Tuesday, September 24, 2019

Duterte Benar Tembak, Cederakan Pegawai Rasuah

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte memberitahu rakyat Filipina boleh menembak pegawai kerajaan yang meminta habuan wang untuk perkhidmatan mereka tetapi jangan sampai terbunuh.

Duterte menggesa penduduk awam bertindak tegas apabila berurusan dengan agensi kerajaan.

“Satu-satunya yang saya minta adalah rakyat Filipina menjadi lebih tegas.

“Jika anda membayar cukai, yuran, pembersihan atau apa sahaja, dan pegawai bodoh ini meminta rasuah, tampar mereka.

“Jika anda ada senjata, anda boleh tembak mereka tetapi jangan sampai membunuh kerana anda mungkin tersenarai dalam kalangan mereka yang diberi pengampunan.

“Tembak di kaki, ia menyebabkan kecederaan fizikal serius. Anda boleh mengaku dan diletakkan dalam perhatian.

“Anda tidak akan ke penjara. Cuma melapor diri kepada pegawai. Sekurang-kurangnya anda menembak pencuri bodoh,” kata Duterte dalam ucapan ketika perasmian pusat dan hab perniagaan kerajaan Bataan.

Presiden itu juga berjanji akan mempertahankan sesiapa yang menembak pegawai rasuah.

“Saya akan mempertahankan anda. Jika kejadian itu berlaku di pejabat saya, saya akan memanggil pengadu dan memberitahu supaya menampar pegawai berkenaan tiga kali.

“Saya akan bertanya jumlah wang yang diminta. Lima ribu? Kemudian meminta pengadu menampar dua kali lagi,” katanya.

Duterte berkata, beliau akan mengeluarkan arahan eksekutif memudahkan proses melakukan urusan dengan pejabat kerajaan. — Agensi

No comments:

Post a Comment