarang hasil keuntungan dari operasi aset-aset tersebut.

“Soalnya, mengapa pula ada pihak lain yang mampu menguruskan operasi tersebut? Apakah pihak tersebut tidak mementingkan keuntungan?

“Apa salahnya dengan jenama Tabung Haji atau TH itu? Apakah memang wujud semacam agenda terancang untuk mengikis dan melemahkan identiti orang Melayu Islam di negara ini?,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sepucuk surat bertarikh 17 Februari 2020 daripada TH Hotel & Residences Sdn Bhd (THHR) mengenai penutupan operasi empat rangkaian hotel TH.

Bagaimanapun, TH dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ) dalam kenyataan bersama berkata, operasi yang telah dipindahmilik kepada UJ akan diteruskan di bawah UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM) iaitu anak syarikat milikan penuh pengurusan baharu itu.

Hotel yang terbabit ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Kuala Terengganu dan akan kekal sebagai hotel patuh syariah dengan nama baharu iaitu Hotel Raia mulai 1 April ini.

Kesal dengan perkara itu, Shamsul Anuar berkata, TH sangat dekat dengan orang Islam, maka rakyat mahukan kenyataan meyakinkan dari Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebagai menteri yang bertanggungjawab.

“Dan jika tidak mampu mengendalikan TH dengan cekap, beliau boleh mengemas barang peribadinya di Jabatan Perdana Menteri.

“Apa yang jelas pimpinan Kerajaan PH, gagal memikul amanah menjaga dan memelihara aset serta harta umat Islam.

“Inilah akibatnya apabila meletakkan mereka yang bukan ahli di tempat sepenting ini,” katanya.
TH Hotel akan pupus, jadi nota sejarah: Najib
Datuk Seri Najib Razak mempersoal alasan kerajaan Pakatan Harapan kononnya pindah milik operasi empat hotel Tabung Haji kepada pihak ketiga disebabkan tidak mendatangkan hasil.

“PH kata hotel-hotel Tabung Haji dijual kerana rugi dan tidak memberi pulangan. Tetapi semakan dari rekod SSM mendapati semua hotel-hotel itu merekodkan keuntungan pada masa BN.

“Cuma untuk tahun 2018 selepas PH ambil alih, syarikat utama TH Hotel & Residence Sdn Bhd mengalami kerugian RM5 juta akibat Hotel TH Kuching telah siap tetapi tidak dibenarkan untuk bermula operasi.

“Pada tahun 2017, syarikat TH Hotel mengumumkan keuntungan sebanyak RM103 juta – mungkin kerana bangunan-bangunan TH Hotel dinilai semula setelah 10 tahun,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengurusan TH perlu mencari cara lain untuk melaburkan wangnya bagi mendapat keuntungan.

“Sesetengah hartanah itu tidak berguna, tidak mendatangkan hasil. Ada cara lain untuk melaburkan wang bagi mendapatkan keuntungan,” katanya.

Sebelum ini, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif THHR, Zulkefli Ahmad berkata, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan.

Ini memandangkan operasi dan pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut telah dan akan diambil alih oleh, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dan bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik kepada UJSB.

Mengulas perkara itu, Najib yang kini masih berdepan dengan pertuduhan di mahkamah membayangkan jenama ‘TH Hotel’ akan pupus dan menjadi nota sejarah.

“Nak tanya PH, mana kerugian teruk TH Hotel sehingga semua hotel mereka terpaksa dijual?,” soalnya.
Hotel TH: Kerajaan runtuhkan aset strategik umat Islam
Tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) memindah milik operasi empat hotel kepada pihak ketiga seolah-olah meruntuhkan empayar perniagaan dan pemilikan aset strategik umat Islam.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, sepatutnya pengurusan tertinggi TH mengemukakan pelan menyelamat, pengukuhan dan membuat keuntungan bersifat jangka panjang, termasuk meningkatkan kecekapan organisasi secara menyeluruh.

Katanya, tindakan menjual, memindah milik bukan penyelesaian yang bijak, kerana banyak pertimbangan penting perlu dibuat bagi kepentingan TH dan para pendeposit.

“Cara mengurus kewangan dan perakaunan kerajaan PH nampak sangat mudah, jika rugi jual dan serahkan kepada kerajaan melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV).

“Kes ini hendak disamakan seperti Dana Harta untuk selamatkan bank daripada ‘loan’ yang gagal. Tapi Tabung Haji tak sama dengan cara operasi bank, kerana ia melibatkan kepentingan strategik aset umat Islam,” katanya.

Kelmarin, tular surat ditandatangani pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), Zulkefli Ahmad bertarikh 17 Februari berkaitan penutupan hotel TH.

Dalam surat itu dinyatakan empat buah hotel THHR di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu akan ditamatkan operasi serta perkhidmatan berkuatkuasa 1 April depan.

Surat itu menyebut, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

Selepas surat tular itu dikritik banyak pihak, TH semalam menjelaskan bahawa operasi empat buah hotel di bawah THHR yang dipindah milik kepada UJ, akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan baharu dan tiada pekerja yang akan diberhentikan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan TH memindah milik operasi empat hotel miliknya kepada pihak ketiga disebabkan ia tidak mendatang hasil.

“Sesetengah hartanah itu tidak berguna, tidak mendatangkan hasil. Ada cara lain untuk melaburkan wang bagi mendapatkan keuntungan,” katanya. - www.ismaweb.net

No comments:

Post a Comment