Sunday, September 15, 2019

Macam Suara D4P Jer....

Piagam UMNO Pas: Hari gelap Malaysia
KUALA LUMPUR - Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas dilihat akan membahagikan sistem sosial yang pluralistik serta menjadikan Malaysia sebagai negara rasis.

Sambil menyifatkan penyatuan dua parti itu hari ini merupakan hari gelap Malaysia, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, piagam itu juga akan membawa negara kepada masyarakat yang berpusat kepada bangsa Melayu.

"Penyatuan UMNO dan Pas yang membentuk satu perikatan hari ini tidak hanya akan menulis semula peta politik Malaysia, tetapi akan membahagikan lagi struktur sosial Malaysia yang pluralistik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Piagam Muafakat Nasional yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dilihat mampu menjadi pilihan utama menggantikan pentadbiran kakistokrasi yang mengakibatkan negara menjadi negara gagal.

Dalam pada itu, Dominic berkata, berdasarkan analisis keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, UMNO dan Pas berharap untuk merebut semula kira-kira 30 kerusi Parlimen daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, PH akan melancarkan 'Pertandingan Islam' dengan Barisan Nasional (BN) untuk bersaing bagi meraih pengundi Melayu.

"Pada PRU lalu, PH hanya mendapat 25 peratus hingga 30 peratus daripada sokongan orang Melayu dan sejak PH berkuasa, mereka berusaha untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu dengan mengekalkan matrikulasi serta meningkatkan pengambilan pelajar ke insititusi pendidikan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan Gerakan yang merupakan parti politik pelbagai etnik tidak akan sesekali bekerjasama dengan Pas.

"Gerakan sentiasa menekankan kepelbagaian dan percaya bahawa politik pluralistik adalah masa depan negara dan berharap akan mendapat sokongan rakyat secara bersama khususnya dalam mempertahankan sistem politik majmuk di negara ini," ujarnya.
- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment