Thursday, September 12, 2019

Melihat Kebijaksanaan Pemimpin Pakatan Harapan

Adakah kita sedang mengadakan 'jualan murah' hartanah?
PULAU PINANG - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mempersoalkan sama ada wujud aktiviti 'jualan murah' dalam sektor hartanah negara selepas pemaju secara langsung menarik pelabur khususnya dari Hong Kong untuk membeli hartanah di Malaysia ekoran krisis politik di negara berkenaan.

Sambil melahirkan kebimbangan, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, situasi itu mungkin dapat mengatasi masalah hartanah tempatan yang tidak terjual, namun tidak akan menyelesaikan masalah perumahan yang sedang dihadapi majoriti rakyat negara ini.

Beliau mengambil contoh bagaimana rakyat Singapura datang ke Pulau Pinang dan membeli bangunan sebelum perang sekitar 2008 apabila Georgetown diisytiharkan sebagai kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Akibatnya, jelas Mohideen, harga rumah di pusat bandar Georgetown kini meningkat melangkaui kemampuan kebanyakan penduduk tempatan sama ada untuk menyewa apatah lagi membeli.

"Menggalakkan rakyat asing memiliki hartanah di sini memberikan kesan yang tidak diinginkan seperti menyebabkan harga hartanah meningkat disebabkan oleh permintaan, memburukkan lagi kekurangan tanah semasa dan menyebabkan peningkatan kos sara hidup.

"Adakah Pulau Pinang akan menjadi satu lagi Hong Kong yang mana penduduk miskin dipaksa hidup di kawasan setinggan dan flat kecil apabila harga hartanah menjadi terlalu mahal bagi mereka yang berpendapatan biasa atau warga tua?" katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, sebagai alternatif kepada sikap pemaju yang hanya mahu membina rumah dan kondominium mewah, Mohideen menggesa kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan flat sewa untuk dimiliki (RTO), perumahan mampu milik dan kos rendah bagi golongan miskin.

Katanya, kerajaan juga perlu mengubah seluruh dasar perumahan yang tidak memberikan manfaat kepada kumpulan berpendapatan rendah dan membolehkan pemaju mengaut keuntungan dalam menyediakan perumahan kos rendah.

Dalam masa sama, beliau menggesa kerajaan mengutamakan dasar perumahan yang membolehkan B40 mempunyai tempat tinggal tanpa beban kewangan manakala dasar Malaysia Rumah Kedua dihapuskan.

"Pihak berkuasa juga mestilah memastikan rumah kos sederhana dan kos rendah berkualiti untuk didiami dan dijual pada harga yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment